Rang Undang-undang Enakmen Kawalan Hiburan baharu akan dibentang esok
Siti Rohana Idris
[email protected]
Gambar Hiasan - Konsert Jom Heboh di Kelantan pada 2023
Kota Bharu: Rang Undang-undang Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang baharu akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, beberapa penambahbaikan perundangan berkaitan kawalan hiburan dibuat menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.
"Kerajaan negeri dalam proses menambahbaik perundangan berkaitan kawalan hiburan di bawah Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.
"Selain itu, kita juga sedang menggubal perundangan subsidiari iaitu Peraturan-peraturan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan untuk menyediakan garis panduan baharu yang lebih komprehensif serta praktikal bagi menambah baik perundangan terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Harun Ismail (PAS-Tawang) ketika Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini, berhubung perancangan kerajaan negeri untuk memastikan tiada pelanggaran terhadap akta kawalan hiburan di Kelantan bagi sesuatu penganjuran aktiviti hiburan.
Menjawab soalan tambahan berkaitan sejauh mana larangan hiburan pada malam Jumaat dipatuhi, Hilmi yang juga ADUN Pas Guchil berkata, garis panduan mengenai perkara itu sudah digazetkan sejak 1957 lagi di bawah 'Government of Kelantan Gazzette'.
"Larangan hiburan adalah bermula jam 6 petang Khamis sehingga 6 petang Jumaat keesokannya dan bukan sahaja malam Jumaat, larangan juga merangkumi malam Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban, Israk Mikraj, hari pertama Aidilfitri serta Aidiladha termasuk sepanjang Ramadan.
"Peraturan ini memang dipatuhi sejak dulu lagi dan jika kita tidak kenakan kawalan hiburan sekalipun, penduduk sendiri akan buat sekatan kerana menghormati malam Jumaat yang harus diperbanyakkan ibadat," katanya.
Hilmi berkata, mana-mana pihak yang melanggar syarat hiburan boleh dikenakan denda RM10,000 atau tiga tahun penjara di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
|