Beruntung buat penyanyi baharu, Haris Halim apabila bakatnya dalam nyanyian digilap oleh komposer yang kian meningkat iaitu Sirkhan. Pemilik syarikat Whiteroom Music mengesan bakat Haris apabila memanggilnya untuk menjalani sesi uji bakat yang turut dihadiri penyanyi Sufian Suhaimi.
Halim, 23, tidak pernah muncul dalam mana-mana program realiti anjuran stesen televisyen tempatan. Dia yang turut berbakat bermain gitar, ukulele, keyboard dan dram sebaliknya adalah pelajar yang mengikuti program Ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaya. Halim dikenali menerusi lagu bergenre pop jazz, berjudul Kekasih Baru ciptaan Sirkhan dan liriknya ditulis oleh Sirkhan dan Sang Hitam.
Menurutnya, peluangnya dalam bidang nyanyian mula terbuka sebaik bertemu Sirkhan. "Abang kawan saya adalah kawan kepada Sirkhan. Dia nampak bakat saya lalu memperkenalkan saya dengan Sirkhan. Dari situ, saya diminta datang untuk uji bakat di rumah Sirkhan. "Tak dinafikan saya agak gementar kerana waktu itu Sufian pun ada bersama, tapi saya kuatkan semangat. "Selepas selesai menyanyi, Sirkhan beritahu dia boleh letakkan saya di bawah label yang sudah terkenal, tapi dia takut saya diabaikan kerana di sana sudah ada artis besar," katanya.
Selepas berfikir mendalam, Halim diletakkan di bawah naungan Whiteroom Music untuk memudahkan Sirkhan menguruskan perjalanan seninya. "Lagu Kekasih Baru mula menjalani proses rakaman pada akhir 2019. Genre pop jazz jarang sekali dinyanyikan anak muda sekarang. "Ia adalah tindakan berani Sirkhan untuk mengetengahkan bakat saya dalam industri seni walaupun kita tahu dia sangat sinonim dengan komposisi lagu balada seperti Di Matamu, Tergantung Sepi, Menahan Rindu, Kepuraanmu dan banyak lagi.
"Tindakan berani pihak Whiteroom Music melancarkan lagu ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April tahun lalu adalah diluar jangkaan. "Ternyata tindakan itu amat berbaloi apabila Kekasih Baru mendapat perhatian peminat selepas mendapat lebih 77,000 tontonan dalam tempoh PKP," katanya. Menurut Halim, kejayaan tontonan di YouTube membuahkan hasil apabila Kekasih Baru mula berkumandang di corong radio selepas PKP tamat pada Julai tahun lalu.
"Saya bersyukur walaupun tanpa penyertaan dalam mana-mana program realiti, saya tetap berjaya menambat hati peminat muzik tempatan untuk meminati saya. "Kini saya mempunyai kelab peminat iaitu HoneyH. Semoga dengan single Kekasih Baru ini, saya dapat melangkah lebih jauh dalam industri muzik tanah air dan antarabangsa," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|