Kemas Kini: Anhar al-Deek Dibebaskan RAMALLAH: Seorang wanita Palestin Anhar al-Deek yang hamil sembilan bulan dan ditahan Israel di penjara, hari ini dibebaskan.
Bagaimanapun Israel meletakkan syarat untuk Anhar diikat jamin 40,000 shekel atau kira-kira 12,500 dolar Amerika Syarikat (USD). Selain itu Zionis juga mensyaratkan wanita itu dikenakan tahanan rumah di kediaman keluarganya. Anhar dilapor bakal melahirkan bayinya dalam tempoh beberapa hari lagi. Sebelum ini masyarakat dunia mengecam tindakan negara haram tersebut yang memenjarakan Anhar menerusi tanda pagar #saveanhar. Alhijrah Online juga sebelum ini melaporkan ibu muda berusia 25 tahun itu langsung tidak menerima simpati dan belas kasihan daripada pihak penjara Zionis walaupun sedang sarat hamil selain berkemungkinan besar akan melahirkan bayinya dengan keadaan kakinya bergari. Anhar ditahan tentera Israel kira-kira lima bulan lepas kerana dituduh cuba melakukan serangan tikaman di sebuah kawasan penempatan haram Israel dekat pekan yang menjadi tempat tinggal mereka.
Beliau bagaimanapun dilapor langsung tidak dibicarakan, malah penahanannya dikatakan dilakukan tanpa sebab munasabah. – CARI Sumber: AlHijrah Online ________________________________________________________________________________________________ Satu petisyen selamatkan tahanan Palestin, Anhar Deek yang kini sedang hamil sembilan bulan dimulakan netizen di platform media sosial, change.org. Petisyen yang dimulakan seorang individu itu bertujuan mendapatkan 150,000 tandatangan sebagai sokongan kepada usaha mendesak rejim Israel membenarkan Anhar melahirkan bayinya di luar penjara. Anhar dijangka bersalin beberapa hari lagi dan tindakan Israel yang mahu wanita itu melahirkan bayinya di dalam penjara disifatkan sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia dan nilai-nilai kemanusiaan. Setakat jam 9 malam Khamis, petisyen itu berjaya mengumpul lebih 11,000 tandatangan. Wanita berusia 25 tahun itu sebelum ini pernah menulis surat dari penjara untuk memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia bagi mendesak pembebasannya seterusnya membolehkan dia bersalin di luar pusat tahanan. Anhar ditahan tentera Israel sejak usia kandungannya lima bulan kerana dituduh cuba menikam seorang anggota rejim itu di penempatan haram Israel. Wanita itu kemudian dibawa ke Penjara HaSharon dan Mahkamah Israel menolak rayuan keluarga Anhar untuk membebaskannya walaupun dia mengalami komplikasi semasa kehamilan. Dalam pada itu, Liga Arab pada Rabu turut mendesak Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Anhar. Dalam masa sama, Pertubuhan Masyarakat Awam (CSO) seluruh dunia digesa memberi tekanan kepada Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT