Pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mendapat suntikan moral terbaik sebelum memulakan kayuhan dalam Sukan Olimpik Tokyo selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang membawa gelaran Datuk, semalam.
Pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun yang terkejut menerima berita gembira itu mengakui anugerah itu di luar jangkaannya selain tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan gelaran itu. Namun Azizulhasni yang digelar 'The Pocket Rocketman' dan bakal berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal. "Pertamanya, rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini.
"Tambahan pula, saya adalah atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu yang mendapat gelaran itu, sudah pastinya begitu gembira dan rasa bertuah. "Terus terang saya terkejut mendengar berita ini. Pada mulanya saya tidak percaya malah menyangka ianya sebagai gurauan daripada rakan-rakan dan sahabat media kerana berbaki seminggu lagi sebelum saya bertolak ke Jepun. "Namun, selepas diyakinkan beberapa pihak saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua terutama Sultan Terengganu selain tidak menyangka gelaran itu adalah betul berlaku dan bukannya gurauan," katanya ketika dihubungi. Mengulas lanjut, Azizulhasni yang bakal turun ke gelanggang dalam acara pecut pada 4,5 dan 6 Ogos dan diikuti acara keirin pada 7 dan 8 Ogos, menyifatkan gelaran itu mampu membakar semangatnya untuk memburu pingat emas pertama buat negara dalam sejarah.
|
ADVERTISEMENT