[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 23, 2021 @ 3:38pm[email protected]
Anggota bomba mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui berhampiran sebuah chalet berdekatan PKB Titi Hayun hari ini. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
YAN: Penemuan mayat seorang lelaki di atas permukaan timbunan kayu di sebuah chalet berhampiran Pusat Kawalan Bencana (PKB) Titi Hayun, di sini, hari ini dipercayai Ridwan Poniman, 61, yang hilang dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata mayat itu ditemui jam 12 tengah hari tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertumpu di Kampung Acheh.
Beliau berkata, mayat berjaya dikeluarkan jam 1.30 tengah hari dan diserahkan kepada polis jam 1.45 tengah hari.
"Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa belum dapat disahkan sebagai mangsa keenam yang hilang dan kita serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mayat dihantar ke Hospital Yan," katanya ketika ditemui di Titi Hayun, hari ini.
Sayani berkata, pihaknya sedang menunggu proses pengecaman mayat terbabit dan sekiranya ia disahkan sebagai mangsa keenam, operasi akan ditamatkan namun jika sebaliknya operasi terus dijalankan.
Sebelum itu, lima lagi mangsa yang terkorban ialah Ku Shuib Ku Abdullah, 91; Ahmad Din, 68; Shahruzi Mohamad, 53; Zainol Morad, 66; dan Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28.