Penyanyi, Mila Jirin, 34, yang kini menjual durian terguris dengan kata-kata segelintir netizen yang mendakwa harga duriannya sebagai 'harga Yahudi' kerana mahal. Mila berkata, mereka perlu tahu realiti kos yang ditolak oleh pekebun.
"Janganlah mudah sangat melontarkan kata-kata 'harga Yahudi' kepada peniaga durian sedangkan anda tidak tahu pun realiti kos ditolak oleh pekebun. "Sebenarnya, harga diletakkan pekebun agak mahal. Malah, keuntungan diperoleh pula berapa ringgit saja mengikut berat yang diletakkan peniaga. "Saya pula jual isi durian saja yang siap dikopek. Jadi, jumlah isi dalam durian itu memang kita tak tahu berapa banyak yang ada. Kadang-kadang buahnya saja yang besar dan berat, tapi isi tak banyak. Malah, saya juga tak pasti durian mana isinya tebal dan mana pula isi nipis. Semuanya kita akan tahu bila sudah dikopek," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu, Mila menerima kiriman mesej di Instagram daripada seorang pembeli yang meluahkan rasa tidak puas hati mendakwa harga durian dijual Mila mahal, tapi isi pula sedikit dan nipis. Menurut Mila, perkongsian dibuatnya di Instagram itu juga tidak bertujuan mencari publisiti dan mahu mengaibkan sesiapa. Katanya, dia pun tidak mendedahkan identiti individu yang mengirim mesej berkenaan. "Saya sekadar nak beri penjelasan kepada orang ramai kerana saya dapati di media sosial seperti Facebook dan Instagram, kebanyakan netizen menulis hantaran kepada peniaga durian dengan dikaitkan 'harga Yahudi'. "Saya jadi terasa juga dengan kata-kata itu kerana baru pertama kali jual, terus dilabel begini," katanya. Katanya, mungkin juga perkataan 'harga Yahudi' sudah sebati dengan cara bertutur. Jadi, satu kenyataan perlu dibuat untuk memberi input kepada ramai orang supaya dengan pencerahan berkenaan mereka faham kenapa harga durian dijual tinggi. Mila berkata, jika hanya menjual isi durian, sebanyak dua biji durian diperlukan untuk isi seberat 500 gram.
Selain itu, keuntungan jualan yang diperoleh pula di bawah 10 peratus. Mila berkata, dia menjual durian Balik Pulau dari Pulau Pinang yang diambil terus dari ladang durian di sana. Selain durian, Mila juga menjual nasi Arab, kek dan menjalankan perniagaan katering serta dewan perkahwinan. Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|