CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3096|Reply: 2

HUKUM MEMAKAI KOSTUM ATAU COSPLAY

[Copy link]
Post time 3-7-2021 07:56 PM | Show all posts |Read mode
HUKUM MEMAKAI KOSTUM ATAU COSPLAY



Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pemakaian kostum atau cosplay anime atau superhero semakin menjadi satu fenomena yang trending pada masa kini. Namun begitu sebagai umat Islam, sewajarnya kita mengkaji dan meneliti terlebih dahulu hukum-hakam yang berkait supaya setiap tindak-tanduk kita selaku umat Islam berada pada landasan syarak. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan memfokuskan kepada Hukum Memakai Kostum Atau Cosplay

Definisi Kostum dan Cosplay

Menurut  Merriam Webster Dictionary, cosplay merupakan perbuatan berpakaian seperti watak fiksyen (seperti dalam komik, permainan video dan rancangan televisyen).

Menurut Kamus Dewan edisi yang keempat, kostum merujuk kepada pakaian yang dipakai oleh pelakon-pelakon sandiwara atau filem dan lain-lain. Pemakaian kostum juga boleh difahami sebagai satu gaya pemakaian tertentu yang dikenakan untuk menampilkan si pemakai sebagai suatu watak yang lain daripada watak kebiasaan mereka.

Islam dan Hiburan

Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kami nukilkan hakikat ini lewat kenyataan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) yang telah kami terjemahkan:

“Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum...”

Kemudian beliau menyebutkan tentang sikap sebahagian para sahabat Nabi SAW yang terlalu takut untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga kerana berhati-hati terhadap sifat munafik. Suatu hari, Hanzalah R.A datang berjumpa Nabi SAW bersama Abu Bakar R.A lalu berkata:  “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda SAW menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”

Maka jawab Rasulullah SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً -  ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Demi (Zat) yang jiwaku di Tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali”

Riwayat Muslim (2750)

Ertinya, hanya para Malaikat yang memiliki tahap keimanan sedemikian rupanya yang dibayangkan Hanzalah. Mereka sentiasa bertasbih memuji Allah dalam setiap keadaan dan waktu. Sedangkan manusia ada masanya untuk belajar, beribadah dan mendengar peringatan. Ada juga masa untuk rehat dan tidur, dan masa untuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, sedangkan malaikat tidak dijadikan sebegitu.

HUKUM MEMAKAI KOSTUM ATAU COSPLAY

Berhubung dengan pemakaian kostum atau cosplay kami membahagikannya kepada beberapa aspek.

Pertama : Kostum Kartun kanak-kanak

Antaranya seperti Didi and Friends, Omar dan Hana. Kami berpandangan bahawa ia dibolehkan dengan syarat ianya hanya dikhususkan untuk hiburan dan pembelajaran kanak-kanak semata-mata. Selain itu, ianya bukanlah sentiasa dan kerap dengan pakaian sedemikian kerana kanak-kanak juga perlu faham bahawa karekter berkenaan hanya khayalan semata-mata. Begitu juga maskot sukan di mana hukumnya adalah harus sebagai menaikkan semangat dan hiburan kepada audien semata-mata dengan syarat-syarat seperti yang disebutkan.

Kedua : Kostum Badut

Hukum berlawak jenaka dengan berpakaian badut adalah makruh. Walaubagaimanapun, jika ada tujuan tertentu seperti pembelajaran dan hiburan kepada kanak-kanak, ada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi:

Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan
Al-Qaradhawi menyebut: “Maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan. Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh.”

Sebab itu ada pepatah yang mengatakan:

اعطِ الكَلَامَ مِنَ المَزْحِ بِقَدْرِ مَا يُعْطَي الطَّعَامُ مِنَ المِلْحِ

Maksudnya: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”

Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-7-2021 07:56 PM | Show all posts
Ini berdasarkan firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Hujurat : 11)

Tidak berbohong dalam lawak

Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Maksudnya : “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!”

Riwayat al-Tirmidhi (2315)

Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri (w.1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/497-498) mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya….

Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan tidak juga melampaui batas.”

Tidak mempermainkan syiar agama
Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”

(Surah Al-An’am : 70)

Firman-Nya lagi:

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْياَ

Maksudnya: (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang Yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).

(Surah Al-A’raf : 51)

Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.  Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut :

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya : “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj : 32)

Keempat : Kostum Anime atau Superhero

Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa ianya perlu diperhalusi terutamanya daripada aspek kostum watak yang dipakai, kosnya, masa yang diperuntukkan, karekternya dan tujuannya.

Sekiranya kostum berkenaan mendedahkan aurat, maka ia diharamkan.
Sekiranya ia menyerupai dewa-dewa dalam agama atau kepercayaan lain atau rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina dan lain-lain, maka ia diharamkan. Ibn Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari bahagian mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Tafsiran hadis ini menunjukkan kepada penyerupaan dari sudut cara pemakaian, gaya hidup, etika hidup, panduan agama atau perilaku khusus bagi sesuatu kaum. Justeru pemakaian kostum yang bertujuan untuk menyerupai sesuatu watak adalah perkara yang dilarang sama sekali. Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim.

Sekiranya ia memerlukan belanja yang besar sehingga membazir, maka ianya diharamkan. Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raf : 31)

Al-Maraghi menyatakan Allah SWT menghendaki manusia bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah dan tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. Bahkan Allah SWT menghukum mereka atas sikap berlebih-lebihan ini sesuai dengan bahaya dan kerosakan yang mereka timbulkan. Ini kerana, mereka telah melanggar sunnah-sunnah fitrah dan berbuat jahat terhadap diri mereka sendiri serta harta mereka. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174)

Demikian juga hadis berkaitan larangan terhadap pembaziran dalam berpakaian sehingga mendatangkan fitnah terhadap agama.

كُلُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

Maksudnya : “Makanlah, bersedekah dan pakailah tanpa membazir dan bermegah-megah.”

Riwayat al-Nasaei (2559)

Sekiranya ia dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk maka ia adalah makruh.
Definisi menunjuk-nunjuk menurut Lisan al-Arab adalah: “Menzahirkan sesuatu yang dengan kesombongan sehingga dilihat oleh manusia.”

Firman Allah SWT

وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya : “Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

(Surah al-Hadid : 23)

Untuk mengelakkan setiap muslim menjauh diri daripada tuduhan sombong diri, maka Nabi SAW melarang daripada memakai pakaian yang menagih kemasyuran kerana manusia yang memakainya akan merasa bangga diri dan berlagak angkuh. Tersebut di dalam hadis:

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ

Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”

Riwayat Ibn Majah (3606)

Ibn Qayyim dalam ‘Aun al-Ma’bud menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan kepada pemakaian satu baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya  atau bentuknya yang mampu untuk mengalih pandangan manusia lain untuk melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub, takbur dan bermegah-megah dalam diri pemakai. (Rujuk Kitab ‘Aun al-Ma’bud,11/50)

Memakai pakaian yang menyalahi adat kebiasaan orang ramai adalah makruh kerana ia membawa kepada menunjuk-nunjuk dan juga umpatan orang lain.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

نَهَى عَنِ الشُّهْرَتَيْنِ فَقِيل: يَا رَسُول اللَّهِ وَمَا الشُّهْرَتَانِ؟ قَال: رِقَّةُ الثِّيَابِ وَغِلَظُهَا، وَلِينُهَا وَخُشُونَتُهَا، وَطُولُهَا وَقِصَرُهَا، وَلَكِنْ سَدَادًا بَيْنَ ذَلِكَ وَاقْتِصَادًا

Maksudnya : “Nabi SAW melarang daripada dua perkara yang menunjuk-nunjuk. Maka dia bertanya : Wahai Rasulullah, apakah dia dua perkara yang menunjuk-nunjuk? Rasulullah bersabda : “ Pakaian terlalu halus atau terlalu kasar, pakaian terlalu panjang atau terlalu pendek yang terlalu lembut dan terlalu kasar dan yang terlalu panjang dan terlalu pendek tetapi sederhana diantara kedua-duanya.”

Hadis Riwayat al-Baihaqi (3/273). Hadis ini dihukum munqati’.

Nabi SAW juga melarang umatnya daripada sifat menunjuk-nunjuk dalam berpakaian. Hal ini kerana, sikap tersebut akan mendatangkan fitnah tidak hanya kepada pemakai malah turut kepada agama Islam. Demikian juga hadis berkaitan larangan menunjuk-nunjuk dalam berpakaian sehingga mendatangkan fitnah terhadap agama.

كُلُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

Maksudnya : “Makanlah, bersedekah dan pakailah tanpa membazir dan bermegah-megah.”

Riwayat al-Nasaei (2559)

Pemakaian kostum boleh jadi sama ada  membawa kepada pembaziran harta, masa atau sebaliknya. Maka ia adalah membuang masa dan tidak bermanfaat.

Demikian hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda,

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat”

Riwayat al-Tirmizi (2317)

Prinsip kehidupan umat Islam adalah meninggalkan sesuatu perkara yang dirasa tidak penting dalam kehidupan mereka. Ini kerana, perkara tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa faedah dalam kihudupan umat Islam. Justeru, dengan meninggalkan perbuatan seperti menghabiskan masa mencari kostum yang tidak mendatangkan apa-apa faedah, lebih baik masa yang ada tersebut digunakan untuk menuntut ilmu atau melakukan perkara yang lebih berfaedah.

KESIMPULAN

Menurut Imam al-Tabari :

فَإِنَّ مُرَاعَاةَ زِيِّ الزَّمَانِ مِنَ الْمُرُوءَةِ مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا وَفِي مُخَالَفَةِ الزِّيِّ ضَرْبٌ مِنَ الشُّهْرَةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya menjaga diri untuk berpakaian yang sesuai dengan penduduk zamannya adalah termasuk dalam memelihara maruah selagi bukan perbuatan dosa. Dan dalam berbeza pakaian (kebiasaan) dengan mereka, terdapat bentuk menunjuk-nunjuk.” (Rujuk Fath al-Bari, 10/306)

Setelah meneliti isu ini, kami berpandangan bahawa dilarang bagi seseorang Muslim itu untuk memakai kostum atau cosplay kecuali dengan kriteria-kriteria yang telah kami sebut di atas. Selain daripada garis panduan yang telah dinyatakan di atas, kami melihat bahawa pemakaian sebahagian kostum atau cosplay tertentu adalah lebih kepada untuk menunjuk-nunjuk dan boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Selain itu, ianya juga termasuk dalam kategori pembaziran duit dan masa dimana Allah SWT melarang keras hambanya daripada melakukan apa-apa pembaziran  dalam kehidupan.

Semoga dengan penjelasan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman kepada kita seterusnya menilai isu-isu yang berlaku di sekeliling kita dengan matang dan baik di atas landasan syarak. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan

Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2021 09:48 PM From the mobile phone | Show all posts
Dolu2 ada temasya cosplay kat KL.. gigih betui bebudak buat kostum utk menyerupai watak2 anime.

Keempat : Kostum Anime atau Superhero

Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa ianya perlu diperhalusi terutamanya daripada aspek kostum watak yang dipakai, kosnya, masa yang diperuntukkan, karekternya dan tujuannya.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 02:22 PM GMT+8 , Processed in 0.055217 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list