Beijing: Hanya kerana mahu menjaga hati nenek, seorang wanita di China sanggup menipu ibunya masih hidup selama 13 tahun. Bagi tujuan itu, Cheng Jing, 46, juga terpaksa melatih seseorang wanita untuk meniru suara ibunya untuk berbual menerusi telefon dengan neneknya.
Media tempatan melaporkan Jing mengambil keputusan untuk menipu neneknya selama lebih satu dekad itu kerana bimbang warga emas itu sedih dengan kematian anaknya. Ibu Jing, Cheng Congrong meninggal dunia pada 2003 dan wanita itu berpendapat peristiwa itu akan memberikan kesan mendalam kepada neneknya. Ia memandangkan Congrong adalah anak tunggal.
Difahamkan, neneknya itu meninggal dunia pada usia 100 tahun tanpa mengetahui perkara sebenar. Menurut laporan media, Congrong amat rapat dengan ibunya dan mereka tetap berhubung biarpun selepas dia disahkan menghidap barah paru-paru pada tahun 2003. Dia juga merakam puluhan pesanan suara dan meminta anaknya memainkan rakaman itu kepada nenek mereka supaya wanita itu tidak bimbang. Jing menghormati permintaan terakhir ibunya dan selepas kematian wanita, mereka terus memainkan rakaman yang dibuat untuk nenek mereka, jika perlu berbuat demikian. Antara pesanan yang dirakam itu adalah dia mengingatkan ibunya untuk makan ubat setiap hari dan bangun dari tempat tidurnya perlahan-lahan, pada waktu pagi. Cheng Jing sedar usaha itu tidak akan bertahan lama dan neneknya akan sedar bahawa pesanan itu adalah dirakam. Jadi, dia meminta seorang wanita bernama Cheng Weiping yang mempunyai suara mirip ibunya untuk membantu. 'Wanita' itu memberi alasan tidak dapat mengunjungi ibunya itu kerana terlampau sibuk menjaga cucu. Perkara itu berlanjutan selama 13 tahun sehingga si nenek meninggal dunia beberapa bulan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT