View: 4676|Reply: 36
|
Mufti Wilayah - Bayyan Linnas - Perihal Sebatan Syariah - respons Mufti
[Copy link]
|
|
BAYAN LINNAS #148: POLEMIK SEBATAN SYARIAH DI TERENGGANUButiranDimuatnaik oleh Luqman Tarmizi Diterbitkan: 21 September 2018
pautan asal : http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2616-bayan-linnas-148-polemik-sebatan-syariah-di-terengganu
|
|
|
|
|
|
|
|
Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan Bayan Linnas pada kali ini dengan mengajak untuk kita menadah tangan dan munajat kepada Tuhan agar kita sentiasa dipandu dengan kebenaran dan diilhamkan dengan petunjuk daripada-Nya.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنا وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنفُسِنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Ilhamkan kami kepada petunjuk dan selamatlah kami dari kejahatan jiwa kami.”
Sepertimana yang kami nyatakan pada 7 September 2018, bahawa kami akan memberi penjelasan dalam isu ini dengan lebih tuntas, maka kami mulakan pada petang ini, 9 September 2018, sebagai salah satu daripada mukadimah dan bahth ilmi untuk menyiapkannya dengan berdoa dan mengharapkan petunjuk dan ilham daripada Tuhan bersama-sama muzakarah dan muraja’ah kepada kitab-kitab serta pertukaran idea dan hiwar yang panjang dengan para masyayikh, rakan-rakan, pengamal undang-undang agar jawapan kepada isu ini menatijahkan satu solusi yang terbaik mengikut neraca Syariat yang sebenarnya. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan: Polemik Sebatan Syariah Di Terengganu.
Kami mengharapkan agar Bayan Linnas pada kali ini telah memberi sejumlah jawapan dan penyelesaian dari sudut agama dan juga pelbagai disiplin ilmu yang dapat kita kutip dari sebuah perbincangan ini. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama untuk kita beramal dan mengikutnya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Amin.
|
|
|
|
|
|
|
|
Memahami Realiti Dalam Masyarakat
Dalam membahaskan sesuatu isu hukum, memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan:
الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”
Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/498)
Ertinya, mana-mana pihak tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap suatu perkara melainkan setelah pihak tersebut memahami gambaran sebenar akan perkara yang dibincangkan itu. Kaedah ini difahami daripada nas-nas al-Qur’an, antaranya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” |
|
|
|
|
|
|
|
Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti Rahimahullah menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/145). Syeikh Abdurrahman al-Sa’di Rahimahullah pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir. (Lihat Taysir al-Latif al-Mannan, hlm. 50)
Menerusi kaedah ini, para ulama amat berhati-hati agar tidak mengeluarkan sesuatu hukum kecuali setelah benar-benar meneliti realiti yang berlaku. Ini kerana, ketepatan dalam mengeluarkan sesuatu hukum bergantung kepada ketepatan dalam memahami isu, realiti atau hakikat sesuatu yang dihukumkan. Dalam hal ini, Mufti Mesir, Syeikh Dr. Shauqi ‘Allam Hafizhahullah mengatakan seperti berikut:
إن تنزيل الأحكام الشرعية وتطبيقها على واقع الناس أمر دقيق، لا بد معه من إدراك الواقع، والإحاطة به، من خلال منظومة كاملة من العلوم، وتحرى الواقع الاجتماعي والفكري، ومعرفة عالم الأشياء والأشخاص والأحداث والأفكار، وعلاقات تلك العوالم بعضها بالبعض، فمن كان معزولًا عن الواقع، أو لا يتابعه، أو يتابعه بصورة سطحية، فإن فهمه للشرع الشريف سيكون في المقابل منقوصًا ومشوَّهًا.
