CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17456|Reply: 17

Si Bongkok tanjung puteri

[Copy link]
Post time 26-8-2007 09:37 AM | Show all posts |Read mode
Kebencian terhadap penjajah punca pendekar yang didakwa lanun bersama pengikut bangkit menentang British

ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.



Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.

“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.

Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.

“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.

Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.

Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.

Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.

Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.

Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.

Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.

Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.

Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.

Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.

Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.

Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.

Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.

Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.

Akhirnya, di tepi pantai Tanjung Belungkur, dua beradik itu bersemuka buat kali terakhir. Pertelingkahan terus tercetus dengan masing-masing menegakkan prinsip yang tersemat di hati.

Panglima Putih terus membela Temenggung Abdul Rahman dan Si Bongkok terus mempertahankan hak kedaulatan Tengku Ali dan maruah tanah air daripada campur tangan British.

Pertengkaran hebat itu akhirnya berlarutan kepada pergaduhan. Kedua-dua pahlawan gagah perkasa itu bertempur hebat dan tangkas tetapi Panglima Putih tetap gagal membolosi keris ke jasad Si Bongkok lantaran kekebalan pahlawan itu.

Selepas melihat adiknya beriya-iya mahu membunuhnya walaupun beliau adalah abang kandung panglima diraja itu, Si Bongkok akhirnya pasrah. Beliau tidak sanggup membunuh adiknya sendiri atau melihat adiknya yang sudah dipengaruhi British, membunuhnya dirinya.

Ketika itulah, Si Bongkok membongkar rahsia kelemahan ilmu kebalnya. Beliau menikam dirinya sendiri dan di tepi pantai Tanjung Belungkur, berakhirlah riwayat dan perjuangan Si Bongkok demi membela tanah airnya yang tercinta. Pahlawan itu mati di atas pangkuan adiknya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-8-2007 09:39 AM | Show all posts

Inggeris label si Bongkok sebagai pengganas

“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.

“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.

Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.

Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.

Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.

“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.

Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.

Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.

Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.

“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.

“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.

Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.

“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 26-8-2007 09:48 AM | Show all posts
aku mmg tercari2 gak cite pasal si bongkok tanjung puteri.. thanks enzo
Reply

Use magic Report

Post time 26-8-2007 10:25 AM | Show all posts
kat bod johor ada bincang kat sini> http://forum3.cari.com.my/viewth ... p;extra=&page=1
Reply

Use magic Report

Post time 26-8-2007 12:06 PM | Show all posts
menarik la cter psl Si Bongkok Tanjung Puteri nih...
tak penah dgr... pertama kali dgr nih..
perjuangan beliau menentang penjajah perlu diiktiraf & direkodkan...
bukan beliau jer, tokoh2 lain yg 'hilang' pun sama...
thanx enzo...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-8-2007 12:03 AM | Show all posts
Orang ni walaupun cacat dan dilabel sebagai pengganas oleh penjajah, pada hakikatnya dia adalah seorang wira dan pejuang bangsa. Semangat macam tokoh ni dah hampir luput dalam diri orang kita.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 27-8-2007 09:51 AM | Show all posts
bagi pihak inggeris sesiapa yang melawan mereka semuanya dilabelkan sebagai pengganas contohnya mat kilau, tok bahaman, tok janggut malah dato' maharaja lela pun dil labelkan sebagai pengganas, dan tradisi tersebut masih lagi berterusan dengan melabelkan mana-mana pejuang islam sebagai pengganas sedangkan rata-rata [ejuang islam seperti hamas , hizbullah , mereka berjuang untuk kemerdekaan tanahair mereka, dan kita yang menjadi pak turut pun sama melabelkan hamas dan hizbullah sebagai pengganas
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-8-2007 11:46 PM | Show all posts
'Pengganas' ialah gelaran yang digunakan oleh segolongan manusia yang sedang berkuasa sebagai label terhadap manusia dari golongan2 lain yang mereka tidak sukai kerana dirasakan berpotensi menggugat kekuasaan mereka. Dalam kes2 di negara barat sekarang, orang2 beragama islam terus-menerus dilabel sebagai pengganas. Kat malaysia ni, dikalangan kita sendiri pun dah ada yang terikut-ikut pandangan orang barat ni. Melabelkan orang-orang islam sebagai pengganas. Tak payah cari jauh2.

