View: 14406|Reply: 2
|
Muzium PDRM; Koleksi 2 Abad!!
[Copy link]
|
|
Koleksi dua abad
Oleh Shamshul Azree Samshir
ANTARA senjata yang pernah digunakan penjenayah Botak Chin.
|
Muzium PDRM penuh kejutan, artifak tidak ternilai
PISTOL jenis Luger Parabelum yang pernah digunakan penjenayah ganas, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai, Botak Chin pada era 1970-an, menghiasi ruang pameran di Muzium Diraja Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.
Selain pistol, senjata lain milik Botak Chin yang ketika dibicarakan mendakwa kononnya dialah Robin Hood versi moden, turut dipertontonkan. Antara senjata yang pernah digunakan ketua kongsi gelap ini ialah selaras shotgun; pistol Beretta . 32; pistol Walter .38 Special; bom tangan dan peluru.
Dilaporkan, ketika bergerak aktif, Botak Chin secara terang-terangan mempamerkan senjata apinya kepada orang awam termasuk kejadian yang dikatakan berlaku di Pasar Sentul. Ketika itu, orang ramai yang melihat tidak berani berkata apa-apa atau berbuat sesuatu kerana takut menjadi mangsa Botak Chin. Begitulah penangan penjenayah paling dikehendaki polis ketika itu.
Mengimbau sejarah hidup penjenayah ini, Botak Chin yang dilahirkan dalam sebuah keluarga 10 beradik di Kuala Lumpur pada 1951, cukup licik mengelak dari diburu polis. Botak Chin yang terbabit dalam beberapa siri rompakan hingga awal 1976, diibaratkan pelanduk yang lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakannya. Selepas risikan dan perancangan rapi polis, akhirnya pelanduk terjerat pada malam 16 Februari 1976.
Andai kisah si penjenayah ini menarik perhatian, wajarlah anda berkunjung ke Muzium PDRM. Senjata Botak Chin adalah sebahagian daripada ratusan senjata yang pernah digunakan penjenayah, perompak, penyamun dan geng kongsi gelap sebelum mereka ditahan dan dibicarakan dipamerkan di muzium istimewa ini. Muzium ini diakui kelompok muzium kepolisan antarabangsa sebagai antara premis terbaik di dunia.
Semua senjata ini yang menjadi barang kes ketika dibicarakan, kini disimpan sebagai koleksi bersejarah untuk tontonan ramai dengan harapan menjadi pengajaran kepada mereka yang menatapnya.
Pertama kali berkunjung ke Muzium PDRM sejak berpindah ke tapak barunya di Jalan Perdana pada 1997, hati teruja melihat koleksi artifak yang dihimpunkan di bawah bumbung kompleks ini.
Biarpun pemandangan luar muzium agak biasa dengan beberapa model pesawat dan kenderaan seperti peronda landasan atau Armoured Wickham Trolley (AWT) dipamerkan, rahsia sebenarnya menanti di ruang dalam pameran!
Nyata Muzium PDRM menjadi lambang pencapaian dan kemegahan pasukan ini. Ia mempamerkan koleksi artifak dan maklumat sejarah perkembangan institusi polis di Malaysia.
Teknik multimedia terkini termasuk penggunaan perkakasan seperti skrin maklumat sesentuh memudahkan proses pembelajaran atau penyaluran maklumat bagi setiap pengunjung tanpa mengira umur.
Pengembaraan di Muzium PDRM dimulakan dengan audio visual sejarah awal polis di Malaysia di ruang khas di Panggung Satu. Persembahan ini turut mengimbas kembali fungsi kepolisan sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, British, Jepun dan Tanah Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Perkembangan pakaian seragam polis dan artifak bersejarah turut dipamerkan.
| TIMBALAN Kurator Muzium PDRM, Asisten Superintendan Ab Rashid Mohamad menunjukkan pintu lokap yang digunakan di Balai Polis Nibong Tebal pada lewat 1880-an. |
Melalui paparan ini, pengunjung boleh melihat bagaimana institusi polis yang mula digerakkan sejak Zaman Kesultanan Melaka hingga membawa kepada struktur lebih terancang melalui penubuhan pasukan polis di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807, berevolusi.
Apa yang menarik, perjalanan masa ini membawa pengunjung melewati era Kesultanan Melaka, Portugis, Belanda dan British dalam suasana sebenarnya. Dekorasi termasuk binaan kota dan rumah kedai persis zaman ketika ini - sekaligus mendekatkan pengunjung dengan keadaan atau situasi yang dialami penduduk ketika itu.