Maksudnya: “Mentanzilkan hukum-hakam syarak dan pelaksanaannya ke atas realiti keadaan manusia merupakan perkara yang mendalam. Tidak boleh tidak dengannya mengenalpasti realiti dan menguasainya menerusi gugusan ilmu pengetahuan yang komprehensif. Perlu mengkaji realiti kemasyarakatan dan pemikiran. Pengetahuan terhadap alam pelbagai perkara, tokoh-tokoh, peristiwa-peristiwa dan pemikiran-pemikiran dan hubungan antara satu alam dengan yang lain. Sesiapa yang terasing daripada realiti sebenar dan tidak mengikutinya atau mengikuti secara dangkal, maka kefahamannya terhadap syariah akan menjadi tidak sempurna dan mengelirukan.”[1] |
|
|
|
|
|
|
|
Berkenaan isu lesbian yang tular baru-baru ini, amat penting sekali untuk melihat kepada sejauh mana realiti masalah ini sedang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Ia bagi menjamin tindakan yang diambil adalah bersesuaian dengan fenomena yang sedang berlaku. Dalam hal ini Mufti Iraq, Syeikh Dr. Mahdi al-Samaida’i ketika menjawab persoalan mengenai gejala lesbian telah menegaskan:
وهكذا اتفقت كلمة العلماء على ضرب من وقعتا في السحاق بالتقدير الذي يراه القاضي ، يقضي بذلك شدة أو خفة بحسب ما يبدو له من قرائن الأحوال وانتشار الفاحشة في المجتمع ، وذلك كاف في تحقيق الردع والتخويف المناسب لحفظ المجتمعات..
Maksudnya: “Demikianlah para ulama telah bersepakat untuk menghukum sebat pasangan wanita yang terlibat dalam perbuatan lesbian berdasarkan apa yang dipertimbangkan oleh hakim. Diadili yang demikian dengan hukuman berat atau ringan bergantung kepada apa yang terlihat kepadanya daripada bukti-bukti sekeliling dan penularan perkara keji tersebut dalam masyarakat. Demikian itu memadai untuk mencapai maksud pencegahan dan memberi ancaman yang bersesuaian demi memelihara masyarakat.”[2]
Justeru itu, amat penting untuk memahami isu ini dengan melihat kepada realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat itu sendiri secara lebih holistik. Adalah tidak memadai jika ia sekadar dibincangkan dengan hanya berpandukan satu kes yang telah diputuskan di mahkamah.
Dalam konteks Malaysia, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan telah menyatakan kebimbangan terhadap penularan fenomena perilaku seks songsang iaitu Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT. Dalam dunia perubatan, perilaku seks ini seringkali dikaitkan dengan istilah Gender Identity disorder (GID).
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masalah perilaku seks di luar tabii ini sering mengundang pelbagai jenis penyakit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), Sexually Transmitted Disease (STD), chlamydia / Lymphogranuloma venereum (LGV), Hepatitis B, Herpes Simplex Virus, Human Papilloma Virus dan sebagainya. Melalui kajian Integrated Bio-Behavioral Surveillance (IBBS) yang dijalankan oleh KKM mendapati prevalens HIV adalah tinggi dalam kalangan homoseksual atau men having sex with men (MSM) berbanding dengan transgender. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa peratusnya adalah semakin meningkat dalam tempoh kajian dilaksanakan, 3.9% pada tahun 2009 kepada 8.9% pada tahun 2012. (Lihat Garis Panduan Pengendalian Masalah Kesihatan Gender di Klinik Kesihatan, hlm. iii)
Dari sudut statistik, tidak ada sebarang statistik khusus yang dicatatkan bagi mengenalpasti permasalahan ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang boleh dijadikan rujukan. Kajian oleh Dr. Teh Yik Koon pada tahun 1998 mendapati bahawa terdapat seramai 10 000 mak nyah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 70% - 80% adalah Melayu dan selebihnya adalah dari etnik Cina, India dan lain-lain etnik minoriti. Manakala hasil Dr. Yik pada tahun 2001 pula mendapati golongan mak nyah ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan diskriminasi terhadap seksualiti mereka. Secara umumnya lebih kurang 65% mak nyah di Malaysia bekerja sebagai pelacur, 25% bekerja sebagai penghibur kelab-kelab, salon kecantikan dan rambut serta butik, 2% adalah peniaga warung makanan dan 8% bekerja dengan syarikat swasta. Selain dari itu, kajian Teh menganggarkan terdapat 100,000 lelaki transeksual di Malaysia. Dari jumlah tersebut, 70 - 80% Melayu, selebihnya Cina, India dan golongan minoriti lain. Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Malaysian Population Family Survey pada tahun 2004 terhadap 1700 remaja mendapati 16.8% setuju dengan cara hidup homoseksual, 13.9% mengenali orang lain yang tertarik sesama jantina, 2.2% mengaku pernah melakukan hubungan seks, 0.3% pernah diperkosa / diliwat dan 0.9% pernah tertarik sesama jantina. |
|
|
|
|
|
|
|
Melihat kepada maklumat statistik di atas, KKM berpendapat bahawa usaha ke arah pencegahan dan penularan penyakit wajar dikenalpasti dan dicegah dari peringkat awal. Kajian Integrated Biological and Behavioural Surveillance (IBBS) 2009-2014, KKM mendapati prevalen HIV semakin meningkat di kalangan MSM sepanjang tempoh tahun 2009-2014. Selain dari itu, penyakit lain yang dikenalpasti adalah kemurungan, kanser anus[3], kanser serviks[4], penyakit kardiovaskular[5], hepatitis A/B/C dan mangsa keganasan/kecederaan. (Garis Panduan Pengendalian Masalah Kesihatan Gender di Klinik Kesihatan, hlm. 6)
Bukti-bukti terbaharu juga telah menunjukkan kemungkinan pemindahan penyakit sesama wanita melalui seks, dimana virus dikesan hasil rembesan vagina sewaktu tempoh haid. Alat-alat seks juga berupaya meningkatkan risiko pemindahan HIV. (Rita Lee (2000), Health care problems of lesbian, gay, bisexual, and transgender patients, Jilid 172, June West J Med 407, hal. 403-408)
Menurut Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Datuk Dr Suhaini Kadiman, kajian terkini KKM menunjukkan 50 peratus daripada kes baru HIV yang direkodkan pada 2017 adalah berpunca dari aktiviti homoseksual dan biseksual. Jumlah tersebut 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu ambil dadah melalui suntikan. Menurutnya, kadar kes melibatkan golongan LGBT meningkat dengan mendadak setiap tahun daripada hanya 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,697 kes pada tahun 2017.[6]
Berdasarkan realiti yang dibentangkan di atas, semua pihak sewajarnya menerima dengan insaf bahawa perlakuan golongan LGBT termasuk lesbian, bukan lagi suatu isu yang terpencil, tetapi ia telah menjadi fenomena yang sedang menular dalam masyarakat. Hal ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan memandangkan lesbian dan seumpamanya adalah termasuk dalam perkara yang bertentangan dengan agama, nilai budaya dan fitrah manusiawi. Bahkan, apa yang terjadi ini telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadith fitan. Antaranya hadith yang mengisyaratkan bahawa antara tanda-tanda Kiamat adalah berleluasanya kemaksiatan seperti zina.
Daripada Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ (وفي روايةٍ: يَقِلَّ) الْعِلْمُ، وَيَكْثُرَ الْجَهْلُ، وَيَكْثُرَ (وفي روايةٍ: وَيَظْهَرَ الجهل وَيَظْهَر) الزِّنَى، وَيَكْثُرَ شُرْبُ الْخَمْرِ، وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، وَيَكْثُرَ النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِخَمْسِينَ امْرَأَةً الْقَيِّمُ الْوَاحِدُ.
Maksudnya: “Antara tanda-tanda Hari Qiyamat bahawa diangkat ilmu, bertebaran kejahilan, tersebar penzinaan (dalam satu riwayat: terzahirnya kejahilan dan penzinaan), berleluasa minum arak, berkurangan lelaki dan bertambahnya wanita sehingga menjadi lima puluh orang wanita bersamaan seorang lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (no.2098)
Mulla Ali al-Qari mengatakan penularan zina berpunca daripada hilangnya sifat malu pada zaman tersebut. Rujuk Mirqat al-Mafatih (8/3428). Sedangkan lesbian dianggap kedudukannya seperti zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
السِّحَاقُ بَيْنَ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ
Maksudnya: “Perbuatan lesbian antara sesama perempuan adalah zina sesama mereka.”
Rujuk Majma’ al-Zawa’id (no.10548). Katanya, rijalnya thiqah.
