Akibat berpenampilan luar biasa, permohonan satu pasangan di Sepanyol untuk berkahwin ditolak mahkamah. Memetik Zenger News, hakim di Vigo menolak permohonan pasangan Juan Alberto dan Maria Salinas selepas lelaki itu memakai kostum lanun, Kapten Jack Sparrow, karakter bintang utama filem Pirates of the Caribbean.
Salinas mengenakan pakaian tradisional utara Sepanyol dan bukan gaun seperti kelaziman pengantin lain. Mereka ke pejabat pendaftaran bagi menguruskan rancangan ketiga perkahwinan yang dijadualkan 24 April lalu selepas dua kali gagal akibat Covid-19. Namun, usaha mereka sia-sia apabila hakim menolak permohonan berkenaan kerana penampilan mereka tidak serupa pengantin lain. Mahkamah mendakwa terdapat peraturan undang-undang yang melarang orang awam memakai kostum memasuki bangunan berkenaan. Sebaliknya, pasangan itu mendakwa suatu ketika dulu mahkamah pernah membenarkan pasangan yang berpakaian kostum berkahwin.
Alberto berkata, hakim turut tidak mahu bertolak ansur apabila dia membuka topi dan rambut palsu sambil memintanya berpakaian sopan. "Hakim itu membuat keputusannya sebelum berbincang dengan kami," katanya berkongsi kejadian itu dalam Facebook. Katanya, dia sering berpenampilan lanun ketika turun menyantuni anak-anak di kem pelarian Greek Idomeni dan digelar lanun berbanding namanya Juan. Alberto dan Salinas terkenal di sekitar Galicia kerana kerja kebajikan dalam yayasan Paper Elephants untuk kanak-kanak kurang bernasib baik. Mereka merancang memenuhi impian mereka berkahwin dalam kostum itu bagi menghiburkan anak-anak mereka. Mereka mendakwa sudah menyiapkan semua dokumen penting untuk perkahwinan mereka. Peguam pasangan itu berkata, apa yang berlaku tidak sah dan perkahwinan itu perlu diteruskan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT