Kuala Lumpur: Pemergian penyanyi Allahyarham Siti Sarah masih dirasai oleh peminat muzik tempatan apabila single pertamanya berjudul Kesetiaan yang dilancarkan pada 2002 kini menduduki carta pertama Lagu Strim Paling Tinggi di Malaysia untuk minggu ke-33.
Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini, lagu ciptaan komposer terkenal Ajai itu berjaya menduduki carta nombor satu selama dua minggu berturut-turut. Lebih mengujakan, tiga lagi single nyanyian Siti Sarah turut menduduki carta Top 10 sebagai Lagu Strim Paling Tinggi sepanjang 13 Ogos hingga 19 Ogos tahun ini. Antara lagu yang distrim peminat tempatan adalah single duet berjudul Semakin Benci Semakin Cinta nyanyian Siti Sarah bersama suaminya Shuib yang berada di tangga kelima.
Ini diikuti single pada 2003 berjudul Saat Hilang Cintamu di tangga keenam manakala lagu Semakin terbitan Indigital Music di tangga kesembilan. Barangkali kejayaan semua lagu nyanyian Siti Sarah itu adalah salah satu cara untuk peminat mengubat kerinduan terhadap ibu kepada empat cahaya mata itu. Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, (HCTM). -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT