Petugas barisan hadapan di sekitar ibu negara hari ini bertuah apabila Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang terkenal dengan hobi memasaknya, berkenan menyediakan juadah bubur lambuk buat mereka.
Istimewanya bubur lambuk yang dimasak mengikut resipi dari Johor dan Pahang itu, turut mendapat 'sentuhan' daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli membantu Raja Permaisuri memasak di perkarangan surau utama Istana Negara hari ini. Turut membantu menyediakan juadah itu ialah Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al- Sultan Abdullah. Sambil dibantu kira-kira 180 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN), Tunku Azizah kelihatan lincah 'beraksi' sejak awal proses memasak makanan tradisi setiap kali bulan Ramadan itu, yang disiapkan dengan mengambil masa kira-kira tiga jam.
"Saya harap bubur lambuk ini dapat hiburkan perut, selera dan hati petugas barisan hadapan kita. Harap bubur ini sedaplah kerana saya bukan masak ala kadar, masak bahan-bahan semua cukup, bagaimana saya makan begitulah saya masak," titah Tunku Azizah kepada pemberita. Tunku Azizah juga menzahirkan hasrat untuk mengagihkan bubur lambuk kepada rakyat di pintu-pintu Istana Negara, namun disebabkan kekangan Covid-19, baginda berharap program itu dapat dibuat pada tahun hadapan. Sementara itu, Pengerusi KEKSIN Mohd Irfan Idrus berkata program memasak bubur lambuk yang bermula kira-kira 11.30 pagi itu adalah aktiviti tahunan dianjurkan pihaknya bersempena bulan Ramadan. Katanya sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak pada hari ini, dua menggunakan resipi Johor dan dua lagi resipi Pahang. Mohd Irfan yang juga Ketua Pegawai Pentadbir di Istana Negara berkata sebanyak 1,600 bubur lambuk akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur hari ini sebagai menghargai jasa mereka dalam membantu negara memerangi pandemik Covid-19. -CARI Sumber: Harian Metro
|
Katanya sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak pada hari ini, dua menggunakan resipi Johor dan dua lagi resipi Pahang.
Tinot7 replied at 5-5-2021 05:30 PM
apa beza resepi johor dgn pahang?
nikaido replied at 5-5-2021 06:05 PM
Dalam gambar RPA tengok je xmasak pun
Boomibulat replied at 5-5-2021 05:35 PM
Kt Kg Bharu ada bubur lambok PakHassan ke apa..pkl 12 org dh beratur beli..sdp sgt ke,sape2 pnh rasa ...
becir replied at 5-5-2021 06:39 PM
Siap mention bahan masakan semua cukup, xde kurang..okeyyyyyy
ADVERTISEMENT