Terdapat juga hadith-hadith fitan dan athar yang mengisyaratkan tersebarnya perbuatan lesbian dan gay pada akhir zaman seperti hadith Anas, bahawa Baginda SAW bersabda:
إذا اسْتَحَلَّتْ أُمَّتِي خَمْسًا فَعَلَيْهِمُ الدَّمَارُ، إِذَا ظَهَرَ التَّلَاعُنُ، وَشَرِبُوا الْخُمُورَ، وَلَبِسُوا الْحَرِيرَ، وَاتَّخِذُوا الْقِيَانَ، وَاكْتَفَى الرِّجَالُ بِالرِّجَالِ، وَالنِّسَاءُ بِالنِّسَاءِ
Maksudnya: “Apabila umatku menghalalkan lima perkara, maka kehancuranlah ke atas mereka; apabila terzahir laknat melaknat, meminum arak, memakai sutera (bagi lelaki), mengambil penyanyi wanita, lelaki menjadi gay dan wanita menjadi lesbian.”
Riwayat al-Baihaqi (no. 5086) Katanya, hasan lighayrih.
Berasaskan realiti di hadapan mata, disokong dengan hadith-hadith fitan yang terang lagi nyata, fenomena penularan seks songsang seperti LGBT merupakan suatu fakta yang benar-benar sedang berlaku. Menyedari hal ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak yang berkuasa atau pemerintah untuk mengenakan tindakan atau hukuman atau polisi yang berkesan bagi menanganinya, demi memelihara agama, bangsa dan negara.
Begitu juga para ibubapa, pendidik, orang-orang yang berpengaruh dan masyarakat perlu memberi kecaknaan dan keprihatinan untuk sama-sama menangani isu ini dan memberikan kefahaman kepada semua pihak dengan sebaiknya. |
|
|
|
|
|
|
|
Pengertian Sihaq atau Musahaqah
Ia berasal daripada “السحاق والمساحقة” yang memberi makna dan maksud perlakuan seorang wanita terhadap wanita yang lain seumpama gambaran yang dilakukan dengannya oleh lelaki. (Lihat Lisan al-Arab dan Qamus al-Muhit pada perkataan ‘سحق’. Lihat juga al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (24/251)
Perkataan lesbian dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, perempuan homoseksual. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat) |
|
|
|
|
|
|
|
Hukum Taklifi
Hukumnya adalah haram kerana ia merupakan perbuatan bersedap-sedapan (istimta’) dengan cara yang diharamkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A yang menyebut:
السِّحَاقُ زِنَى النِّسَاءِ بَيْنَهُنَّ
Maksudnya: “Sihaq merupakan zina perempuan antara mereka.
Riwayat Ibn Hibban (2/182), al-Aajurri dalam Dzamm al-Liwath (23) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (6/269)
Daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَتِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَهُمَا زَانِيَتَانِ
Maksudnya: “Apabila perempuan mendatangi perempuan (sihaq), maka keduanya dianggap sebagai penzina.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17490)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾
Maksudnya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
(Surah al-Mu’minun: 5-7)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)
Beliau juga menerangkan makna kalimah al-‘adiin (العادين) dalam ayat “فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ” adalah sebagaimana amalan kaum Lut dalam firman Allah SWT:
أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ ﴿١٦٦﴾
Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”
(Surah al-Syua’ra’: 165-166)
Syeikh Muhammad Abu Zahrah Rahimahullah berkata: “Isyarat kepada mereka yang mencari selain daripada halal dan isyarat kepada sifat padanya adalah keterangan bahawa ini merupakan illah hukum dan hukumnya adalah mereka yang melampau, zalim dan melebihi had sempadan halal kepada yang haram. Justeru, dia dianggap zalim kerana melakukan yang haram, zalim terhadap keturunannya, zalim terhadap masyarakat dan lain-lain. (Lihat Zahratu al-Tafasir, 10/5048)
