[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 21, 2021 @ 8:25pm[email protected]
Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon (dua kiri) mendengar taklimat anggotanya berkaitan pencarian dua mangsa di sekitar Titi Hayun. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli
YAN: Polis tidak menolak kemungkinan dua mangsa yang masih hilang dalam bencana kepala air di Titi Hayun dan Batu Hampar, Rabu lalu tertimbus di bawah timbunan kayu dan batu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata operasi sedang berjalan di lokasi tumpuan dengan menggunakan kekuatan 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi.
Operasi hari keempat hari ini turut membabitkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM).
"Anggota Maritim Malaysia ditempatkan di muara sungai berikutan mayat keempat ditemui di KEDA Sungai Udang.
"Operasi hari ini agak agresif sedikit kerana kita menggunakan jengkaut untuk memudahkan pencarian," katanya ditemui di Pusat Kawalan Bencana Titi Hayun, hari ini.
Setakat ini empat mayat tragedi kepala air itu sudah ditemui manakala dua lagi masih hilang.
Mengulas lanjut, Shahnaz berkata, dengan keanggotaan yang ramai serta aset yang ada diharap dapat menentukan dua mangsa yang masih hilang dengan segera.
Walaupun setakat ini ada petunjuk namun pihaknya akan melakukan pengesahan terlebih dahulu dan operasi akan disambung esok.
"Setakat ini operasi SAR di darat masih dikekalkan radius seperti sebelum ini cuma kita perlu melakukan pencarian lebih dalam dengan membuat galian sedikit di kawasan seluas tujuh kilometer," katanya.