Kediaman ahli politik di zon keselamatan di New Delhi diserang sekumpulan individu bersenjatakan kapak dan kayu. Presiden Majlis All-India-e-Ittehad-ul Muslimeen (AIMIM), Asaduddin Owaisi berkata, 13 individu merosakkan kediamannya ketika ketiadaannya pada Selasa.
"Mereka bersenjatakan kapak dan kayu, melemparkan batu ke rumah saya, papan nama saya turut dimusnahkan. "Kumpulan itu melaungkan slogan berbaur perkauman dan mengancam membunuh saya," kata Owaisi dalam Twitter.
Tambah Ahli Parlimen Hyderabad itu, ini kali ketiga kediaman rasminya berhampiran Bangunan Parlimen dan bangunan kerajaan lain diserang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan di kawasan paling dipantau di New Delhi itu. Beberapa penyerang adalah daripada kumpulan yang dikenali "Hindu Sena" (tentera Hindu) dan telah ditahan polis, kata jurucakap pihaknya kepada Bernama. AIMIM sudah bertapak di Hyderabad selatan Telangana sejak berdekad lamanya, namun parti itu telah berkembang ke wilayah baharu seperti di Bihar, Gujarat, Uttar Pradesh, Benggala Barat dan Maharashtra untuk bertanding dalam pilihan raya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT