Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama yang bermula hari ini sedikit sebanyak diakui memberi kesan kepada penggiat seni tanah air. Bagi penyanyi dan pelakon, Hazama, Sekatan Pergerakan Penuh ini juga memberi kesan besar uhtuk karier seninya. Namun, tidak mahu hanya duduk diam, Hazama mempersiapkan diri dengan mencari alternatif bagi terus menjana sumber pendapatannya.
"Apa yang boleh saya kongsikan, sebelum ini disebabkan banyak kekangan untuk aktiviti muzik, sedikit sebanyak sumber pendapatan bertukar kepada bidang lakonan. "Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, disebabkan situasi sekarang, kerja lakonan pun semuanya dihentikan.
"Jadi, fokus saya selepas ini pula adalah kepada perniagaan makanan kecil-kecilan yang saya usahakan iaitu laksa," katanya. Berkongsi mengenai perniagaan itu, Hazama bersyukur kerana ia semakin berkembang maju kini. "Saya sangat bersyukur kerana dalam situasi pandemik yang kita hadapi sekarang, saya berkesempatan untuk wujudkan satu sumber pendapatan lain. "Sekarang pun ia dah mula berkembang dan mula dijual di platform e-dagang seperti Shopee. Jadi, dapat saya jual laksa saya bukan sahaja dalam daerah berdekatan, tetapi kepada pelanggan yang tinggal lebih jauh," katanya.
Ditanya mengenai aktivitinya dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini, Hazama berkata, dia akan mendalami ilmu perniagaan dan belajar lagi bagaimana untuk menambah baik perniagaan serta produknya. "Kalau sebelum ini, laksa saya hanya boleh dimakan sehari, jadi sekarang saya nak kena belajar bagaimana untuk menambah baik produk makanan itu supaya boleh tahan lebih lama. "Selain itu, saya juga akan mendalami ilmu perniagaan terutama bagi mencari mesin sesuai dan sebagainya," katanya. Terbaharu, Hazama kini bergandingan dengan penyanyi rock legenda, Datuk Awie sebagai juri dalam program Sumbang Suara yang ditayangkan di TV3 bermula Ahad lalu.
"Program ini lain daripada yang lain kerana ia membariskan peserta yang tiada bakat dalam nyanyian, tapi kreatif dan mempunyai keyakinan tinggi untuk membuat persembahan. "Dalam program ini, saya dan Awie bergelar wakil netizen atau dalam kata lain sebagai juri. Uniknya, kami tak mengadili suara peserta kerana siapa yang bersuara paling sumbang, dia pemenangnya. "Namun, ada juga beberapa kriteria lain yang kami tetapkan seperti keyakinan diri dan kreativiti dalam membuat persembahan," katanya. Ditanya sama ada timbul kerisauan dalam dirinya andai kata komen dan kritikannya dilihat dari sudut negatif, Hazama tidak menolak perkara itu.
"Pada awalnya, saya pun rasa risau juga kerana kita perlu memberi kritikan kepada penyanyi yang menyanyi dengan suara sumbang. Namun, saya jelaskan dengan tegas bahawa ia bukan untuk tujuan penghinaan, sebaliknya sebagai hiburan. "Setiap peserta yang menghantar penyertaan juga sudah sedia maklum mengenai konsep program ini dan mereka pun tentunya sudah bersiap sedia untuk menerima sebarang kritikan juri," katanya.
Program Sumbang Suara juga dihoskan oleh pengacara, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein atau lebih terkenal dengan panggilan Kak Lina Pom Pom (KLPP) yang tentunya akan memeriahkan lagi acara itu. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|