[ Last edited by  enzo at 28-8-2007 10:40 AM ]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-8-2007 11:55 AM | Show all posts
jadi  pemerintah di malaysia adalah klon bagi penjajah barat , yang geram tu untuk sambut merdeka 50 tahun kenapa perlu jemput ratu elizabeth II dan putera william datang ke malaysia untuk meraikan kemerdekaan ke 50 kita? sedangkan kita merdeka dari mereka,
Reply

Use magic Report

Post time 28-8-2007 05:24 PM | Show all posts
sedih sungguh baca citer nie   

p/s : masih dapat ku ingat bait2 lirik lagu tanjung puteri tue........"pusara si bongkok di lereng bukit di tepi pantai...tanjung puteri"
Reply

Use magic Report

dempol This user has been deleted
Post time 28-8-2007 05:38 PM | Show all posts
Originally posted by jerai at 27-8-2007 09:51
bagi pihak inggeris sesiapa yang melawan mereka semuanya dilabelkan sebagai pengganas contohnya mat kilau, tok bahaman, tok janggut malah dato' maharaja lela pun dil labelkan sebagai pengganas, d ...



tambah satu lagi..Rejimen Ke-10 PKM....Tok Rashid..Abdullah CD...Shamsiah Fakeh...Abu Samah..dl semua tu pun patut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan..
Reply

Use magic Report

Post time 29-8-2007 04:35 PM | Show all posts
Originally posted by dempol at 28-8-2007 04:38 PM



tambah satu lagi..Rejimen Ke-10 PKM....Tok Rashid..Abdullah CD...Shamsiah Fakeh...Abu Samah..dl semua tu pun patut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan..   



Kenapa bagi hang rejimen 10 PKM memperjuangkan kemerdekaan ke?? , orang cerita tok janggut yang hang terlajak sampai ke komunis kenapa????? hang ni salah seorang peminat chin peng ke????
Reply

Use magic Report

dempol This user has been deleted
Post time 29-8-2007 11:19 PM | Show all posts
salah ke..kan ke diorang pun pejuang kemerdekaan yg dilabel pengganas oleh British juga..sama macam Tok Janggut..Si Bongkok dll..
Reply

Use magic Report

Post time 30-8-2007 04:34 PM | Show all posts
Originally posted by dempol at 29-8-2007 10:19 PM
salah ke..kan ke diorang pun pejuang kemerdekaan yg dilabel pengganas oleh British juga..sama macam Tok Janggut..Si Bongkok dll..



kenapa perlu kita nak menggelarkan seseorang kena ikut telunjuk british, kalau british gelar umno sebagai pengganas takanlah kita nak ikut kata british dimana umno itu pengganas, sedangkan kita sudah sedia maklum umno hanyalah stereotype british, kulit saja lain tetapi isinya sama, macam tu juga tok janggut dengan komunis, kalau ada setengah pihak nak kata tok janggut seorang pengganas dimana "ganas" tok janggut tu, tetapi kalau orang nak kata komunis pengganas, memang komunis tu pengganas sebab banyak kerosakan dan masaalah pada rakyat diorang lakuakan, aparaaa
Reply

Use magic Report

Megat_Seri_Rama This user has been deleted
Post time 31-8-2007 05:31 PM | Show all posts

Reply #10 candiew's post

Offtopic

memang lagu tu best
Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2007 08:03 PM | Show all posts

Reply #2 enzo's post

Dah lama carik tentang tokoh pejuang dari Johor nie...Thanks bebanyak!!
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-3-2010 12:30 PM | Show all posts
Post Last Edit by eddysheddy at 29-3-2010 12:32

Robin Hood Tanjung Puteri


TANJUNG Puteri (Johor Bahru) sebelum merdeka.