Justeru, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah telah menyatakan bahawa hukum sihaq adalah termasuk dalam dosa besar. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kaba’ir, 2/119)
Kami nyatakan di sini ibarat nas fuqaha’ berkenaan dengan pengharaman sihaq:
Imam al-Syirazi Rahimahullah berkata: “Haram perempuan mendatangi perempuan berdasarkan hadis riwayat Abu Musa al-Asy’ari. Dan wajib padanya ta’zir tanpa hukuman hadd atau hudud. Ini kerana perlakuan tersebut tidak membawa dukhul (kemasukan alat sulit). Justeru, yang wajib hanya ta’zir. Sama seperti perlakuan lelaki kepada perempuan selain daripada faraj.” (Lihat al-Muhazzab, 5/385. Tahqiq oleh Syaikhuna Dr. Muhammad al-Zuhaili)
Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu’ menyatakan: “Apabila wanita melakukan sihaq sesama wanita maka tidak wajib ke atasnya hukuman hudud.” (Lihat al-Majmu’, 22/ 64)
Imam al-Nawawi berkata: “Mendatangi perempuan kepada perempuan atau sihaq tiada hukuman hudud padanya. Tetapi wajib ta’zir.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/310) |
|
|
|
|
|
|
|
Hukuman Sihaq
Sepakat di kalangan ulama dan fuqaha bahawa tiada hukuman had atau hudud kepada perlakuan sihaq kerana ia bukanlah maksud zina yang sebenar tetapi wajib padanya dikenakan ta’zir kerana ia maksiat. (Lihat Fath al-Qadir, 5/42; Hasyiah al-Dusuqi, 4/316; Raudhah al-Talibin, 7/310; Syarh Raudh al-Talib, 4/126; Kassyaf al-Qina’, 6/95)
Mufti Iraq, Syeikh Dr. Mahdi al-Samaida’i berkata: “Demikianlah para ulama telah bersepakat untuk menghukum sebat pasangan wanita yang terlibat dalam perbuatan lesbian berdasarkan apa yang dipertimbangkan oleh hakim. Diadili yang demikian dengan hukuman berat atau ringan bergantung kepada apa yang terlihat kepadanya daripada bukti-bukti sekeliling dan penularan perkara keji tersebut dalam masyarakat. Demikian itu memadai untuk mencapai maksud pencegahan dan memberi ancaman yang bersesuaian demi memelihara masyarakat.”[7]
Ini bererti hukuman bagi pesalah lesbian bukan hudud, tetapi sepakat ulama bahawa ia adalah ta`zir, termasuklah dengan sebatan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Hukum Wanita Lesbian Melihat Wanita Muslimah
Para fuqaha’ Syafi’iyyah telah khilaf berkenaan dengan hukum melihat seperti di atas.
Mengikut al-‘Izz bin Abd al-Salam, Ibn Hajar al-Haitami dan Umairah al-Barlisi, hukumnya ditegah dan haram membuka aurat kepada mereka kerana ia dianggap fasiq dan kemungkinan perempuan tersebut menceritakan apa yang dia lihat (khususnya aurat).
Sedangkan Syeikh al-Bulqini, Syeikh Ramli dan al-Khatib al-Syarbini memberi pendapat hukumnya adalah harus kerana wanita tersebut masih dikira orang yang beriman sedangkan perbuatan fasiq tidak mengeluarkannya daripada daerah keimanan.
Sebahagian ulama Syafieyyah hanya membenarkan membuka aurat yang zahir ketika bekerja sahaja yakni kepala, leher dan tengkuk, tangan hingga bahu dan kaki sehingga lutut. Wanita yang fasik dikategorikan bersama dengan wanita bukan Islam yang tidak aman wanita muslimah apabila bersama dengan mereka.
(Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 5/238; Hasyiah al-Dusuqi, 1/213; Nihayah al-Muhtaj, 6/194; Tuhfah al-Muhtaj, 7/200; Mughni al;-Muhtaj, 3/132; al-Qalyubi wa Umairah, 3/211; Hasyiah al-Jamal, 4/124; Syarah Raudh al-Talib, 3/111; dan Kassyaf al-Qina’, 5/15)
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengertian Ta’zir dan Hukumannya
Kami nyatakan di sini berkenaan dengan hukum ta’zir dari segi pengertian dan hal berkaitan dengannya.
