Edited by Vellfire at 8-6-2021 02:31 AM
Pelajar Teknologi Pembinaan KV Keningau Bentang Projek Di Persidangan Ukraine Secara Maya
KENINGAU: Sebuah pasukan pelajar dari program teknologi pembinaan Kolej Vokasional Keningau telah membentang projek tahun akhir mereka di sebuah persidangan dalam talian yang berpusat di Kiev, Ukraine pada 6 Jun 2021.
Persidangan tersebut yang dikenali sebagai International European Conference on Social Sciences menampilkan puluhan pembentang dari negara-negara di benua Timur Tengah, Afrika, Asia, Amerika Selatan dan Amerika Utara.
Ianya merupakan anjuran Institute of Economic Development and Social Researches (IKSAD) iaitu sebuah persatuan yang sering melaksanakan persidangan di sekitar Eropah dan Asia.
Pasukan KV Keningau terdiri dari empat pelajar: Clara Erna Geminik, Jovec Julius, Nurul Suhaila Surip dan Laetitia Hildergarda Angkangon. Pasukan ini membentang projek pembinaan ruang rehat dan gerai makanan di sebuah taman komuniti berdekatan dengan kolej mereka. Projek ini yang melibatkan beberapa pelajar merupakan salah satu penilaian akhir mereka sebelum menjalani latihan dalam industri selama tiga bulan dan seterusnya menamatkan pengajian dengan diploma.
Mereka mendapati para pengunjung taman tersebut khususnya orang dewasa terpaksa bertahan dengan cuaca panas dan kebanyakannya pulang awal memandangkan tiada tempat untuk mereka berteduh dan berehat.
Justeru itu, mereka bercadang untuk membina kawasan rehat dan cadangan ini dipersetujui oleh pemilik taman komuniti tersebut. Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyatakan rasa bangga dengan sumbangan para pelajar terhadap masyarakat serta kegigihan mereka untuk membentang projek ini di persada antarabangsa.
Video rakaman pembentangan secara langsung mereka boleh ditonton melalui pautan berikut:
|