Georgetown: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo digesa supaya meletak jawatan susulan kes kematian membabitkan pesakit Covid-19 di Hospital Lama Sungai Petani di sini, yang tular di media sosial, sejak semalam.
Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy turut mendesak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengambil tindakan terhadap individu yang cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Ramasamy berkata, pesakit Covid-19 itu, K Ehambaran, 74, mungkin dapat diselamatkan sekiranya ada kakitangan perubatan ditempatkan di wad hospital berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada anak mangsa, ayahnya dimasukkan ke hospital berkenaan pada 26 Ogos lalu akibat Covid-19.
"Pada 29 Ogos, anaknya diberitahu oleh kakitangan hospital bahawa Ehambaran berada dalam keadaan baik.
"Bagaimanapun, dia hanya mengetahui mengenai kematian ayahnya menerusi video di WhatsApp, semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ramasamy berkata, anak mangsa membuat laporan polis, hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kematian ayahnya susulan dia mengesyaki mangsa meninggal dunia disebabkan jatuh dari katil atas kecuaian pihak hospital.
Menurutnya, anak mangsa mahu pihak hospital menyiasat kecuaian berlaku seperti mana terpapar menerusi video tular di media sosial.
"Pengarah Kesihatan Negeri memberitahu siasatan penuh akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian, namun hari ini beliau menolak tuduhan kononnya tidak ada kakitangan hospital tampil membantu pesakit berkenaan.
"Sepatutnya siasatan penuh perlu dilakukan bagi memastikan gambaran sebenar kejadian dan kakitangan hospital yang cuai harus dipecat.
"Jika Othman tidak dapat memikul tanggungjawab dalam kes ini, beliau perlu mengundur diri secara terhormat," katanya.