Sejak penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, Mac tahun lalu, artis veteran yang masih aktif dalam kerja seni menerima kesannya.
Dengan skop tawaran berlakon atau 'job' terbatas berikutan faktor usia dalam situasi normal, pandemik COVID-19 menambah lagi tekanan kepada artis veteran untuk mencari rezeki. Andai kehidupan selesa dengan bantuan anak-anak, situasi menghimpit ini mungkin tidak dirasakan. Namun, ada artis veteran yang masih bergantung kepada pendapatan daripada aktiviti seni seperti berlakon dan menyanyi. Bagaimanapun, penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' di seluruh negara sehingga 14 Jun ini menyebabkan pendapatan mereka 'terputus' bagi tempoh yang sukar dipastikan.
BH Online mendekati pelakon 'senior' iaitu Delimawati, Mak Jah, Mubarak Majid dan Roslan Salleh yang berkongsi kisah kehidupan mereka sejak negara dilanda penularan pandemik COVID-19, tahun lalu. Delimawati yang terkenal dengan karakter Hantu Kak Limah daripada filem arahan sutradara Mamat Khalid, menganggap diri beruntung kerana menetap bersama anak bongsu. "Dalam soal makanan, ada yang menanggung saya. Apa yang anak saya, menantu dan cucu makan, saya berkongsi rezeki mereka. "Mujur duduk dengan mereka, jadi 'lepaslah' soal itu. Menantu bekerja manakala anak saya hanya menjadi suri rumah. "Namun, saya risau kerana bayaran pinjaman kereta tidak dapat dijelaskan lagi. Dengan kereta itulah saya bergerak untuk keluar bekerja. "Saya rasa 'patah kaki' kalau tiada kereta. Saya takut kereta 'ditarik', namun, saya tawakal dan berdoa yang baik-baik," katanya. Dakwa Delimawati yang berasal dari Kuala Kangsar, beliau sudah beberapa bulan tidak mendapat tawaran berlakon. "Kali terakhir berlakon telefilem Raya Pukul 7 untuk Awesome TV siaran Aidilfitri lalu. Selepas itu, tiada lagi. "Saya risau soal pendapatan. Namun, dengan keadaan meruncing sekarang dan 'total lockdown', kita kena utamakan nyawa daripada segala-galanya. "Kita kena berkorban untuk tidak meneruskan kerja lakonan. Jika tidak, kesannya lebih bahaya," katanya. Bagi Mak Jah atau nama sebenar, Maimunah Ahmad, beliau banyak menghabiskan masa di rumah sejak penularan COVID-19 membataskan karier lakonan. Mak Jah menetap bersama anaknya, dua cucu dan tiga cicit. "Saya tiada tawaran berlakon sejak empat bulan lalu. Jadi, masa banyak dihabiskan di rumah. Hanya memerap di rumah, sesekali mengintai keluar dan bermain dengan cucu. Terasa bosan tetapi nyawa perlu diutamakan. "Malah, kerja amal membersihkan telekung yang diambil dari surau di kawasan Rehat & Rawat (R&R) di lebuh raya dan beberapa tempat lain juga tidak boleh diteruskan," katanya. Namun, Mak Jah bersyukur kerana keperluan asas termasuk makanan tidak pernah putus. "Saya bersyukur dengan rezeki yang ada. Insya-Allah, ada sahaja rezeki datang. Bil utiliti pula, kalau saya tak mampu bayar, anak menolong menjelaskannya," katanya yang juga ibu tunggal kepada tiga anak. Sementara itu, pelakon drama 'otai, Mubarak Majid sentiasa tawakal dan percaya dengan rezeki. Mubarak yang aktif berlakon sejak era 1980-an, bersyukur masih menerima tawaran berlakon. "Ada rezeki saya sikit-sikit. Saya berlakon sepenuh masa sejak dahulu. Drama lakonan saya, Cukup Derita Itu sedang disiarkan TV3. Penggambaran drama arahan Along Kamaludin itu belum habis. "Babak saya ada kira-kira 10 peratus dan buat masa ini, 'shooting' dihentikan akibat 'total lockdown'," katanya. Selain itu, tambah Mubarak atau nama penuh, Mohamad Mubarak Majid, beliau juga mengikat komitmen dengan drama sketsa radio bersama Nasional FM iaitu Cik Norma Cik Maya selama setahun. "Saya sudah memulakan rakaman di konti radio, bulan lalu. Drama ini disiarkan setiap Ahad jam 12.15 tengah hari di stesen radio Nasional FM. "Dalam tempoh 'total lockdown' ini, saya rakamkan suara menggunakan telefon pintar sahaja," katanya. Mubarak yang memiliki 10 cucu mengaku menggunakan wang tabungan untuk meneruskan kelangsungan hidup. "Anak yang menetap bersama saya bergelar ibu tunggal. Dia membantu saya serba-sedikit dengan mengusahakan perniagaan atas talian," katanya. Sementara itu, Roslan Salleh yang sudah lebih empat tahun tidak berlakon kerana masalah kesihatan seperti kencing manis dan tekanan darah rendah, menumpukan perhatian kepada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan di Melaka. "Saya tidak berupaya lagi hendak berlakon. Saya tidak mahu susahkan orang lain. "Kali terakhir saya berlakon adalah dalam filem Perjanjian Anak Syaitan," katanya yang mengaku sakit batuk berdarah dialaminya, menyerang kembali, baru-baru ini. Ditanya mengenai perniagaan sambal lado, daging dendeng dan sambal hitam yang diusahakannya, Roslan berkata, jualan agak perlahan sekarang. "Sejak penularan pandemik COVID-19 dan kesihatan saya, bisnes jadi perlahan. Kalau ada permintaan pelanggan dan peminat setia sambal saya, barulah saya sediakan," katanya yang memiliki lima anak dan lapan cucu.-CARI Sumber: Berita Harian
|
helicornia replied at 11-6-2021 10:44 AM
sama je semua orang pun hadapi masalah kewangan dlm pkp.kenapa nak highlight masalah artis je
ajinomotonosuga replied at 11-6-2021 10:51 AM
Ko kenal delimawati..mak jah???
Depa tak kenal ko
clarizsa replied at 12-6-2021 02:14 AM
Kete apa tu smpai tua x abis byr lagi
X mampu xyah pakai lah
asamfish replied at 11-6-2021 02:34 PM
Mana2 artis muda yang bertenggek di forum ni, sila la daftar sebagai pencarum kwsp. Boleh masukkan ...
ADVERTISEMENT