Pendedahan Janna Nick mengenai dia mengalami masalah gangguan bipolar dan pernah melakukan cubaan bunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun itu bukan untuk meraih simpati.
Janna berkata, ia sebagai perkongsian kepada orang ramai supaya lebih peka terhadap permasalahan berkaitan kesihatan mental. Menurutnya, keadaannya kini makin stabil namun masih mengambil ubat selain perlu bertemu pakar psikatri. Bagaimanapun, dia berdepan cabaran apabila kebanyakan ubat diberikan doktor tidak sesuai dengan situasi kerjayanya.
"Keadaan saya sekarang okay sebab masih lagi di bawah pemantauan ubat daripada doktor. Cuma, cabaran dan dugaannya apabila ubat yang perlu saya ambil itu tidak sesuai untuk kerjaya ini kerana ia memberi kesan cepat mengantuk selain terlebih tenang. Saya sebenarnya sudah tiga kali bertukar ubat yang sesuai," katanya kepada Harian Metro.
Bercerita mengenai reaksi keluarganya, Janna berkata, mereka agak terkejut dan tidak sangka dengan keadaan dialaminya sehebat itu. "Selama ini, mereka tahu apa yang pernah saya buat seperti pendedahan yang dibuat sebelum ini, tapi mereka tidak menyangka masalah gangguan kesihatan mental ini sebenarnya serius. "Saya sendiri pun terkejut apabila doktor mengesahkan saya mengalami masalah gangguan bipolar dan pemikiran saya berada dalam keadaan tidak seimbang ketika itu. Ia bukan sakit seperti demam yang cepat kita boleh sedar dan tahu," katanya.
April lalu, Janna tampil mendedahkan di Instagram bahawa dia mengalami masalah gangguan bipolar selain mengaku pernah membuat cubaan bunuh diri sebanyak dua kali ketika berusia 14 dan 15 tahun. Menerusi satu hantaran di media sosial itu, Janna berkata, dia juga bergantung dengan ubat anti kemurungan serta mendapatkan pemerhatian rawatan daripada doktor pakar. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|