|
Oleh NAJIBAH HASSAN
MEREKA yang mengalaminya sering kali terkeliru. Apabila dalam kedudukan berdiri, berjalan, berlari atau melakukan sebarang aktiviti fizikal seolah-olah dapat merasakan ada sesuatu yang bengkak di celah paha atau kelangkang.
Apa yang memelikkan, bahagian bengkak yang jarang menimbulkan rasa sakit ini seolah-olah `hilang' apabila dalam kedudukan berbaring.
Atas alasan itulah, mungkin ada segelintir lelaki mengabaikan gejala angin pasang, uluran atau bodek yang dialami.
Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai hernia. Hernia yang berlaku di bahagian celah paha juga dipanggil inguinal atau Groin hernia.
Hernia jenis ini lebih ramai dihidapi oleh lelaki. Risiko seorang lelaki menghidap hernia ini adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.
Malah, sebahagian besar bayi yang baru dilahirkan dan kanak-kanak yang menghidap hernia ini juga adalah lelaki.
Timbalan Dekan Klinikal, dan Pakar Bedah Am dan Gastrousus, Jabatan Pembedahan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yunus Gul Alif Gul, berkata lelaki lebih terdedah menghidap hernia kerana cara mereka terbentuk ketika dalam rahim agak berbeza dengan perempuan.
Menurut beliau, lelaki mempunyai kelemahan pada bahagian antara celah paha kerana semasa janin, zakar terbentuk dalam abdomen. Ia kemudian turun dari saluran inguinal untuk masuk ke skrotum. Sejurus selepas kelahiran, saluran inguinal ini akan tertutup rapat.
``Hanya sedikit ruang ditinggalkan untuk sperma korda dan saluran darah zakar masuk melalui bahagian inguinal ini,'' jelasnya. Bagaimanapun, ada kalanya saluran ini tidak tertutup dengan sempurna. Keadaan ini menyebabkan bahagian ini tidak begitu kuat.
Hernia merupakan satu benjolan organ atau tisu yang masuk melalui bukaan abnormal pada bahagian abdomen. Hernia juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian pusat di celah kelangkang atau bahagian tubuh yang mempunyai torehan pembedahan.
Sesetengah hernia berlaku sejak seseorang dilahirkan atau selepas tempoh beberapa tahun. Sebahagian pula menghidap hernia pada pertengahan umur atau usia yang tua. Ia juga boleh berlaku secara tiba-tiba.
Komponen sebahagian besar hernia adalah organ-organ dalam perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini masuk ke bahagian yang abnormal ini.
Dr. Yunus memberitahu, sama ada wujud kelemahan atau tidak pada bahagian tersebut, tekanan secara berlebihan pada abdomen boleh menyebabkan berlakunya hernia.
``Tekanan ini boleh disebabkan oleh regangan pergerakan usus semasa membuang air besar atau kecil, mengangkat objek yang berat, kehamilan atau berat badan berlebihan,'' ujarnya. Malah, batuk yang kronik boleh mengakibatkan otot-otot di abdomen atau kelangkang menjadi lemah.
Tambah beliau, kesakitan hanya dirasai apabila mereka melakukan aktiviti fizikal tertentu seperti berjalan, mengangkat barang, regangan dan sebagainya. Ada kalanya, jika ada saraf di celah paha yang tertekan, ia boleh menyebabkan rasa sakit pada zakar.
Jenis-jenis hernia
- Hernia di kelangkang (Groin hernia)
- Hernia selepas pembedahan (Incision hernia)
- Hernia di pusat (Umbillicial hernia)
- Hernia di atas pusat (Epigastrik hernia).
Jenis inguinal hernia
- Indirect - Kongenital sejak seseorang dilahirkan. Dianggarkan 800 hingga 1,000/satu juta penduduk lelaki menghidap hernia jenis ini. Ia boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia empat kali ganda lebih kerap ditemui berbanding direct hernia.
- Direct - Hernia jenis ini dihidapi orang dewasa. Kebanyakan pesakit merupakan lelaki dalam lingkungan usia antara 40 hingga 60 tahun. Ada kalanya pesakit menghidap jenis inguinal hernia campuran direct dan indirect.
Siapa berisiko?
