Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic (tengah) bersama ayahnya, Srdjan Djokovic (kiri) dan ibu meraikan kejayaan menjadi pemain nombor satu dunia selama 311 minggu di hadapan restoran keluarganya, ‘Novak’ di Belgrade. - Foto AFP.
Berita Harian
PARIS: Novak Djokovic merekodkan 311 minggu sebagai pemain nombor satu dunia hari ini, satu minggu melebihi Roger Federer dengan rekod gelaran 20 Grand Slam sekali gus kini sudah ketinggalan di belakang pemain Serbia itu.
"Ia hari yang besar," kata bintang tenis itu menerusi Twitter.
Djokovic, 33, menang kejuaraan major ke-18 paada Terbuka Australia, bulan lalu.
Ketika Federer akan berusia 40 tahun pada Ogos, masa memihak kepada pemain Serbia itu. Dia muda setahun berbanding Rafael Nadal yang memiliki 20 kejuaraan major.
"Ia amat mengujakan saya untuk melalui jalan legenda dan pemain hebat dalam sukan ini," kata Djokovic dalam satu kenyataan dikeluarkan ATP yang mengeluarkan ranking sejak 23 Ogos 1973.
"Untuk mengetahui saya berada antara mereka dengan merealisasikan impian sejak kecil ialah sesuatu yang indah apabila anda melakukan sesuatu dengan rasa sayang dan keghairahan, semuanya boleh dilakukan."
Djokovic mengambil semula kedudukan teratas daripada Nadal pada Februari 2020 dan menamatkan musim sebagai pemain nombor satu buat kali keenam, terikat sama rekod dengan Pete Sampras.
Pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi berkata: "Pencapaian Novak dalam tenis sentiasa menakjubkan. Antara mereka, rekod ini mungkin kekal sebagai paling menakjubkan." |