[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - Ogos 22, 2021 @ 4:01pm[email protected]
Mohd Muslim mengalami patah bahu dan cedera di muka serta badan selepas tersangkut di pagar tangki air dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu. - Foto ihsan keluarga Mohd Muslim
SUNGAI PETANI: "Saya tergolek beberapa kali dan hanya tersedar selepas tersangkut di pagar tangki air," kata Mohd Muslim Saari, 36, menceritakan detik cemas ketika dihanyutkan arus deras dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.
Pekerja landskap di Regency Jerai Hill Resort, di sini, itu berkata dia bersama rakan sekerja dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal masing-masing, kira-kira jam 4 petang.
Katanya, ketika itu dia sudah berada di separuh perjalanan gunung itu dengan rakan sekerja, Sharuzi Mohammad, 54, berada di hadapan dan langsung tidak mendengar sebarang bunyi kerana hujan.
"Tiba-tiba saya tercampak sebelum bergolek dan menyangka sedang bermimpi, namun tersedar kejadian itu sebenarnya nyata selepas tersangkut di pagar.
"Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya langsung tidak berasa sakit dan bangun dengan berpaut pada pokok untuk menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus," katanya.
Beliau juga tidak sempat melihat rakan sekerjanya di hadapan kerana kejadian berlaku begitu pantas.
"Tidak lama selepas itu, anggota bomba tiba dan saya dikejarkan ke Hospital Yan sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
"Saya juga dimaklumkan rakan sekerja ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat tidak lama kemudian," katanya yang patah bahu dan cedera di muka serta badan.
Mohd Muslim yang sudah bekerja sejak enam tahun lalu berkata kejadian itu adalah kali pertama berlaku dan sedikit sebanyak meninggalkan trauma kepadanya.
Sementara itu, seorang lagi pekerja, Muhammaad Solleh Abdul Halim, 28, berkata kejadian menimpa dirinya diibarat umpama mati hidup semula selepas terperangkap dalam kereta ketika arus deras akibat kepala air melanda kawasan itu.
Beliau yang bekerja sebagai chef di resort itu sejak tujuh lalu itu dalam perjalanan pulang turun dari Gunung Jerai, namun terpaksa memberhentikan kereta kerana terdapat pokok yang tumbang.
"Ketika itu rakan sekerja yang juga dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal berhenti dan cuba mengubah pokok terbabit.
"Sewaktu rakan mahu mengubah pokok itu, secara tiba-tiba arus deras akibat kepala air datang membuatkan kereta saya hanyut sejauh satu kilometer. Saya hanya mampu berdoa dan terbayangkan wajah isteri yang menunggu di rumah kerana menyangka mungkin akan mati," katanya.