Ta’zir daripada perkataan “عزَّرَ يعزِّر تعزيرًا” merupakan masdar. Ia memberi maksud menolak atau menghalang. Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna).
Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.
Pada istilahnya pula, ta’zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh Syarak yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina’, 4/72; Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; Qalyubi, 4/205. Berkata al-Qalyubi, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)
Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta'zir. |
|
|
|
|
|
|
|
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:
لَيْسَ عَلَى الَّذِى يَأْتِى الْبَهِيمَةَ حَدٌّ
Maksudnya: “Tiada hukuman hudud bagi orang yang menyetubuhi haiwan.”
Riwayat al-Tirmizi (1455) dan Abu Daud (4465)
Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207) |
|
|
|
|
|
|
|
Maksiat yang Disyariatkan Ta’zir
Perkataan maksiat memberi maksud perlakuan yang diharamkan atau meninggalkan yang difardukan. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ bahawa meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram adalah maksiat yang dikenakan ta’zir selama mana tiada di sana hukuman hadd yang telah ditetapkan. (Lihat Tabsiratul Hukkam, 2/366-367; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 55; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 10)
Contoh kesalahan yang dikenakan ta’zir seperti:
Enggan menunaikan zakat.
Meninggalkan bayaran hutang ketika berkemampuan.
Tidak menunaikan amanah.
Tidak mahu memulangkan harta rampasan.
Penjual menyembunyikan perkara yang wajib diberitahu seperti berbohong pada barang jualan yang ada aib yang tersembunyi. (Lihat Tabsiratul Hukkam, 2/366; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 210)
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemerintah Berhak Melakukan Ta’zir
Ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi.
Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah. Adapun meraikan kesan jenayah, para fuqaha’ telah menyebut dalam nas yang banyak. Antaranya:
Al-Astrusyani daripada Hanafiyyah berkata: “Sayugia qadhi atau hakim melihat kepada sebabnya. Jika sekiranya daripada jenis yang diwajibkan hadd dan tidak wajib dengan sebab terhalang, maka perlu ta’zir dilakukan pada tahap yang tertinggi. Sebaliknya jika bukan daripada jenis yang tiada wajib hadd, maka tidaklah perlu kepada tahap maksimum. tetapi diberi keputusan oleh pendapat imam atau pemerintah. (Lihat Fusul al-Astrusyani, hlm. 14)
Adapun meraikan keadaan penjenayah atau pesalah maka kata al-Zaila’ie, ia perlu dilihat kepada keadaan pesalah tersebut.
Ada di kalangan mereka yang boleh dihukum dengan kadar minimum.
Ada di kalangan mereka tidak mungkin dihukum kecuali dengan maksimum.
Justeru, Ibn Abidin berkata, ta’zir adalah khilaf berdasarkan keadaan manusia. Makanya, tiada makna dalam memberi penentuan sedangkan terhasil maksud selain daripadanya. Hukuman yang diserahkan kepada qadhi atau hakim hendaklah dilaksanakan berdasarkan kepada kefahaman tentang maslahat yang terdapat padanya. (Lihat Hasyiyah Ibnu ‘Abidin, 3/183)
Al-Sindi berkata: “Seminimum ta’zir adalah mengikut apa yang diijtihadkan oleh pemerintah pada penjenayah dengan qadar diketahui bahawa pelaku jenayah akan takut dan tidak melakukan jenayah lagi kerana inilah asal maksud ta’zir. Justeru, keadaan manusia berbeza antara satu sama lain dalam mencegah jenayah. Ada di kalangan mereka akan menghentikan kesalahan dengan hanya beberapa beberapa sebatan dan dia berubah. Tetapi ada yang tidak endah dan meneruskan perlakuan maksiat kecuali dengan sebatan yang banyak. Justeru, kenyataan daripada Abu Yusuf: sesungguhnya ta’zir berlainan mengikut qadar kemampuan orang yang kena sebat. (Lihat Matalib al-Anwar oleh al-Sindi, 7/605; dan al-Fusul oleh al-Astrusyani, hlm. 18)
|
|
|
|
|
|
|
|
Ta’zir dengan Sebatan
Sebatan pada ta’zir adalah disyariatkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
لاَ يُجْلَدُ أَحَدٌ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلاَّ فِى حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ
Maksudnya: “Seseorang tidak boleh disebat lebih dari sepuluh kali sebatan, kecuali pada hukuman hudud.”
