Gara-gara tubuh semakin kurus dan wajah mencengkung, Hafiz Suip menerima pelbagai tohmahan negatif termasuklah dituduh mengambil bahan terlarang (dadah).
Hafiz bagaimanapun memilih untuk tidak mengambil pusing perkara tersebut kerana sedar lumrah hidup sebagai seorang selebriti. “Kalau benda tidak betul, kenapa perlu layan? Jika dilayan maknanya benda itu betullah. Kita tidak buat, kenapa perlu layan (gosip). Jika saya bercakap lebih nanti kedengaran seperti saya marah orang pula. “Sebagai selebriti memang kita tidak boleh bercakap apa, hanya mampu terima dan kemam. Jika kita buka mulut nanti dipandang serong pula. Sebab ini lumrah hidup, seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan saya kita (selebriti) adalah milik netizen dan peminat.
“Saya kena terima hakikat tersebut dan orang di luar sana pun perlu menerima hakikat bahawa saya juga manusia biasa,” ujar Hafiz mohon dimengerti.
Sementara itu, Hafiz mengakui dia cukup tertekan apabila tahap kesihatannya kerap menjadi persoalan orang ramai. Meskipun sedar ramai yang berasa bimbang dan mengambil berat tentang dirinya selepas perubahan tubuhnya secara mendadak namun, bagi Hafiz lebih baik merujuk atau bertanya langsung kepada dirinya terlebih dahulu daripada terus menghakimi tanpa usul periksa. “Jika kerap ditanya, kau sakit ke? Lama-lama kita akan betul-betul sakit kerana soalan yang sama diulang-ulang. Setiap apa yang keluar daripada mulut kita adalah satu doa. Jika benar-benar mengambil berat, kita akan jumpa atau hubungi terus orang itu secara peribadi. “Janganlah terus membuat tuduhan seperti mengambil dadah, keluarga tidak beri makan dan pelbagai lagi tuduhan lain yang saya terima. Memanglah saya seorang artis, hakikatnya itu kerjaya saya sahaja. Saya pun manusia biasa, jika dilempar dengan perkara sebegini memang saya tertekan,” kata Hafiz jujur.
Sungguhpun tubuhnya dilihat semakin susut, Hafiz menjelaskan, dia berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. “Alhamdulillah, apa yang boleh dikatakan, saya sihat. Sihat dan sakit kita semua urusan Allah. Saya telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan apabila ada orang kata saya adalah masalah perlu jumpa ustaz (rawatan islam) saya pergi semua, mana-mana sahaja. “Syukur, semua tempat yang saya pergi mengatakan saya berada dalam keadaan okey,” jelasnya yang ditemubual pada sidang akhbar secara virtual sempena pelancaran lagu duet terbaharunya bersama Ernie Zakri berjudul Berakhirlah Pencarianku sebentar tadi. Dalam pada itu, Hafiz dan Ernie buat pertama kalinya berduet di dalam sebuah lagu berjudul Berakhirlah Pencarianku yang juga akan akan diangkat menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri di Astro.
Terdahulu Hafiz telah berduet dengan ramai penyanyi popular antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Misha Omar, Faizal Tahir dan Adira. “Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Ernie seorang guru vokal dan memiliki suara yang luar biasa. Kami telah cuba sehabis baik dan berharap peminat akan menerima lagu ini dengan hati yang terbuka,” luah Hafiz. Video muzik lirik lagu single Berakhirlah Pencarianku yang merupakan kerjasama antara, Nova Music dan Rocketfuel Entertainment itu boleh ditonton di YouTube bermula 4.30 petang hari ini. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|