Sejak gadis berusia 23 tahun, Sharifah Rose muncul dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang disiarkan slot Lestary di TV3, tumpuan mula terarah kepada selebriti media sosial atau Instafamous itu.
Sepantas kilat, kehadiran Sharifah Rose mendapat reaksi netizen yang rata-rata membangkitkan soal kemampuan gadis yang lebih dikenali dalam platform media sosial ini, berlakon. Tidak hairanlah, gelaran pelakon 'kayu' atau 'pokok' kembali diperkatakan dalam laman sembang. Netizen turut membangkitkan kewajaran penerbit dan stesen penyiar memilih personaliti media sosial sebagai pelakon drama berdasarkan faktor individu terbabit mempunyai pengaruh besar atau pengikut ramai di Instagram (IG).
Ini membuka perdebatan terhadap kewibawaan penggiat seni dan pembekal kandungan hingga ada yang mengaitkan apakah penyiar atau penerbit sanggup memperdagangkan mutu produk semata-mata mengejar rating. Rata-rata netizen menganggap personaliti media sosial yang tiba-tiba terjun dalam dunia lakonan, tidak berbakat, hanya bergantung kepada paras rupa dan diragui kemampuan mereka beraksi. Mengajukan soalan itu kepada pengarah drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Nizam Zakaria, Sharifah Rose mampu berlakon biarpun masih 'hijau' dalam dunia seni. "Untuk bakat baharu dan 'hijau' seperti Sharifah Rose, dia berada pada tahap okay. Pasti jika terus diasah dan mencuri ruang belajar, dia boleh berlakon mengikut tahap dimahukan penonton," katanya kepada BH Online. Nizam berkata, gelaran artis 'kayu' hanyalah persepsi penonton. "Kalau pengarah, penerbit dan stesen TV fikir seseorang pelakon tidak 'kayu', maka tidak 'kayulah' dia. Sedangkan hakikatnya, kamilah yang kena menghadap pelakon itu setiap hari sampai dia tidak lagi digelar 'kayu'. "Kebiasaannya, orang yang mengatakan pelakon 'kayu' itu adalah mereka yang tidak tahu menilai lakonan... Perkara ini sangat subjektif," katanya. Nizam berkata, sebagai pengarah, dia memiliki keupayaan menilai kemampuan bakat baharu seperti Sharifah Rose. "Saya memiliki keupayaan mengagak apakah seseorang itu boleh pergi jauh dalam dunia lakonan atau sebaliknya. Jadi, percayalah dengan keupayaan saya itu," katanya.
Tambah Nizam, kemampuan penonton menilai bakat lakonan adalah berbeza. "Perkara ini berbalik kepada cita rasa. Ada orang suka menu Melayu dan ada yang suka masakan Barat. Begitu juga dalam soal lakonan. Adakalanya lakonan bersahaja sudah memadai untuk menzahirkan emosi. "Namun, ada pula pihak yang menganggap lakonan keterlaluan atau 'over the top' itulah yang dikatakan bagus. Pada akhirnya, kita sukar memuaskan hati orang," katanya. Nizam berkata, ada ketikanya, pengarah meminta pelakon memberi aksi berlebih-lebihan atau 'over' di set penggambaran.
"Ini dilakukan kerana ada pihak menganggap berlakon berlebih-lebihan itu baik. Sebagai contoh, bukan semua babak sedih memerlukan pelakon menangis. "Adakalanya hanya dengan wajah kaku sudah cukup menyerlahkan emosi yang tidak dapat diluahkan. Namun, akhirnya, penonton mahu lebih. Jadi, pengarah ada kalanya dalam dilema memuaskan hati sendiri atau penonton," katanya. Secara peribadi, Nizam lebih menyukai pendekatan sederhana tetapi mengesankan atau 'less is more'. "Disebabkan itulah, saya suka menonton cerita dari Scandinavia, drama bersiri Jerman atau terbitan British Broadcasting Corporation (BBC) yang menggunakan konsep 'less is more'," katanya. Nizam berkata, penggambaran drama Kekasih Hati Mr Bodyguard sebanyak 20 episod masih belum selesai.
Sementara itu, Sharifah Rose yang digandingkan dengan Redza Rosli dalam drama berkenaan tidak mengambil hati dengan kritikan penonton termasuk gelaran pelakon 'kayu'. "Saya fikir kecaman dan teguran itu perlu. Daripada situ, saya melihat semula kesilapan dan apa yang perlu ditambah baik serta diperbaiki dalam lakonan. "Tiada manusia yang sempurna. "Andai diberi kepercayaan dan peluang, saya tidak serik berlakon lagi. Ini hanyalah permulaan karier lakonan saya," katanya. Sharifah Rose menganggap setiap kecaman sebagai nasihat dan pandangan demi kelangsungan kerjaya seninya yang baru mekar.
Dia memiliki lebih 700,000 pengikut di IG. Drama Kekasih Hati Mr Bodyguard disiarkan setiap Rabu hingga Sabtu di slot Lestary TV3 sejak 15 Mei lalu. Redza membawa watak Hadif Akashah manakala Sharifah Rose sebagai Hana Aralyn yang menjalin hubungan cinta selepas bertemu untuk menyelesaikan suatu misteri. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|