|
Ubat herba bercampur racun dijual berleluasa
Oleh SUHANA YUSOP
ANGGOTA penguat kuasa memunggah ubat-ubat haram bernilai lebih RM50,000 dalam operasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Siapa sangka, premis yang menjual pelbagai jenis ubatan tradisional dan kosmetik di Kampung Baru sejak hampir sedekad lalu, rupa-rupanya menjadi antara 'lubuk' ubat campuran palsu.
Lebih mengejutkan ubat-ubatan yang dijual oleh premis tanpa papan tanda perniagaan dan pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa itu, sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, tekanan darah, rosak hati, sakit jantung dan sukar tidur.
Antara produk tersebut ialah pil pelangsing badan yang sebenarnya telah diharamkan oleh negara pengeluarnya, Indonesia sejak 2006 selain Brunei.
Menurut jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, produk itu diharamkan kerana ada campuran herba dengan racun berjadual jenis sibutramine hydrochloride yang boleh mengakibatkan kematian.
Kegiatan premis itu terbongkar semalam apabila diserbu sepasukan 25 anggota penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan cawangan Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Hasil serbuan kira-kira 12 tengah hari itu menyaksikan pasukan penguat kuasa berjaya merampas 1,240 botol produk pelangsing di samping 35 jenis produk tradisional lain yang bernilai hampir RM50,000.
Malah hasil siasatan juga mendapati, produk itu dicampur dengan sildenafil, antihistamin dan steroid yang boleh memudaratkan kesihatan.
"roduk ini terkenal dan mampu menguruskan badan dalam masa dua minggu," katanya dengan menambah, ia dijual lebih RM20 sebotol 30 biji.
Jelasnya, kesalahan premis terbabit ialah memiliki produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk tujuan jualan dan boleh disabitkan di bawah Peraturan 7, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, di bawah Akta Racun 1952.
Individu yang disabitkan kesalahan pertama, boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM25,000 atau kedua-duanya manakala kesalahan berikutnya, denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, jika melibatkan syarikat, ia boleh didenda sehingga RM100,000.
banyak produk2 herba ni dijual.. aku bimbang aje orang ramai dok main blasah beli aje... hanya kata HERBA aje ingat musti bagus.. musti natural segala... tak check check apa... nanti makan ke sapu ke.. apa ke... terus rosakkan kulit.. badan sakit... hingga boleh bawak maut... ingat nak kurus makan pil herba makan aje...... badan jadi tong drum.. haru gak tu... |
|