Sik: Kira-kira 3,500 hektar hutan simpan di seluruh Kedah diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak 10 tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, penerokaan haram itu kebanyakannya dilakukan untuk tujuan pertanian.
"Paling banyak hutan simpan diteroka untuk tanaman durian, getah dan kelapa sawit. Ada juga yang teroka hutan untuk dijadikan kawasan penempatan dengan membina rumah.
"Sejak Januari lalu hingga sekarang kita berjaya memberkas 20 orang lelaki membabitkan beberapa kes pencerobohan hutan dan kertas siasatan sedang disediakan untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Kempen Penanaman 100 juta pokok 2021-2025 di Kompartmen 4, Hutan Simpan Bukit Enggang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad berkata, aktiviti pencerobohan hutan simpan secara haram menyebabkan kerugian yang tinggi kepada negara sama ada membabitkan kerugian biodiversiti dan pokok balak yang ditebang.
Katanya, Jabatan Perhutanan negeri akan mengambil tindakan memusnahkan pokok yang ditanam secara haram oleh peneroka sebelum menanam kembali pokok hutan untuk kelestarian alam.
"Sekiranya pokok pertanian yang ditanam sudah lama, kita akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.
"Seperti kes di kompartmen 4 ini, penerokaan lima hektar hutan secara haram untuk menanam durian tapi kita kesan awal dan tanam semula 1,000 pokok hutan seperti meranti, merawan, merbau dan cengal," katanya.
Terdahulu, menerusi kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara, Muhamad berkata Jabatan Perhutanan negeri mensasarkan sebanyak 2.57 juta pokok akan ditanam di kawasan yang dikenal pasti.
"Setiap tahun sehingga 2025 kita jangka akan tanam sebanyak 550,000 pokok dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain serta orang ramai di tanah milik mereka.
"Kita berharap menerusi kempen begini, orang ramai akan memberi kerjasama untuk membantu menghijaukan alam selain menjadi mata dan telinga kita bagi mengekang aktiviti pencerobohan haram di hutan simpan," katanya.