"Saya juga harap dia sempat diberi satu lagi peluang kerana sepanjang hidupnya, dia adalah seorang yang baik, anak yang patuh dan seorang yang taat.
"Saya minta masyarakat dan sesiapa juga yang mengikuti perkembangan Ajad untuk mendoakan kebaikan untuk dirinya seperti mana kami sekeluarga mendoakan semua. "Memang ujian ini berat untuk saya dan keluarga, bagaimana perasaan kami ini hanya Allah SWT yang tahu," kata Nur Mustika Kamaruz Zaman. Instafamous berusia 33 tahun itu berkata, sebagai adik yang rapat dengan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat, dia hanya mampu mendoakan agar Nur Sajat kuat dan berjaya menempuh ujian hidup. Katanya, kali terakhir dia bertemu usahawan kosmetik itu Februari lalu sebelum dia menghilangkan diri. "Saya tegur dia mengenai tindakannya yang menimbulkan kontroversi dan selepas itu saya tak tahu di mana. "Apapun saya boleh katakan, sebagai manusia, Ajad seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat suka membantu orang. "Saya sendiri pun tak mampu buat seperti mana dia. Sebab itu saya harap orang ramai tidak hanya menghukum atau melabel dia teruk dan sebagainya, sebaliknya beri dia dorongan dan semoga semua kesilapan sempat diperbetulkan," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. Ditanya mengenai kisah Nur Sajat yang ditahan di Thailand, Mustika berkata, dia hanya tahu melalui laporan Harian Metro, Isnin lalu. Katanya, dia dan keluarga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan namun mempersoalkan kesahihan perkara itu. "Sebelum ini bila dia ditahan, ada bukti gambar dan video, jadi mana buktinya? "Saya juga menerima terlalu banyak pertanyaan mengenai keadaan dia namun saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu. "Sebagai adik, saya hanya mampu doakan dia. Sama ada dia balik (ke Malaysia) atau tak, saya sendiri tak tahu," katanya. Isnin lalu, Harian Metro melaporkan misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia. Pendedahan eksklusif Harian Metro itu turut mendedahkan bahawa Nur Sajat kini dikenali dengan nama Bella selain memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan pejabat badan itu di Bangkok, Thailand. Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan. Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam. Kuala Lumpur: Pihak berkuasa agama tidak akan menyusahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang mahu dikenali sebagai Nur Sajat, sebaliknya akan membantunya. Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, matlamat majlis atau jabatan agama Islam adalah untuk menyelamatkan bukannya untuk menyusahkan. "Jika Muhammad Sajjad melarikan diri ke luar negara disebabkan takut dengan pihak berkuasa Islam di negara ini, maka tanggapannya salah. "Bukan bermaksud, apabila didenda semata-mata, itu tujuan utama. Sebab konsep Islam, menghukum bukan untuk membinasakan, sebaliknya tujuan sebenar adalah memberikan keinsafan. "Tak perlu bimbang (untuk Muhammad Sajjad pulang). Tujuan kita dengan orang Islam bukannya kita hendak menyeksa dia atau menyusahkannya," katanya. Menurut beliau, memang Rasulullah SAW menyuruh kita supaya menyelamatkan individu yang memerlukan. "Kalau dia susah kita bantu. Jika akidahnya tidak betul, kita nasihati supaya kembali ke jalan yang benar dan bertaubat. Itu tugas kita. "Kalau dia lari dengan sebab itu, mungkin itu silap faham dia kepada pihak berkuasa agama Islam. Kita ada di sini untuk menyelamatkan akidah umat Islam, kesusahan dan sebagainya…yang sepatutnya membantu orang Islam tentulah orang Islam jugalah," katanya. Beliau berkata, oleh kerana Muhammad Sajjad sudah pun berada di luar negara, maka pihak kedutaan dan Kementerian Luar perlu mengambil tindakan untuk mempermudahkan urusan membawanya pulang ke tanah air. Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, kerajaan perlu menggunakan segala undang-undang yang ada untuk membawa pulang Muhammad Sajjad supaya lelaki itu dapat dibicarakan dengan adil. "Undang-undang mestilah dikuatkuasakan. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan sesiapa yang melakukan kesalahan hendaklah diambil tindakan. "Antara tujuan tindakan undang-undang adalah untuk mencegah jenayah, salah laku, mengingatkan, memberi pengajaran kepada pesalah dan orang lain demi keselamatan, keamanan negara serta rakyat," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
sharlenetexas replied at 23-9-2021 03:54 AM
Kes2 jenayah dan sivil tu nak diberi peluang lagi ke? Bukan setakat memondan.
OyaTonggek replied at 23-9-2021 11:56 AM
peluang dah lama diberi...Ajad je yg seperti mencabar undang2...
akuMNdia replied at 23-9-2021 03:58 AM
bukan setakat cabar undang2 dunia..
undang2 Allah pun selamba dia langgar lebh2 lg masa pi umrah ...
ADVERTISEMENT