Ia turut disertai pengarahnya Osman Ali dan pelakon Dayang Areeda.
Drama terbitan Nuansa Sdn Bhd adaptasi daripada novel karya Mimie Afinie ini turut menampilkan lakonan Mimi Lana, Halim Radzi, Aishah Ilias, Fahmy Reza, Aleza Shadan, Rahim Jailani dan Kuna.
Farid yang dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2 Jun tahun lalu mengakui tidak tertekan dengan apa yang berlaku.
"Saya tidak nampak apa-apa masalah kerana kalau saya keluar ke mana-mana pun masyarakat tetap melayan saya seperti biasa dan seperti dulu.
"Namun, saya juga bersedia untuk bersara pada bila-bila masa. Kalau tidak diperlukan lagi, apakan daya kerana sebagai seorang pelakon modal saya adalah kepada instrumen kita iaitu tubuh badan kita. Sekiranya tubuh badan tak mampu beri alunan atau getaran yang sama lagi, bermakna di situlah titik yang menjadi pemisah saya bersara ataupun tidak," katanya.
Menurutnya, jika terjadi ia bukanlah kerana tekanan masyarakat tetapi kerana dia sudah membintangi 60 filem dan hampir menyamai jumlah lakonan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
"Lagi enam filem saya akan menyamai P Ramlee. Sebagai hero filem di Malaysia, sejauh mana dia mampu bertahan adalah berbalik kepada rezeki masing-masing. Saya seorang yang reda dan terima ketentuan apa yang terjadi kepada saya serta apa yang akan terjadi selepas ini," katanya.
Mengulas kontroversi sebelum ini, Farid berkata, dia sentiasa berdoa supaya ia tidak akan berulang lagi. "Sudah tentu saya mengharapkan tidak berlaku lagi. Saya juga sentiasa berdoa agar kehidupan saya dijauhkan daripada orang-orang yang sebegitu lagi kerana rambut sama hitam hati lain-lain.
"Susah nak cakap tapi pengalaman ini sudah mengajar saya erti kehidupan yang sebenar," katanya.
Sumber:
https://www.hmetro.com.my