Dari segi populariti, nama Tajul Ariff, 23, tidaklah sehebat rakan seangkatannya yang lain seperti Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi yang menjadi perhatian peminat.
Populariti Tajul seakan 'mendatar' dan kerjaya nyanyiannya pula 'semacam sepi' walaupun dia ada melancarkan beberapa lagu baharu. Bagaimanapun, bapa muda kepada dua cahaya mata ini tidak berasa kecewa dan mahu mengalah. Pernah popular dengan lagu solo, Sedalam Dalam Rindu termasuk lagu duet seperti Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Rindu Dalam Benci dan Aku Serius, Tajul berkata, kerjaya nyanyiannya masih diterima peminat serta tawaran menyanyi pun masih ada, cuma dia tiada cerita sensasi.
"Sebagai lelaki sudah berkahwin dan mempunyai keluarga, tanggungjawab saya sangat besar. Saya perlu menanggung isteri dan anak yang masih kecil. Ia bukan perkara mudah. Disebabkan itu, saya kini aktif dalam perniagaan. "Saya tak boleh harapkan pendapatan pada kerjaya seni semata-mata sebagai penyanyi dan pelakon. Saya kena ada cabang pendapatan lain yang lebih terjamin untuk menyara keluarga. Alhamdulillah, rezeki dimurahkan Allah," katanya. Menurut Tajul, dia bersyukur tidak berhadapan masalah pendapatan terjejas berikutan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Katanya, hasil perniagaan secara dalam talian (online) yang diusahakannya beberapa tahun lalu banyak membantu. "Selain aktif dalam kerjaya seni, saya sebenarnya membantu isteri, Nurul Shamieza Eddie, 25, berniaga produk wanita. Alhamdulillah, ada sambutan dan hasil pendapatan itu yang menampung kehidupan kami sekeluarga. "Saya juga anggap ia rezeki anak. Hampir empat tahun kami berumah tangga sudah dikurniakan dua zuriat. Bagi saya, dari situlah antara cabang rezeki kami yang tidak putus dan dimurahkan oleh Allah SWT," katanya. Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri lalu, adik bongsu Allahyarham Achik Spin ini berkata, dia dan isterinya lebih menyediakan keperluan anak-anak.
Katanya, disebabkan ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak dibenarkan merentas negeri dan daerah, mereka hanya meraikannya di rumah. "Isteri pun masih dalam pantang selepas melahirkan bayi lelaki kami pada 6 Mei lalu. Jadi, memang tak ke mana-mana pun. Dengan situasi Covid-19 yang belum reda, lebih baik di rumah berehat sambil melayan anak. "Lagi pun, anak perempuan kami, Adriana Carissa yang kini berusia setahun enam bulan sangat aktif kerana dah pandai berjalan. Agak mencabar juga saya nak menjaganya yang perlu diberi perhatian dan menuntut kesabaran," katanya. Mengulas cabaran mengurus dua anak kecil, Tajul berkata, setakat ini dia tidak menghadapinya kecuali ada masa berasa penat. Katanya, itulah pengalaman menjadi ibu bapa yang banyak mengajarnya erti sabar dan tenang. Dia bahagia dengan kehidupan dilalui.
"Seronok dah ada anak ini. Saya jadi lebih bertanggungjawab dan matang. Saya tak kesal pun berkahwin muda. Bagi saya, jodoh dah datang awal dan ini jalan hidup yang dipilih. Alhamdulillah isteri pun banyak membantu. Jadi, saya hanya perlu bersyukur," katanya. Mengenai nyanyian pula, Tajul berkata, dia baharu melancarkan lagu solo berjudul Izinkan Aku pada hujung Disember, tahun lalu. Lagu itu makin mendapat sambutan dan video muziknya di YouTube sudah mencatat lebih 380,000 tontonan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|