HUJAN baru sahaja reda. Hutan dan denai yang kami rentasi masih terasa basahnya. Tanah merah yang dipijak melekat pada kasut dan meninggalkan jejak. Sesekali bahu disapa nakal sisa titisan air hujan yang jatuh dari dedaunan.
Saat kaki berwaspada daripada tersadung akar pokok, mata terbeliak dikejutkan dengan dua ekor khinzir yang berlari meluru secara membabi buta. Memang kecut perut dibuatnya!
Itulah sebahagian rintangan yang terpaksa krew Jurnal lalui dalam usaha mengenali seorang lelaki bernama Si Bongkok. Pusara individu misteri itu dikatakan terletak lebih satu kilometer ke dalam hutan di Tanjung Belungkur, Johor.
Nama Si Bongkok mungkin tidak asing bagi rakyat negeri Johor sementelah ia disebut dalam lagu malar segar Tanjung Puteri.
Lagu yang dinukilkan pada 1950-an itu boleh dikatakan begitu mesra di telinga dan terus bermain di bibir rakyat negeri itu. Cuma, siapakah Si Bongkok yang disebutkan dalam bait-bait lagu itu tidak ramai individu ingin membongkarnya.
Pastinya Si Bongkok seorang yang penting. Kalau tidak, masakan ia disebutkan dalam lagu patriotik dan dikatakan menjadi lagu jati diri negeri Johor itu.
Tidak mungkin ia sekadar menceritakan tentang Tanjung Puteri yang merupakan nama lama Johor Bahru selain retorik dan kisah dongeng semata-mata.
Nama Si Bongkok mula dipopularkan oleh budayawan, Allahyarham Shaharom Husain menerusi pementasan drama berjudul Si Bongkok Tanjung Puteri di Dewan Jubli Intan Johor Bahru seawal tahun 1961.
Si Bongkok disifatkan telah bersemadi bersama sejarahnya yang terkambus. Dia dikatakan seorang pahlawan yang namanya terpadam dalam lembaran sejarah malah tidak hairanlah jika ada yang menyifatkan dia tidak wujud.
“Ada orang Johor yang tahu cerita tentangnya dan ada yang tidak tahu. Bagi saya, dia bukan pengkhianat, sebaliknya dia ialah seorang yang membela bangsa dan tanah airnya.
“Walaupun saya hanya mendengar ceritanya secara lisan, saya tetap percaya apa yang diceritakan. Semangatnya memperjuangkan tanah air membuatkan saya menjadikannya sebagai idola,” kata anak jati Johor, Khairil Muadzam Syah Jalil, 30.
Lanun baik
Khairil yang kesal kerana kisah Si Bongkok tidak banyak dihebahkan memberitahu, beliau hanya mengetahui tentang tokoh itu menerusi cerita mulut datuknya dan buku sejarah lama.
“Kisahnya menarik. Orang kata, dia lanun tapi lanun yang baik. Dia menyerang kapal-kapal Barat demi menyekat kemaraan mereka di Johor. Dia amat benci penjajah.
“Dia melanun sebagai caranya menentang penjajah. Dia merompak kapal mereka untuk tujuan baik, macam Robin Hood,” kata Khairil yang merupakan seorang peniaga saat ditemui di Tanjung Puteri baru-baru ini.

TANJUNG Belungkur merupakan antara lokasi pusara Si Bongkok selain di Johor Bahru.

Tanjung Puteri yang terletak berdekatan Tambak Johor kini menjadi kawasan pelabuhan khas pihak kastam.
Khairil juga mempercayai mayat Si Bongkok bersemadi di Riau, Indonesia selepas jatuh ke dalam sebuah lubang gua akibat satu pertarungan.
Menyedari terdapat pelbagai versi cerita mengenai Si Bongkok, Jurnal mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Warisan Johor.
Pegawai sejarah di yayasan berkenaan, Kamdi Kamil menerangkan kisah sebenar yang dipercayai ahli sejarah.
Menurut Kamdi, kisah Si Bongkok berlaku pada pertengahan abad ke-19 iaitu sekitar tahun 1855 hingga 1870.
Negeri Johor pada ketika itu diperintah oleh Temenggung Daeng Ibrahim. Pada tahun 1855 pusat pentadbiran Johor telah dipindahkan dari Teluk Belanga, Singapura ke Tanjung Puteri.
Ketika pemerintahan Temenggung Ibrahim di Tanjung Puteri, muncul seorang lelaki yang cacat fizikalnya tetapi mempunyai keberanian menentang campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan ekonomi Johor.
“Dia memang dilahirkan bongkok, badannya bengkok ke kanan dan mukanya herot ke kanan. Walaupun dia cacat tapi dia mempunyai fizikal yang kuat.
“Badannya besar dan gagah,” katanya sambil memberitahu Si Bongkok cekap bermain senjata seperti badik dan sangat mahir ilmu kelautan dan pelayaran.
“Ini mungkin kerana dia merupakan Orang Laut yang mahir dengan ilmu kelautan. Dia lahir dalam keluarga orang kebanyakan,” ujar Kamdi, anak kelahiran Batu Pahat.
Berebut Tanjung
Pada masa itu, Singapura telah dikuasai Inggeris dan Inggeris berniat untuk meluaskan jajahannya di Johor.
Mereka juga berusaha mengaut hasil-mahsul Johor seperti lada hitam, gambir, rotan dan damar serta dibawa ke Singapura selaku pusat pengumpulan hasil sebelum dibawa ke Eropah.
“Keadaan itu menimbulkan kemarahan Si Bongkok. Lalu, dia berjuang memusnahkan kapal-kapal dagang Inggeris. Dia melanun sekitar Selat Tebrau dari Pengerang hingga ke Kukup, perairan Kuala Sungai Johor dan perairan Singapura.
Hal itu telah membawa kesusahan kepada Inggeris. Gabenor Negeri-Negeri Selat, W.J Butterworth amat marah dan mahu kegiatan lanun dihapuskan. Pelbagai cara telah digunakan untuk menumpaskan Si Bongkok, ketua kumpulan lanun.

PERJALANAN ke pusara Si Bongkok mengambil masa sekitar 10 minit.

Namun, ia tidak berjaya kerana dia dikatakan pahlawan yang handal, kebal dan tidak lut senjata tajam.
“Si Bongkok juga dikatakan mencintai gadis yang sama dengan adiknya, Panglima Putih. Hayatnya dikatakan berakhir apabila dia tertikam dirinya ketika bertarung dengan adiknya di Tanjung Puteri,” katanya sambil memberitahu gadis itu merupakan Tanjung, anak kepada Datuk Penggawa Timur.
Beritahu Kamdi, Si Bongkok dilihat dari dua persepsi. Masyarakat setempat menganggapnya sebagai wira yang pantang melihat negeri Johor dikuasai bangsa asing.
Sementara, Inggeris dan pemerintah pada masa itu melihatnya sebagai penderhaka dan pengkhianat kerana melakukan pembunuhan dan perompakan sesuka hati sekali gus menjejaskan aktiviti perdagangan amnya di salah sebuah pusat perdagangan utama selepas kejatuhan Melaka.
“Antara sebab juga sejarahnya tidak banyak diperkatakan mungkin kerana perjuangannya agak berbeza daripada sebahagian tokoh pejuang Johor yang cenderung menggunakan kepintaran berbanding pertumpahan darah.
“Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang tidak dikuasai Inggeris secara langsung. Datuk Abdul Rahman Andak misalnya amat menentang Inggeris tetapi dia memilih cara diplomasi dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Pusara
Mengenai pusara Si Bongkok kini, Kamdi berkata, terdapat beberapa pendapat iaitu di lereng bukit Tanjung Puteri seperti yang disebut pada bait lagu Tanjung Puteri, kawasan Mahmoodiah dan Tanjung Belungkur.
Kamdi meyakini Tanjung Belungkur ialah tempat yang tepat kerana Tanjung Belungkur dipercayai kampung halaman Si Bongkok.
“Ada juga kemungkinan, Panglima Putih mengarahkan agar pusara adiknya dipindahkan dari Tanjung Puteri ke Tanjung Belungkur,” ujarnya.
Penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri dan pengkaji sejarah, Abdul Latip Talib turut berpendapat pusara Si Bongkok yang sebenar ialah di Tanjung Belungkur.
“Berdasarkan kajian saya dan pandangan penduduk sekitar Johor, pusaranya di Tanjung Belungkur. Dulu, pusaranya agak terbiar dan hanya bernisankan kayu tapi saya ambil inisiatif letak nisan batu,” katanya.
Abdul Latip juga menyifatkan Si Bongkok merupakan seorang pahlawan yang patut dikenang dalam sejarah.
“Dia lanun, tapi dia juga pahlawan kerana menentang penjajah. Dia hanya memusnahkan dan menyerang kapal dagang Inggeris. Namanya terpadam dalam sejarah kerana kebanyakan kisah sejarah ditulis oleh Inggeris.

PUSARA Si Bongkok di Tanjung Belungkur, Kota Tinggi, Johor.

