[size=0.8]Safuri Kamarudin. - Ogos 23, 2021 @ 9:14am[email protected]
EXCO Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad (dua kanan) menyerahkan cek kepada Mohd Muslim di rumahnya di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Kupang. - Foto ihsan PERKESO
BALING: Seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air Gunung Jerai, Rabu lalu layak mendapat faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarahnya, Mohamad Haron Othman, berkata Mohd Muslim Sa'ari, 36, yang bekerja sebagai pembersih Jerai Hill Resort terbabit dalam bencana itu ketika dalam perjalanan pulang sekitar jam 4 petang.
Beliau berkata, Mohd Muslim layak menuntut faedah kerana ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di resort berkenaan.
"Mohd Muslim boleh mengemukakan tuntutan dengan menyertakan dokumen dan pengesahan pegawai perubatan ketika menerima rawatan di hospital.
"Dia juga mendapat bayaran cuti sakit selama 15 hari mengikut rekod kesihatan yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sepanjang tempoh dia tidak bekerja," katanya ketika berkunjung ke rumah Mohd Muslim di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Kupang untuk penyerahan cek bernilai RM628.44, petang semalam.
Mohamad Haron berkata, selain itu segala kos rawatan yang berkaitan kemalangan sama ada untuk pembedahan atau sebaliknya akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO sehingga selesai rawatan.
"Selepas habis bayaran cuti sakit dia juga boleh membuat tuntutan hilang upaya kekal untuk kecederaan dialami," katanya.
Dalam kejadian itu, Mohd Muslim terseliuh bahu kanan, luka mata, pipi kiri dan kanan selepas tergolek beberapa kali sebelum tersangkut di pagar tangki air.