CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Kenderaan Lihat artikel

Honda Cr-V 2.4

15-1-2014 04:00 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 9028| Komen: 2

HONDA PANDU UJI
Honda CR-V 2.4 tegap & mantap

Honda CR-V merupakan antara SUV yang cukup popular di Malaysia. Pada 5 Mac 2013 lalu, Honda telah melancarkan Honda CR-V generasi ke-empat dengan varian 2.0 liter. Empat bulan kemudian giliran varian 2.4 liter pula dilancarkan.

Berbanding dengan varian sebelum ini, CR-V generasi terbaharu ini menerima perubahan secara besar-besaran terutamanya daripada segi reka bentuknya. Ia dapat dilihat daripada sudut hadapan hingga ke bahagian belakangnya. Serlahan gaya maskulin membuatkan CR-V ini nampak begitu tegap dan mantap. Adakah prestasinya seiring dan sejalan dengan serlahan gayanya?

Infokereta.com bersedia untuk mengulas mengenai kehebatan SUV ini selepas memandu ujinya selama beberapa hari.

Hadir dengan enjin 2.4 liter DOHC empat silinder 16-injap i-VTEC, bersama kotak gear automatik kawalan elektronik lima kelajuan, varian ini mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 140kW pada 7,000rpm dan tujahan tork 222Nm pada 4,400rpm.



Tercatat dalam spesifikasi manualnya, SUV ini mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 190km/j. Namun bagi penulis, SUV ini lebih sesuai dipandu secara santai dan bukan melibatkan pemanduan agresif. Apatah lagi jika memilih mod ECO, sudah pasti pemanduan yang bersifat ekonomikal ditagih.

Sistem kawalan transmisi yang diimplementasikan untuk jentera ini iaitu Honda’s Grade Logic Control wajar diberi pujian kerana pertukaran gear secara automatik agak senyap dan begitu lancar tanpa menimbulkan sebarang impak sentakan. Malah seperti tidak menyedari bilakah pertukaran gear berlaku.

Walau pun sesekali menggunakan kawalan secara manual dengan menggunakan pedal penukar gear yang terletak di belakang stereng, namun kesan sentakannya juga minimum. Malah terasa agak seronok juga jika ia digunakan ketika jentera sedang dipacu laju merentasi lebuh raya.



CR-V generasi serba baharu ini juga tampil dengan sistem pacuan empat roda sepenuhnya. Memilih Intelligent Control System yang membantu memberikan kuasa pengendalian yang jitu terutamanya jika memacunya di atas permukaan jalan yang tidak rata. Ia menyalurkan pengendalian yang lebih lancar dan selesa.



Ketika mencuba SUV ini melalui jalan-jalan kampung dan lebuh raya memang terasa ada bezanya. Penulis cukup menggemari respons CR-V ini ketika melalui laluan berselekoh, ia memang seronok dipacu. Apabila melalui permukaan jalan yang kurang rata mahu pun beralun, kurang terasa bumpy. Bermakna sistem suspensi yang digunakan iaitu MacPherson Strut untuk bahagian hadapan dan Double Wishbone di belakang sangat memberikan respons yang jitu. Nampaknya gandingan sistem suspensi dengan Intelligent Control System yang dipilih oleh Honda ini ternyata bertepatan.

Manakala stereng berkuasa elektrik (MA-EPS) yang dipadankan agak ringan tetapi sangat mudah dikendalikan. Malah jika ingin membuat pusingan U juga amat mudah dengan jejari pusingan 5.54m.



Mengenai penggunaan bahan api, Honda memang menawarkan penjimatan yang efisien terutamanya jika menggunakan pemanduan ECON yang bersifat mesra alam dan pastinya ekonomikal. Untuk jarak perjalanan lebih kurang 300km, Infokereta.com hanya menggunakan separuh sahaja daripada tangki bahan api yang keseluruhannya berkapasiti 58 liter. Pemanduan yang berhemah dan penuh santai antara penyumbang penggunaan bahan api yang cukup efisien.

Walau bagaimana pun, paras rupa CR-V yang nampak urban dan elegan ini pastinya agak sayang kalau mahu melenjannya secara lasak apatah lagi jika melibatkan pemanduan off-road.

Elemen keselamatan yang diterapkan pada CR-V baharu ini ialah enam beg udara, ABS, EBD, VSA, HSA, ISOFIX dan tali pinggang keselamatan pra-regangan.

Berkenaan dengan saiznya, kerangka CR-V ternyata sedikit besar terutamanya pada bahagian belakang. Dengan dimensi panjangnya 4,545mm, mempunyai kelebaran 1,820mm, setinggi 1,685mm dan jarak roda 2,620mm, bentuk CR-V baharu ini tampil berbeza berbanding dengan model sebelumnya. Ia agak membujur di bahagian belakang memberikan ruang kargo yang lebih luas. Malah reka bentuknya tampak lebih tegap, mantap, garang dan sporty. Garis badan yang beralun dan berlekuk juga membuatkan CR-V ini tampil berbeza berbanding dengan SUV yang terdapat di pasaran.

Jeriji berbentuk sarang lebah memang cantik terletak pada bampar hadapan memberikan pandangan maskulin pada CR-V ini. Ditambah pula dengan rekaan terkini lampu kabus dan lampu utama Auto-Aras yang berfungsi secara automatik adalah ciri terbaharu yang dipertaruhkan untuk menyesuaikan ketinggian cahaya mengikut ketetapan penggunaan.




Pada bahagian sisi kerangka pula, dipadankan pelindung pintu dengan krom selain dilengkapi dengan pemijak kaki (running board) bagi memudahkan penumpang masuk ke dalam kabin. Rim aloi bersaiz 18 inci yang membaluti tayar 225/60 memang cukup sepadan dengan kerangka SUV ini.

Melengkapkan gaya dengan penampilan spoiler dan bampar belakang yang bercirikan aerodinamik. Manakala bentuk lampu belakang yang memanjang daripada atas permukaan bonet dan lebar di bahagian bawah memberikan stail yang berbeza pada CR-V baharu ini.

Tidak kalah dengan rekaan pada ruang kabin, sentuhan elegan merajai segenap ruang. Seperti mana model Honda baharu yang lain, papan pemukanya biarpun ringkas namun susunannya tidak membosankan dan tidak menampilkan imej yang konvesional. Skrin pelbagai informasi (i-MID) bersaiz lima inci yang berfungsi sebagai penyalur maklumat mengenai tahap penggunaan bahan api, jam, dan penyesuaian tetapan terletak di bahagian tengah papan pemuka.

Di bahagian bawahnya pula terletak skrin TFT bersaiz 6.1 inci yang berfungsi sebagai paparan kamera undur, maklumat audio dan juga sistem navigasi.

Butang ECON dan butang penghidup enjin terletak di bahagian kiri dan kanan mengapit stereng. Manakala meter kluster rekaan Combi turut menyalurkan maklumat mengenai pemanduan ECO selain sebagai penunjuk meter kelajuan dan RPM.

Manakala bagi sistem hiburan, dengan adanya enam pembesar suara, ia juga dipadankan dengan kemudahan sambungan Bluetooth dan USB bagi menikmati infotainmen yang lebih memuaskan sepanjang perjalanan.

Tempat duduk buatan material kulit berwarna hitam juga cukup membuatkan pemandu dan para penumpang selesa apabila berada di dalam kabin. Bagi tempat duduk pemandu, ia boleh dilaraskan dengan lapan penetapan dengan hanya menggunakan butang elektronik yang terletak di bahagian tepi kerusi.

Malah ruang dalamannya yang luas pastinya menambahkan lebih keselesaan. Bagi tempat duduk di bahagian belakang, ia turut dilengkapi dengan corong penyaman udara pada bahagian tengah konsol.






Menawarkan lima ruang tempat duduk dengan keluasan bahagian kargo sehingga 589 liter, ia boleh dipertingkatkan kepada 1,156 liter jika tempat duduk barisan kedua dilipat. Untuk melipat tempat duduk barisan kedua tersebut cukup mudah, hanya perlu menarik tuil yang disediakan. Sekali tarik, ia akan dilipat secara sistematik.

CR-V serba baharu ini didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Twilight Blue Metallic, Crystal Black Pearl, Polished Metal Metallic, Alabaster Silver Metallic dan Taffeta White. Dengan harga atas jalan (termasuk insurans) bernilai RM169,800, Honda turut menawarkan kit badan Modulo yang terdapat dalam empat pakej pilihan yang berharga antara RM2,550 hingga ke RM5,000.

Spesifikasi :
Enjin : 2.4 liter DOHC 4-silinder 16-injap i-VTEC
Transmisi : Automatik 5-kelajuan
Kuasa maksimum : 140kW @ 7,000rpm
Tork maksimum : 222Nm @ 4,400rpm
Kapasiti tangki bahan api : 58 liter


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote goldsaber 15-1-2014 10:28 PM
harganya berapa include roadtax dan insurans di penisular ????
Quote nafham 15-9-2014 07:33 PM
I bought this car dlm RM170k klu tak silap termasuk roadtax dan insurance. Tp harga tu dah termasuk accessories skali. Tak ingat jumlah accessories dia berapa. Bulanan bayar RM1800 utk 9 tahun kot. Ke 7 tahun? Entah. Huhuhuhu~

Lihat semua komen(2)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-12-2024 05:36 AM GMT+8 , Processed in 0.096197 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top