- Lelaki
- Sesetengah jenis pekerjaan
- Bayi yang tidak cukup bulan
Sekiranya mereka pernah menghidap hernia pada bahagian kiri, risiko terkena pada bahagian kanan atau sebaliknya adalah tinggi.
- Menghidap penyakit tertentu seperti batuk yang kronik
- Sembelit yang kronik
- Berat badan berlebihan
- Kehamilan
- Lahir tidak cukup bulan
- Pernah menghidap hernia.
Adakah hernia bahaya?
Jika bukaan bahagian yang lemah ini mengakibatkan usus termasuk ke rongga ini, ia boleh mengakibatkan saluran darah kepada bahagian usus tersebut tersekat. Lebih kurang satu hingga lima peratus pesakit mengalami komplikasi ini.
Ada kalanya akibat komplikasi ini, usus yang tersumbat dalam rongga ini boleh mengalami gangrene. Gangrene berlaku apabila bekalan darah berkurangan dan tiada bekalan oksigen. Ia boleh berlaku hanya dalam masa beberapa jam. Apabila usus mengalami gangrene, ia boleh reput. Keadaan ini boleh membahayakan pesakit.
Semasa pemeriksaan fizikal dilakukan, bahagian ini biasanya bengkak, kulit kemerah-merahan dan amat sakit. Dalam keadaan ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang mengalami gangrene atau kekurangan darah. Usus yang tertinggal akan disambung semula.
Jika pesakit datang ke hospital pada masa yang awal, ada kemungkinan tinggi yang usus tersekat boleh dipulangkan ke tempat yang asal dalam perut tanpa mengeluarkannya. Tempat kelemahan hernia tersebut akan dijahit semula atau dikuatkan supaya keadaan ini tidak berulang.
Pesakit biasanya datang dengan gejala seperti:
a. Perut buncit dan kembung
b. Bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan
c. Muntah-muntah.
Komplikasi usus tersumbat ini biasanya ditemui di negara-negara membangun. Bagi mengelakkan komplikasi, doktor akan menasihatkan pesakit supaya merawat hernia mereka secara elektif.
Bagaimanapun, bagi hernia yang tidak begitu serius dan jika pesakit terlalu tua, doktor tidak akan melakukan pembedahan.
Ini termasuklah pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang sukar untuk dikawal kerana komplikasi pembedahan adalah tinggi.
Rawatan
Pembedahan dengan memasukkan plastik di celah paha atau di bahagian hernia berlaku untuk menguatkan bahagian yang lemah merupakan kaedah terbaru.
Kaedah ini mengurangkan risiko hernia berulang.
Bagaimanapun, kaedah jahitan dengan nilon tanpa menggunakan alat plastik masih boleh dilakukan untuk pesakit muda.
Pembedahan laparoskopik juga boleh digunakan untuk hernia. Plastik atau mesh dimasukkan dan ditampal di bahagian yang lemah. Kaedah jenis ini biasanya dilakukan untuk hernia berulang. Bagaimanapun, kaedah ini lebih popular di Barat. Rawatan laparoskopik hernia di negara ini jarang dilakukan oleh kerana kos yang tinggi dan kekurangan tenaga mahir.
Komplikasi rawatan pembedahan adalah amat rendah. Komplikasi utama ialah berulangnya hernia. Risiko ini seharusnya kurang dari dua peratus jika menggunakan teknik pembedahan yang betul. Kadar hernia berulang amat rendah sekiranya fascia atau tisu di mana hernia berlaku adalah kuat atau kerosakannya sedikit.
Bahagian vas deferens iaitu bahagian yang mengangkut sperma boleh mengalami kerosakan jika pembedahan dilakukan berulang-ulang. Selain itu, celah paha juga boleh mengalami kesakitan atau rasa kebas selepas pembedahan.
Sehubungan itu, cara terbaik menangani hernia ini ialah menasihatkan pesakit menurunkan berat badan jika mereka obes. Jika mengalami sembelit, digalakkan makan makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi.
Pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menghisap rokok terutama mereka yang mempunyai masalah paru-paru atau batuk yang kronik.
Adakah hernia berulang?
Ada sesetengah pesakit mengalami hernia dua kali atau tiga kali.
Jika lebih, maka komplikasinya juga tinggi, terutama dari segi saiz hernia dan risiko hernia berulang.
Ini kerana, otot-otot dan tisu yang lemah apabila ada tekanan, keadaannya umpama belon yang semakin nipis apabila ditiup.
