Klang: Ketiadaan bayi yang didakwa terperangkap dalam kebakaran di tingkat tiga, rumah kedai tiga tingkat di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi di sini, malam tadi, menjadi tanda tanya pihak bomba.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pada jam 8.37 malam tadi, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa bayinya terperangkap dalam kebakaran. "Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kebakaran di tingkat tiga rumah kedai itu. "Maklumat awal, bomba dimaklumkan terdapat seorang bayi terperangkap dan pihak bomba menjalankan kerja mencari mangsa di lokasi kebakaran.
"Selepas pencarian dilakukan dengan bantuan anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiada tanda-tanda ada mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan operasi ditamatkan," katanya ketika dihubungi hari ini. Hafisham berkata, sebaik selesai pencarian, pihaknya cuba mendapatkan bapa bayi terbabit untuk mendapatkan maklumat namun gagal dihubungi. "Lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan ketika kami hubungi dia dan dia tiada di lokasi ketika bomba melakukan pencarian bayinya. "Bomba dimaklumkan rumah yang terbakar itu didiami tiga sekeluarga termasuk bayi terbabit. "Sehingga kini, tiada maklumat umur dan jantina bayi berkenaan," katanya. -CARI Sumber: Harian Mtero
|
ADVERTISEMENT