Presiden Tunisia, Kais Saied, semalam mengumumkan penggantungan Parlimen negara ini dan pemecatan Perdana Menteri, Hichem Mechichi, berikutan insiden tunjuk perasaan terhadap parti pemerintah.
Kedengaran bunyi hon kenderaan menyambut pengumuman yang dibuat oleh Saied selepas mengadakan mesyuarat tergempar di istananya. Terdahulu, ribuan rakyat Tunisia turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar dengan mendakwa parti pemerintah telah gagal, termasuk dalam menangani pandemik COVID-19 di negara Afrika Utara ini. Di Tunis, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan Parlimen sambil melaungkan slogan bantahan terhadap parti pemerintah, Ennahdha, serta Mechichi. Tunjuk perasaan turut dilaporkan di bandar Gafsa, Kairouan, Monastir, Sousse dan Tozeur.
"Rakyat mahu Parlimen dibubarkan," kedengaran laungan mereka. Menurut wartawan AFP, beberapa penunjuk perasaan ditahan, manakala seorang pemberita cedera apabila peserta demonstrasi itu melemparkan batu dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata. "Perlembagaan tidak membenarkan pembubaran Parlimen tetapi membenarkan ia digantung," kata Saied sambil memetik Artikel 80 yang membolehkan tindakan itu diambil sekiranya terdapat 'bahaya bakal berlaku.' Katanya, beliau akan mengambil alih kuasa eksekutif 'dengan bantuan' kerajaan diterajui pemimpin baharu yang dilantiknya sendiri selain berkata, imuniti barisan timbalan di Parlimen juga akan ditarik balik. Tunisia yang memiliki kira-kira 12 juta penduduk, sedang bergelut dengan penularan COVID-19 yang telah meragut lebih 18,000 nyawa, setakat ini. Sementara itu, parti Ennahdha membidas keputusan yang diumumkan Saied. "Tindakan Kais Saied adalah satu rampasan kuasa 'd'etat' terhadap revolusi serta Perlembagaan. Ahli Ennahdha dan rakyat Tunisia akan mempertahankan revolusi," menurut parti itu dalam kenyataan melalui Facebook. Sumber: BH Online
|
ultra78 replied at 26-7-2021 01:58 PM
Tahniah wartawan cari yg sudah mula guna tajuk thread yg clickbaity
budakshinchan replied at 26-7-2021 02:21 PM
baru smlm perenang Lelaki Tunisia menang Olympic Gold medal.. Ahmad Hafnouie
ADVERTISEMENT