Zii Jia menjuarai saingan berprestij, Seluruh England selepas menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson, malam tadi - Foto AFP
Berita Harian
Samadi Ahmad
[email protected]
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan tahniah kepada Lee Zii Jia selepas jaguh perseorangan lelaki badminton negara itu menjuarai saingan berprestij, Seluruh England malam tadi.
Zulkifli yang sempat menyaksikan perlawanan akhir antara Zii Jia yang menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson, berkata pemain perseorangan negara itu mempamerkan permainan cemerlang dengan penuh strategi.
"Ini memberikan gambaran positif yang beliau (Zii Jia) juga mampu menempa nama sebagai antara legenda sukan badminton yang bakal mengharumkan nama negara pada masa depan.
"Tidak mustahil suatu hari nanti Zii Jia akan menjejaki legasi menjadi pemain legenda negara seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Lee Chong Wei dan legenda lain.
"Semoga terus maju jaya buat Zii Jia, anda adalah wira negara," katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.
Zii Jia mencipta sensasi apabila merangkul gelaran Seluruh England buat kali pertama selepas menundukkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.
Kemenangan itu melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir edisi tahun lalu.
Kejayaan Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017. |