Seorang lelaki Tunisia meninggal dunia di hospital kelmarin selepas membakar dirinya, lapor AFP. Kata saksi dan pakar perubatan, kejadian berlaku beberapa hari selepas seorang lagi nekad membakar diri untuk memprotes keadaan hidup yang daif di negara itu.
Kedua-dua tindakan itu mengimbau peristiwa seorang penjaja Tunisia, Mohamed Bouazizi yang mati selepas membakar dirinya pada 17 Disember 2010. Kematian lelaki itu mencetuskan revolusi Tunisia dan membawa kepada kebangkitan rakyat dikenali sebagai Arab Spring yang menumbangkan beberapa pemimpin autokratik di dunia Arab.
Kelmarin, seorang lelaki berusia 35 tahun membakar diri di Lebuh Habib Bourguiba, pusat bandar Tunis, kata agensi pertahanan awam kepada AFP. Lelaki itu yang motifnya masih belum diketahui, mengalami luka melecur tahap tiga dan dikejarkan ke hospital, kata seorang jurucakap pertahanan awam, namun meninggal dunia akibat kecederaannya. Seorang saksi berkata, lelaki itu hadir ke lebuh tersebut ditemani seorang lelaki muda dan cuba menarik perhatian beberapa wartawan yang hadir di sana. Dia kemudian membasahkan dirinya dengan bahan mudah terbakar dan sebelum menyalakan api dengan pemetik api, kata saksi. Polis membuat sekatan di kawasan itu, manakala wartawan AFP melihat sepasang kasut yang hangus di belakang mereka sejurus selepas kejadian itu. Pada minggu lalu, seorang pemuda yang cedera dalam revolusi 2011 membakar dirinya selepas kerajaan gagal memberikan pampasan, kata keluarga mangsa. Neji Hefiane, 26, meninggal dunia di sebuah hospital di pinggir Tunis pada 4 September lalu setelah membakar diri di hadapan keluarga, kata ayahnya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT