|
Mawi tuah anak merdeka
TERLALU banyak kisah kontroversi dan jelik berlaku sepanjang satu tahun Asmawi Ani, 25, bergelar anak seni.
Satu persatu kisah peribadinya dibongkar dan tamparan paling hebat apabila pemuda kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor ini mengambil keputusan memutuskan pertunangan dengan Nordiana Mohd Naim, 22, pada 1 Julai atau secara rasmi 10 Julai, dengan diwakilkan keluarga.
Dia dikecam sebagai mungkir janji, hidung tinggi dan lupa daratan. Andai pembaca sudah muak, apatah lagi Mawi terpaksa berhadapan dengan pelbagai cacian dan tohmahan yang menguji kesabaran dan keimanannya.
Justeru, bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-49 hari ini, penyanyi nombor 1 negara ini mengambil kesempatan berharga ini bercerita mengenai perkara yang positif serta kebanggaannya sebagai anak pasca kemerdekaan.
Mungkin ia boleh menjadi batu pengukur kepada masyarakat untuk melihat sejauh mana pengalaman mematangkan Mawi.
Ternyata, juara Akademi Fantasia 3 ini bertuah kerana lahir selepas 24 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan.
"Saya pernah hidup susah, tapi mungkin kehidupan saya tidak sesukar mereka yang hidup di bawah cengkaman penjajah. Justeru, saya anggap saya masih bertuah kerana tidak perlu lalui keperitan sebagaimana mereka.
"Generasi sekarang bertuah kerana melalui hari-hari penuh kedamaian dan keindahan.
Semakin lama negara kita semakin maju, tiada peperangan seperti dilalui masyarakat Timur Tengah. Malah tiada masalah kebuluran.
"Sebagai anak Malaysia saya berharap semua penduduk khususnya golongan remaja, terus pertahankan kemerdekaan, keamanan dan menjaga negara kita dengan baik," katanya.
Sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara, pelbagai pengorbanan terpaksa dilakukan .
Buktinya, tatkala orang ramai berpesta menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-49 malam ini, Mawi berada di KLCC dan Dataran Merdeka menghiburkan peminatnya.
"Menggadaikan kehidupan peribadi adalah pengorbanan paling besar pernah saya lakukan seumur hidup.
"Sejak bergelar anak seni, saya kira diri saya belum merdeka sepenuhnya. Maksud saya kadang-kadang kesilapan kecil pun diperbesar-besarkan hingga rasa tidak bebas membuat keputusan.
"Saya mahu orang tahu dan terima saya sebagai manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan.
Tempoh setahun jadi artis mematangkan saya.
"Memang tak dapat dinafi kan, ada kalanya perasaan rindu untuk bersama kawan-kawan menonton konsert Merdeka selalu singgah di fi kiran saya.
"Tapi apa boleh buat, masa tidak mengizinkan selain kerjaya yang mengubah kehidupan saya. Namun, saya lega dapat menghiburkan peminat. Itulah yang mengubati hati saya," katanya.
Sedar hukum karma, hidup tidak selalunya diatas, Mawi kini berjinak-jinak dalam perniagaan kecil-kecilan sebagai jaminan masa depannya.
Selain barangan cenderahati seperti topi, kemeja-t untuk lelaki dan wanita, Mawi World Sdn Bhd turut memperkenalkan air mineral. Menjelang Ramadan, pihaknya turut merancang mengeluarkan sampul duit, kad raya dan kalendar tentera wajahnya.
"Produk air mineral akan berada di pasaran secara terbuka esok, iaitu 1 September. Manakala cenderahati sudah lama dipromosikan. Harga untuk satu topi dan t-shirt lingkungan RM20 hingga RM30.
"Mengenai kad, kalendar dan sampul surat duit raya, belum ada sebarang penetapan harga kerana masih dalam perbincangan.
Bertitik-tolak dari perniagaan ini saya harap dapat mengeluarkan jenama pakaian sendiri, MW 100 setanding kehebatan Adidas dan Nike," katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|