[size=0.8][size=0.9]Izad Thaqif Hassan
[email protected]
RAKAMAN video suspek yang dikejar polis di Taman Ria, awal pagi tadi. FOTO tular
Sungai Petani: Penduduk Taman Ria di sini, dikejutkan dengan kemunculan Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan melulu di lorong kawasan perumahan itu selepas dikejar polis, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek nekad memecut kenderaannya ketika dikejar anggota Unit Peronda Polis (MPV).
Suspek yang bekerja sebagai tukang urut berusia 39 tahun itu memandu secara merbahaya dengan hampir semua lorong dilaluinya di taman perumahan terbabit dalam usaha meloloskan diri.
Tindakan itu membuatkan penduduk terjaga kerana bunyi bising selain ada antara penduduk sempat merakam video aksi polis mengejar kereta suspek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, polis pada mulanya mengesan kenderaan suspek di sebuah stesen minyak berhampiran kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, anggota MPV menghampiri kenderaan suspek untuk membuat pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, suspek memecut laju dan masuk ke kawasan perumahan.
"Walaupun diarahkan berhenti, suspek tetap berdegil namun dia akhirnya berjaya ditahan berhampiran masjid di kawasan perumahan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan mendapati suspek positif ganja dan polis turut menemui dadah terbabit bersamanya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama," katanya.
Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 10:34am