“Mengapa setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka, kita masih mengikut telunjuk Inggeris menganggap dirinya sebagai penderhaka? Kenapa kita tidak boleh menganggap lanun yang menentang penjajah sebagai wira?
“Orang Inggeris sendiri menganggap lanun-lanun mereka sebagai pahlawan. Lanun Viking yang menguasai Ireland, Scotland, Perancis dan Rusia dianggap sebagai membantu memperkukuhkan kekuasaan Inggeris berbanding penjajah Barat yang lain,” katanya. Inggeris juga terkenal dengan lanun-lanun mereka seperti Edward Teach atau ‘Blackbeard’ dan Calico Jack Rackham.
Sementara itu, pegawai kastam di Pangkalan Marin Kastam di Tanjung Puteri, Syed Idid, 57 menceritakan, beliau telah mendengar bermacam-macam cerita pelik di kubur Si Bongkok di lereng bukit Tanjung Puteri, tidak jauh dari Kompleks Kastam.
“Orang cakap ada kawasan berhampiran pokok besar itu tidak boleh dibangunkan. Ramai juga pengamal seni bela diri yang pergi bertapa di situ,” ujarnya.
Ramdan Sayon, 40 individu yang memandu kami ke pusara di Tanjung Belungkur memberitahu, dia mengetahui selok-belok jalan hutan ke pusara ini melalui datuknya.
“Saya cari sendiri pun tidak jumpa, lepas ditunjukkan datuk baru jumpa. Sekarang sayalah orang yang dicari kalau sesiapa nak ke pusara itu.
“Ramai yang pergi sendiri tidak menjumpainya dan ada juga yang dilaporkan sesat,” ujarnya.

Kosmo Ahad 28/3/2010
Reply

Use magic Report

Post time 29-3-2010 01:13 PM | Show all posts
Tanjung Puteri..

Lagu negeri johor.. mase sultan johor jadi agong dulu slalu ade kat tv..


so.. misterinya disini ialah : kalau si bongkok tu pengganas, and sultan johor pulak mase tu orang kuat british.. kenape dia letak nama si bongkok dalam lagu tu.. ??


kite tau lagu tu.. dicipta 100 tahun lepas.. mase abu bakar.. so.. kenape??


SEBAB...


si bongkok tu keturunan temenggong jugak... sebelah tengku Chik, pemerintah singapura abad 17.. pindah ke tanjong puteri dan disisihkan dari keluarga diraja sebab kecacatannya...


dia membawa beberapa orang pengikut.. dan jadi lanun..


temenggong johor mase tu, walaupun tidak menyokong.. tapi di beri bantuan dalam diam utk menentang british.. dia yg jadi mastermind and si bongkok pulak instrument dia melemahkan pertahanan british..


sebab tu, synonim dikatakan yang johor = lanun, tanpa sultan murka.. sebab dia pun terlibat secara tidak langsung
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Geng purdah 'attention seeker' dikecam, spesis sakit otak makan pun nak kena tunjuk kat orang
maklukpenggodaGeng purdah 'attention seeker' d
Views : 7739 Replies : 4
Demi secebis konten, kan dah kena dek!
maklukpenggodaDemi secebis konten, kan dah kena dek!
Views : 1416 Replies : 1
Hafidz Roshdi vs. Ngai
maklukpenggodaHafidz Roshdi vs. Ngai
Views : 310009 Replies : 8927
Rosmah lepas atau sangkut?
maklukpenggodaRosmah lepas atau sangkut?
Views : 48651 Replies : 35
DJ Best FM menghilang tiba-tiba?
syitaeyqaDJ Best FM menghilang tiba-tiba?
Views : 12652 Replies : 9
Jom buat nama gangster
VellfireJom buat nama gangster
Views : 3631 Replies : 40
Bukan Marvel:Astro Shaw Umum Fasa 1 Keluang Man Cinematic Universe.Anda teruja?
YgBenarBukan Marvel:Astro Shaw Umum Fasa 1 Kelu
Views : 9286 Replies : 3
SNOW WHITE (2024)
SY_MumiSNOW WHITE (2024)
Views : 2330 Replies : 19
Kanser usus disebabkan minyak masak membimbangkan
maklukpenggodaKanser usus disebabkan minyak masak memb
Views : 32208 Replies : 46
SUPERMAN (2025)
SY_MumiSUPERMAN (2025)
Views : 48003 Replies : 12

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 04:25 AM GMT+8 , Processed in 0.262771 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list