Riwayat Muslim (4557)
Pelaksanaan hukuman ta’zir telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan mereka yang datang selepasnya serta tiada seorang pun yang mengingkari. (Lihat Al-Mughni, 10/348; Tabsirah al-Hukkam, 2/200; dan al-Hisbah, hlm. 39)
Sebenarnya, isu kadar bilangan sebatan dalam kes ta’zir telah menjadi khilaf ulama’ berdasarkan jenayah dan kesalahan yang dilakukan. (Sila rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/265)
|
|
|
|
|
|
|
|
Definisi Sebat
Perkataan sebatan ini atau dalam Bahasa Arabnya al-jald diambil daripada perkataan al-jild yang membawa maksud kulit. Menurut Ibn Manzur Rahimahullah, perkataan al-jald adalah kata terbitan daripada perkataan asalnya yang membawa maksud pukulan atau deraan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/25).
Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menjelaskan bahawa al-jald boleh difahami sebagai memukul dengan cemeti (al-sawt) (Lihat al-Mughni wa Yalihi Sharh al-Kabir, 10/28)
Kami sendiri pernah menyaksikan bentuk sebatan dan caranya seperti yang dijelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya di negara luar. Justeru, kami menyimpul bahawa terdapat perbezaan ketara antara sebatan syarak dan sebatan sivil. Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan. |
|
|
|
|
|
|
|
Kriteria Alat Sebat
Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.[8]
|
|
|
|
|
|
|
|
Kaedah Sebatan
- Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)
- Secara ringkasnya, dinyatakan beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560):
- Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
- Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
- Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
- Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
- Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
- Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
- Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
- Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
- Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
- Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.
- Selain itu, sebatan ditekankan agar tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara sengaja tidak melukakan pesalah. Melihat kepada huraian di atas, dapat kita fahami bahawa sebatan dalam Islam adalah pukulan menggunakan alat yang tertentu dan dikhususkan tanpa menembusi isi serta tulang dengan menggunakan tenaga secara sederhana.
- Ia sama sekali berbeza dengan sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit.[9]
|
|
|
|
|
|
|
|
Kehadiran Menyaksikan Pelaksanaan Sebat
Di dalam al-Quran Allah SWT apabila menceritakan hukuman had ke atas pelaku zina iaitu sebatan sebanyak 100 kali, turut memerintahkan kepada kelompok kaum muslimin untuk sama-sama menghadiri proses perlaksanaan hukuman tersebut. Ini dapat dilihat di dalam firman-Nya yang menyebut:
وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: "...maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan)."
(Surah al-Nur: 2)
Kata Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Rahimahullah (w.1393H) dalam tafsirnya:
“Allah SWT memerintahkan kelompok kaum muslimin untuk menghadiri perlaksanaan had zina sebagai tahqiq akan telah tertegaknya hukum had, juga sebagai ancaman ke atas sikap bermudah-mudahan dalam melakukannya. Ini kerana, sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi adalah merupakan jalan untuk ia dilupakan. Sekiranya umat islam tidak menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut, boleh jadi mereka akan tertanya-tanya ke atas ketiadaan perlaksanaan tersebut.
... Pada arahan ini juga terdapatnya faedah lain iaitu, di antara maqasid hudud bersama-sama dengan hukuman ke atas penjenayah adalah supaya menimbulkan ketakutan ke atas orang lain. Dan dengan kehadiran sekumpulan orang beriman, maka yang hadir dapat mengambil peringatan serta menjauhinya (jenayah) serta akan tersebarlah bicara mengenainya apabila yang hadir menyampaikannya kepada yang tidak hadir.
Kelompok yang dimaksudkan di dalam ayat adalah: sekelompok manusia. Namun para ulama berbeza pendapat tentang kadar bilangan manusia yang hadir tersebut. Pada zahirnya, ia adalah bilangan yang begitu ramai sehingga boleh menyebabkan maklumat tersebar dengan meluas dan ini berbeza berdasarkan tempat. Pendapat yang masyhur di sisi Imam Malik, jumlah khalayak yang hadir adalah dua orang ke atas. Pendapat lain pula mengatakan: 10 orang.”
