WASHTENAW, MICHIGAN – Akibat bertelingkah dengan jiran, seorang lelaki di negeri Michigan bertindak membina pagar menggunakan najis lembu di antara rumah mereka, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Tembok sepanjang 76.2 meter itu dibina selepas berlakunya pertikaian tentang isu tanah antara kedua-dua jiran itu tahun lepas. “Kebiasannya, orang menaburkan najis lembu di kawasan padang. Namun, dia membuat sempadan menggunakan najis tersebut,” ujar seorang jiran terbabit, Wayne Lambarth kepada stesen televisyen tempatan, Fox2. Menurut Lambarth, datuknya membangunkan tanah ladang Lodi Township itu kira-kira 100 tahun lepas.
Bagaimanapun, pada tahun lepas, dia dan jirannya bertelingkah mengenai sempadan tanah tersebut. Pertikaian itu menyebabkan jirannya membuat keputusan untuk membina sendiri tembok sempadan diperbuat daripada najis lembu. “Itu bukan tembok najis, itu adalah pagar kompos,” ujar jirannya ketika disoal oleh Lambarth mengenai tindakannya itu. Turut terkesan daripada tindakan itu adalah penyewa rumah Lambarth, Jaidyn Schwarzel dan Coyne Gatto yang terpaksa menghidu bau busuk akibat najis lembu tersebut. “Saya tidak boleh membiarkan tingkap terbuka kerana kesemua bahagian rumah akan berbau busuk,” ujar Gatto. Meskipun telah membuat aduan, pihak berkuasa tidak dapat meruntuhkan tembok sempadan itu kerana secara teknikal, tembok sempadan itu berada dalam kawasan tanah lelaki tersebut. –CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT