Pernah menjadi antara mangsa buli siber sebelum ini, penyanyi Amira Othman menasihatkan netizen agar lebih beretika dalam meninggalkan komen di media sosial.
Menurut Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, netizen yang gemar meninggalkan komen berbaur negatif perlu berfikir terlebih dahulu sebelum menulis kata-kata yang boleh menggores perasaan individu lain.
"Takut bila baca, luar biasa betul mereka ini komen. Bagi saya secara peribadi, perkara ini tidak seharusnya berlaku tapi nak kawal mulut manusia ini bukannya mudah. "Netizen mengutuk macamlah mereka (mangsa buli) tidak pernah buat kebaikan. Kalau ada seribu kebaikan kenapa nak menghukum atas satu perkara ini sahaja? "Begitu juga terhadap diri saya, kalau dulu mungkin saya layan tapi sekarang memang saya abaikan sahaja komen-komen negatif. Kalau saya layan, hidup mesti jadi lagi tertekan," katanya kepada mStar. Amira bersama dua rakan artis, Wany Hasrita dan Elfira Loy telah dilantik sebagai jurucakap bagi kempen Anti Buli Siber yang dianjurkan oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask. Penyanyi berusia 28 tahun itu sebelum ini pernah dikecam netizen gara-gara terlalu kuat bersenam sehingga dimasukkan ke hospital pada hujung tahun lalu. Rata-rata netizen membuat andaian penyanyi lagu Hati-Hati ini dikejarkan ke hospital kerana mengambil suplemen tambahan untuk cepat kurus sehingga menyebabkan dia jatuh sakit.
Selain bercakap bagi pihak dirinya, Amira juga turut bersimpati dengan nasib rakan-rakan artis yang lain seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Neelofa yang sering menjadi mangsa buli siber netizen sejak kebelakangan ini. "Berpada-padalah, tulis atau komen dengan menggunakan ayat yang sopan dan beradab. Hentam maki, kesian pada si penerima itu, mereka ada keluarga. "Sebagai rakan artis kepada mereka yang menerima nasib tersebut, nasihat saya... abaikan sahaja," ujarnya. -CARI Sumber:mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|