Kes jangkitan harian COVID-19 menyaksikan penurunan yang
ketara dan banyak sektor kembali dibuka dengan kadar vaksinasi penuh
golongan dewasa mencapai sasaran 90 peratus.
Namun tetap ada yang
merisaukan apabila masih ada yang belum mengambil vaksin dengan alasan
tersendiri, lebih membimbangkan lagi ada yang sanggup memalsukan sijil
vaksin semata-mata ingin terus bekerja. Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin bengang dan mendakwa terdapat segelintir kru dan pelakon sanggup memalsukan sijil vaksin semata-mata mahu masuk set dan terus bekerja. Menerusi hantaran di Instagramnya, pengarah drama Nur menyeru agar semua pelakon dan kru perlu jujur.
"Tolong jujur, sebab bekerja dengan niat menipu ini, Insya-Allah takkan berkat. Perkara yang merisaukan saya adalah, apabila ada kru atau pelakon termasuk pelakon tambahan yang tak telus. "Akhir-akhir ini, bertebaran khabar angin mengatakan ada beberapa artis yang sanggup berpakat dengan 'orang dalam' untuk memalsukan sijil vaksin di MySejahtera hanya kerana mahu namanya 'lepas' untuk turun menjalani penggambaran," katanya. Shahrulezad menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi berita mengenai kes jangkitan terbaru membabitkan satu produksi penggambaran yang dijalankan di Perak. Dalam nada tegas, Shahrulezad juga penerbit syarikat Radius One berkata pihaknya tidak akan bertanggjungjawab jika ada mana-mana pihak yang menipu perkara itu. "Di tahap ini, saya tak tahu nak cakap apa lagi apabila sampai satu peringkat kru dan pelakon sanggup menipu kami. Apabila terjadi perkara ngeri macam cerita di bawah ini, kami selaku penerbit yang sudah keluarkan duit terpaksa menanggung akibat perbuatan pentingkan diri mereka. "Produksi terpaksa ditutup. Jangkitan yang lebih banyak akan berlaku. Paling ngeri, kematian mungkin akan berlaku. Terus terang cakap, belum ada lagi pakej insuran yang sanggup beri perlindungan sekiranya malapetaka ini berlaku di set saya, Radius One tak akan bertanggungjawab andai kata ada yang menipu kami," katanya.
Dalam masa sama, Shahrulezad berkongsi rasa hormatnya kepada artis yang berpegang kepada pendirian mereka dan tidak menipu walaupun enggan mengambil vaksin. "Jujur, saya lagi hormat artis atau kru yang terus terang mereka tak nak ambil vaksin dan berpegang kepada pendirian itu. Sekurang-kurangnya, mereka tak menipu. Untuk mereka yang enggan (mengambil vaksin) ini, saya tetap doakan rezeki mereka dipermudahkan dan dimurahkan Allah," katanya. Agaknya siapalah pelakon yang menipu tu, slumber ya palsukan sijil vaksin. Tak takut ke kantoi? - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|