|
HOSPITAL MEDAN ATM DI TAWAU DIJANGKA MULA BEROPERASI 20 OKTOBER 2020
Hospital Medan ATM di Tawau akan menerima ketibaan Tim Induk daripada Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut, 94 Hospital Angkatan Tentera Terendak serta Batalion Kedua Perubatan dan elemen perubatan ATM dari Semenanjung Malaysia.
Tim induk ini terdiri daripada Timbalan Komander Hospital Medan ATM, Pakar Bedah, Pakar Bius dan Pakar Kecemasan serta pegawai dan petugas kesihatan ATM bagi penugasan fasa pertama Hospital Medan ATM bertempat di Kompleks Sukan Tawau.
Ketibaan 4 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat pada hari ini adalah dengan menggunakan pesawat TUDM A400 bagi membantu Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID-19.
Persiapan peralatan dan kelengkapan fasilitas Hospital Medan ATM juga turut melibatkan atur gerak kemudahan perubatan ATM dari Bravo Kompeni Batalion Pertama Perubatan (B Komp 1 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel (Dr) Shamsul Bahary bin Muhamad, persiapan fasa pertama Hospital Medan ATM kini mencapai 70 peratus dan dijangka mampu memulakan operasi seperti dijadualkan pada 20 Oktober 2020.
Persiapan atur susun sedang giat dijalankan ketika ini dan dijangka ujian penuh sistem-sistem di hospital ini akan dijalankan pada 19 Oktober 2020.
Dengan adanya Hospital Medan ATM ini, ianya mampu menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes- kes bukan COVID 19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam berbagai disiplin seperti pembedahan, ortopedik, perubatan, kanak-kanak dan wanita. Keupayaan hospital ini juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa pada fasa seterusnya termasuk dewan bedah dan High Dependency Unit.
Sumber : Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia
Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu
Tiada penerangan foto disediakan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|