Hernia dan wanita
Wanita juga boleh terdedah dengan hernia tetapi ia jarang berlaku. Hernia jenis femoral lebih kerap berlaku di kalangan wanita. Kedudukan femoral hernia ini bawah dan di luar sedikit dari inguinal hernia di bahagian celah paha.
Hernia di kalangan wanita biasanya membabitkan wanita dalam lingkungan usia lebih 50 tahun ke atas. Ia juga jarang berlaku pada kanak-kanak
[ Last edited by Syd at 29-10-2007 01:19 PM ] |
|
|
|
|
|
|
|
Elakkan hernia berulang
JARING atau mesh akan digunakan bagi menampal lubang hernia. Kini terdapat kaedah laparoskopi yang mengurangkan parut dan sakit serta lekas sembuh.
--------------------------------------------------------------------------------
PESAKIT hernia boleh mengalami penyakit itu semula dalam masa beberapa bulan atau setahun selepas dibedah. Hal ini mungkin akibat pembedahan yang dilakukan.
Namun, bila ia terjadi setelah dua tahun atau lebih, nampaknya terjadi kelemahan fascia (tisu perantara yang membentuk sarung bagi otot-otot dan lapisan perlindungan yang mengelilingi organ lembut ataupun mudah tercedera tepat di bawah kulit) yang progresif.
憫Hati-hati bila hernia berulang. Kemungkinan besar hernia berkembang menjadi hernia inkarserat dan terjerut.
憫Untuk mencegahnya, pesakit harus menghindari hal-hal yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut misalnya batuk dan bersin yang kuat, sembelit, meneran serta mengangkat barang berat,拻 saran beliau.
Misalnya, menghindari batuk-batuk yang berterusan dan berhenti merokok bagi pesakit yang mempunyai tabiat buruk itu. Sekiranya sukar membuang air kecil atau besar, jangan sampai meneran. Sebaliknya segera berubat dan diatasi dulu.
Andai pekerjaan pesakit membabitkan mengangkat beban berat, minta agar diberikan tugasan lain atas alasan perubatan. Pada wanita yang obes, dianjurkan mengurangi berat badannya.
Kesimpulannya, yang penting adalah menangani hernia sejak peringkat awal dan mengambil langkah- langkah pencegahan risiko lanjutan.
Jenis-jenis hernia
Terdapat beberapa jenis hernia yang biasa ditemui. Namanya disesuaikan mengikut tempat kejadiannya pada tubuh. Kebanyakannya berlaku di abdomen.
* Hernia inguinal (pemecahan) paling kerap ditemui di mana penonjolan sak peritoneum yang mengandungi lemak atau sebahagian usus, melalui dinding abdomen bawah (pelipat paha)
* Apabila sebahagian usus menonjol pada bahagian atas paha melalui titik arteri femoral dari abdomen ke paha, ia disebut hernia femoral. Wanita lebih banyak mengalami hernia jenis ini
* Di pusat, hernia umbilikal, paling biasa di kalangan kanak-kanak
* Di sekat rongga badan digelar hernia berdiafragma kongenital, kecacatan sejak lahir yang selalunya memerlukan pembedahan
* Hernia insisional, yang terjadi selepas pembedahan. Ini kerana, pasca pembedahan biasanya kekuatan tisu tidak seratus peratus kembali seperti semula. Bahagian itu kemudiannya menjadi lemah dan boleh mengalami hernia
* Hernia hiatus, satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan) yang menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.
* Hernia inkarserat, hernia yang bengkak dan tetap di dalam saknya
* Hernia takterturunkan adalah hernia yang tidak dapat dikembalikan ke tapak normal
* Hernia tercekik merupakan hernia yang terputus daripada bekalan darahnya, menjadi sakit dan akhirnya bergangren
Tip-tip pencegahan
* Kekalkan berat badan ideal yang disesuaikan dengan ketinggian. Berbincanglah dengan doktor atau pakar diet tentang pola makan sihat dan program latihannya jika anda berasa tubuh berlebihan berat
* Jadikan buah-buahan, makanan vegetarian dan makanan yang diperbuat dari beras atau gandum sebagai sebahagian dari diet anda. Makanan ini tidak hanya baik untuk tubuh tetapi juga mengandungi banyak serat yang akan menghindari tubuh daripada mengalami masalah sembelit dan meneran
* Berhati-hatilah ketika mengangkat bebanan yang berat. Jika itu tidak dapat dielakkan, angkatlah dengan cara membengkokkan lutut anda dan bukannya bahagian punggung atau jangan mengangkatnya sama sekali!
