LONDON: Batu berukir berusia 3,000 tahun yang dikatakan mempunyai sumpahan terhadap sesiapa yang cuba memusnahkannya sudah dipulangkan Britian kepada Iraq selepas dicuri ketika perang di negara itu.
AFP melaporkan, Ketua Muzium British, Hartwig Fischer menyerahkan relik dikenali sebagai Kudurru dari zaman Babylonia itu kepada duta Iraq, Salih Husain Ali dalam satu majlis, hari ini.
Pegawai imigresen menemui batu itu di Lapangan Terbang Heathrow pada 2012 dan menghubungi pihak muzium selepas mendapati dokumen yang diserahkan adalah palsu.
Menteri Kesenian, Warisan dan Pelancongan, Michael Ellis berkata, batu itu akhirnya dapat dipulangkan ke tempat asalnya selepas melalui proses dokumentasi banyak.
Ellis berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum pasti bagaimana batu itu dibawa keluar dari Iraq dan mempercayai ia dicuri 15 tahun lalu ketika negara itu bergolak.
Batu Kudurru digunakan dalam upacara dan mencatatkan pemberian tanah secara sah daripada raja Babylon, Nebuchadnezzar I kepada seorang pegawai atas jasanya.
Turut dicatatkan pada batu itu adalah sumpahan teruk terhadap sesiapa yang cuba menuntut tanah itu atau memusnahkan batu terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 10:59 PM