Tindakan pengacara Mat Dan di Instagram berkongsi sebuah foto lama memperlihatkan tatu di bahagian bahunya dianggap tidak sesuai oleh segelintir netizen. Rata-rata netizen menegur dan berpendapat perkara itu sebagai tidak sensitif dan hanya membuka aib berikutan pengacara itu sudah pun memeluk agama Islam.
Bagaimanapun, Mat Dan atau nama sebenarnya Kareef Daniel Abdullah, 32, berkata, foto itu hanya untuk ditunjukkan kepada anaknya tentang imej dirinya ketika muda. "Saya hanya post gambar lama sebab rindukan rambut, sebenarnya saya baru botakkan kepala... bukan sebab saya rindukan tatu. "Saya minta maaf kalau benda itu sensitif, saya hanya nak tunjuk gambar itu kepada anak ketika masa muda. "Berkenaan tatu tu anak saya sudah hari-hari tengok, saya open kepada anak saya supaya dia tahu siapa daddy dia sebelum peluk Islam," katanya kepada mStar.
Mat Dan berkata, dia enggan membalas komen pada posting tersebut bagi mengelakkan perbalahan, sebaliknya menerima pendapat orang lain dengan hati terbuka. Dalam pada itu, Mat Dan berkata, dia berhasrat untuk membuang tatu tersebut sekiranya terdapat cara yang tidak memudaratkan dan meninggalkan kesan. "Bukan saya bangga dengan tatu, benda tu dah jadi sebahagian dalam badan saya memang tak boleh nak buang. "Tatu tu dah lebih 10 tahun di badan iaitu sejak umur 17 tahun, saya rasa macam dah tak perasan ada tatu tu kat badan saya. "Kalau masa depan ada teknologi yang buang dengan tak memudaratkan tanpa sakit boleh je nak buang, saya bukannya sayang tatu ni. "Teknologi yang ada sekarang semua laser, kalau buat ada kesan terbakar dan sakit," ujarnya. Sementara itu, pengacara program Mat Dan Kaki Jalan ini berkata, dia mendidik anaknya yang berusia tiga tahun dengan cara Islam dan memberi pemahaman bahawa tatu tidak dibenarkan kepada muslim. "Saya didik anak dari kecil, saya bagi tahu anak saya yang daddy dia bukan lahir sebagai Islam. "Bila dia besar nanti dia faham la, saya faham orang cakap perkara itu tak baik tunjuk dekat anak," ujarnya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT