Kepong: Cubaan seorang bapa menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam bilik rumah mereka yang terbakar, gagal apabila dua beranak itu ditemui rentung dalam kejadian di Taman Ehsan, di sini, pagi, semalam.
Dalam kejadian jam 4.40 pagi, rumah yang didiami 11 orang itu dipercayai terbakar secara tiba-tiba di bahagian ruang tamu sebelum disedari penghuni yang kemudiannya bertindak menyelamatkan diri.
Pemilik rumah, Tan Kien Mun, 43, dipercayai cuba menyelamatkan anak perempuannya Tan Chau Ling, 4, yang tidur berseorangan di bilik tidurnya, tetapi gagal apabila kedua-duanya dipercayai terperangkap.
Mayat Kien Mun ditemui dalam keadaan rentung di ruang tamu, manakala Chau Ling ditemui dalam bilik tidur.
Menurut seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku ketika semua penghuni nyenyak tidur sebelum menyedari rumah mereka terbakar.
Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi kelam kabut apabila semua mangsa cuba menyelamatkan diri masing-masing.
Katanya, Kien Mun adalah pemilik kedai runcit di Taman Maluri dan keluarganya masih bersedih dengan kejadian terbabit dan enggan mengulas lanjut.
ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa kebakaran, semalam.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|