Rujuk Al-Tahrir wa Al-Tanwir (19/252).
Imam Mujahid bin Jabr Rahimahullah (w.104H) berpendapat bahawa yang dituntut untuk hadir adalah seorang lelaki dan lebih dari itu sehingga ke jumlah seribu orang. Manakala Syeikh Ibn Zaid Rahimahullah pula berpendapat bahawa jumlah yang hadir menyaksikan perlaksanaan had itu mestilah seramai empat orang sebagai qiyas kepada saksi zina. Inilah juga pendapat Imam Malik dan Imam Al-Syafie Rahimahumallah. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 12/148).
Para fuqaha berbeza pendapat tentang perintah ke atas orang beriman untuk hadir ke perlaksanaan hudud daripada ayat tersebut, adakah ia membawa hukum wajib ataupun sunat. Berikut merupakan perincian terhadap isu tersebut: Zahir perintah dalam ayat tersebut menunjukkan akan kewajipan hadir.
Jumlah Kehadiran Saksi Hukuman Mengikut Mazhab
Para ulama’ telah khilaf dalam isu ini.
Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa wajib dilaksanakan hukuman semua hukum had di tengah khalayak manusia berdasarkan zahir ayat Surah al-Nur di atas. Ini kerana tujuan hukuman had adalah mencegah manusia daripada melanggar hukum.
Manakala mazhab Syafie dan Maliki mengatakan hukum hadirnya jamaah adalah mustahab dan paling kurang adalah empat orang yang menyaksikan. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5391/7) |
|
|
|
|
|
|
|
Kenyataan Ulama Tentang Kewajaran Hukuman Sebat
Berikut kami nyatakan kenyataan para cendekiawan tentang kewajaran hukuman sebat: - Pakar Undang-Undang, Almarhum Tan Sri Dato' Prof. Ahmad bin Mohamed Ibrahim
“Kita harus menyedari bahawa hukuman sebat (sivil) seperti yang dijalankan di penjara-penjara di Malaysia dan Singapura tidak mengikut undang-undang Islam dan mungkin tidak sesuai dengan kehendak undang-undang Islam. Tujuan undang-undang Islam bukan semata-mata hendak menyakitkan dan mencederakan seseorang akan tetapi tujuannya ialah memberi ajaran dan amaran kepada orang-orang yang melakukan jenayah dan juga orang ramai.” Lihat kertas kerja Hukuman Sebat di dalam Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Awam di Malaysia (hlm. 28) - Ketua Majlis Fatwa Dan Penyelidikan Eropah/Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi
“Kebanyakan pemerintah cuba menggagalkan perlaksanaan hukuman syarak terhadap penzina, peminum arak, pencuri dan penuduh zina atas dakwaan ianya kejam dan keras. Tindakan mereka ini pantas seperti mana usaha mereka menghalalkan sebatan ke atas tubuh dengan cemeti sehingga darah bercampur dengan daging.” Rujuk Halal dan Haram dalam Islam (hlm. 512) - Bekas Hakim Republik Mesir, Almarhum Syeikh Prof. Dr. Abdul Qadir Audah
“Tidak boleh pukulan tersebut tertumpu pada satu tempat sahaja. Ini kerana ianya boleh membawa kepada luka dan koyaknya kulit…. Hukuman sebat tidak membawa kepada kebinasaan. Ini kerana ia adalah hukuman untuk mencegah bukan hukuman untuk membunuh… Apakah menjadi aib ketika mana ada individu yang mahu tunduk kepada undang-undang dan juga taat pada syarak? Siapa yang suka untuk mengkritik hukuman ini, maka katakanlah bahawa dunia ini salah (ketika mengaplikasikan hukuman ini) dan dia sahaja yang betul. Bahkan katakanlah apa yang dia mahu. Sesungguhnya tidak tidak mampu untuk membuktikan bahawa hukuman ini tidak diperlukan.” Rujuk al-Tasyri` al-Jinai’i al-Islami (1/550 & 2/398-399)
|
|
|
|
|
|
|
| |
|