* Berjumpalah doktor apabila berasa sakit. Jika mengalami batuk yang lama akibat dingin atau bersin terus-menerus disebabkan alergi, berjumpa doktor untuk merawat batuk dan mengambil ubat alahan. Berhenti merokok. Rokok dapat menyebabkan batuk yang berpanjangan dan hal ini akan menegangkan otot perut.
Soal jawab lazim
Bagaimana mengenal pasti hernia (diagnosis)?
Doktor akan minta anda batuk, mengemut atau berdiri untuk melakukan pemeriksaan fizikal. Bahagian yang menonjol keluar boleh ditekankan masuk dengan tangan.
Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jarinya, apakah masih boleh dimasukkan kembali ke dalam perut atau tidak. Rawatan yang akan dilakukan bergantung dari pemeriksaan tersebut.
Kenapa hernia patut dibedah?
Semua hernia harus dibedah. Usus boleh menonjol keluar melalui lubang hernia, mengakibatkan usus tersumbat. Pengaliran darah ke usus terganggu dan akhirnya usus bocor dan mati
Bilakah pembedahan patut dilakukan?
Semua hernia patut dibedah awal selepas berjumpa doktor, biasanya dalam masa beberapa hari atau minggu. Bagaimanapun, hernia yang berkomplikasi mesti dibedah secara kecemasan.
Jenis pembedahan yang biasa dilakukan
Kegunaan jaring atau mesh untuk menampal lubang dengan cara pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi
Apa itu pembedahan laparoskopi untuk hernia?
Laparoskopi menggunakan kamera dan peralatan panjang untuk menebuk bahagian badan. Ia boleh menampal tempat hernia yang berlubang dengan mesh atau jaring. Cara baru ini mengurangkan kejadian hernia berulang. Parut dan kesakitan pun kurang.
Adakah jaring atau mesh itu selamat di dalam badan?
Mesh diperbuat daripada sejenis plastik (polypropylene). Ia tidak mengandungi protein. Maka ia tidak mengakibatkan alahan atau penolakan di badan.
Apa yang harus dilakukan jika mesh dijangkiti kuman?
Infeksi mesh jarang berlaku. Biasanya komplikasi ini boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua.
Jenis hernia yang manakah boleh dibedah secara harian (day care)?
Hernia seperti inguinal, umbilikal, femoral atau insisional boleh dibedah secara harian, bermaksud pesakit boleh datang dan balik ke rumah selepas pembedahan pada hari yang sama. Hernia yang besar atau berkomplikasi tidak boleh dibedah secara harian. Hernia yang kecil boleh dibedah dengan bius setempat sahaja.
Bolehkah saya dibedah jika mempunyai masalah perubatan lain?
Kebiasaan pesakit yang ada penyakit seperti jantung, diabetis, tekanan darah tinggi yang terkawal boleh dibedah dengan selamat. Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan diizinkan.
Berapa lamakah masa diambil untuk sembuh?
Pesakit sembuh dengan cepat dalam masa beberapa hari sahaja. Pesakit boleh menjalankan rutin seharian seperti biasa, tanpa gangguan dengan selamat.
Bilakah saya boleh kembali bekerja?
Kerja-kerja pejabat boleh dimulakan dalam 2-3 hari. Pesakit boleh memandu kereta ke pejabat. Kerja ringan boleh dijalankan dalam 10-14 hari. Kerja berat memerlukan 3-4 minggu rehat.
Bilakah saya boleh mula bersukan?
Tiga hingga empat hari selepas pembedahan, pesakit boleh berjalan pantas, berenang dan joging. Lima hingga tujuh hari selepas pembedahan, pesakit boleh bermain golf, bermain ski dan kasut luncur, boling, bola lisut dan memanjat.
Selepas 10 hingga 12 hari pembedahan, pesakit boleh bermain tenis, berbasikal dan menyertai sukan memanjat gunung bermotosikal. Dua minggu selepas pembedahan, tiada sekatan untuk sukan seperti bola sepak, hoki, angkat berat dan besbol. |
|
|
|
|
|
|
| |
|