Selain itu, koleksi anugerah yang diperoleh anggota polis turut dipamerkan. Pingat seperti Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Pingat Gagah Berani yang mengiktiraf sumbangan pegawai dan anggota polis turut dipamerkan.
Elemen pengorbanan anggota polis dan kerjasama masyarakat turut diberi perhatian dalam segmen Era Darurat dan Tragedi Bukit Kepong. Persembahan audio visual memberi gambaran sebenar kekuatan semangat dan kecekalan anggota polis ketika menentang ancaman komunis dan konfrantasi.
Ketika melangkah di pentas replika Balai Polis Bukit Kepong, hati terusik melihat bagaimana 'anggota polis' mempertaruhkan nyawa bertempur dengan pengganas komunis.
Pada segmen seterusnya, PDRM berjaya menonjolkan pasukan itu sebagai institusi yang bersedia menangani pelbagai isu di era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat (IT) menjelang alaf baru melalui persembahan audio visual.
Kurator Muzium PDRM, Superintendan Syed Zainal Abidin Syed Zin, berkata Muzium PDRM menyimpan lebih 2,000 artifak bersejarah yang setiap satunya mempunyai cerita tersendiri mengenai sejarah kepolisan di Malaysia.
"Muzium ini menyimpan sejarah evolusi polis sejak 202 tahun lalu... Bagaimana ia bermula pada zaman kesultanan Melaka dan perkembangan terkini PDRM pada era IT," katanya.
Syed Zainal Abidin berkata, artifak yang dikumpul diperoleh dari pelbagai sumber termasuk balai polis terutama yang dibina sejak zaman kolonial hinggalah tinjauan di pasar menjual barangan antik di seluruh negara.
"Seperkara yang menarik, kita berjaya menemui dekri yang antara lain menyebut mengenai perlantikan pasukan polis oleh King George Ketiga pada 1807. Dekri itu kita peroleh di United Kingdom (UK) dan diambil salinannya untuk dipamerkan di muzium," katanya.
Syed Zainal Abidin berkata, kewujudan Muzium PDRM makin disedari ramai malah sehingga kini lebih 400,000 pelawat sudah mengunjungi muzium ini.
"Kita banyak menerima kedatangan pelawat asing. Malah, ada antara mereka memberi pelbagai dokumen, pakaian dan artifak yang dimiliki keluarga atau bapa yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis pada zaman penjajah untuk dipamerkan di sini," katanya.
Syed Zainal Abidin berkata, program yang dilaksanakan di Muzium PDRM bukan bersifat setempat atau sekadar bahan pameran semata-mata, sebaliknya pihaknya terbabit dalam menganjur kursus mengendalikan muzium bagi anggota PDRM termasuk agensi dan muzium lain di Malaysia.
Sepintas Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM)
SEJARAH Muzium PDRM bermula sejak 1950-an. Dengan keluasan tapak 292 meter persegi, ia terletak di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pada mulanya ia adalah sebuah bangunan kayu yang menyimpan bahan jenayah yang dipamerkan sebagai bahan rujukan kepada pelatih polis.
Bangunan itu kemudian diperbesarkan secara berperingkat. Pada 9 Januari 1961, bangunan itu dijadikan sebagai Muzium Polis yang pertama.
Pada 26 Ogos 1997, keseluruhan pentadbiran serta artifak yang dipamerkan di muzium lama dipindahkan ke Muzium PDRM baru di No 5 Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Bangunan ini dulunya Mes Pegawai Kanan Polis Jalan Venning (kini Jalan Perdana).
Ilham supaya mes itu dijadikan Muzium PDRM dicetuskan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar selepas muzium lama di Pulapol sudah uzur dan tidak mampu menampung pertambahan artifak.
Upacara pecah tanah Muzium PDRM yang berkeluasan 1.2 hektar disempurnakan Tun Mohammed Hanif pada 23 September 1993. Ciri binaan muzium masih dikekalkan seperti bentuk anak panah selain membina ruang pejabat baru.
Fungsi Muzium PDRM ialah memungut, mengkaji, menyimpan barang lama bagi tujuan penyelidikan sejarah serta serta perkembangan pasukan polis.
Sehingga kini, artifak yang dipamerkan di Muzium PDRM hampir 2,000 barang. Muzium PDRM adalah institusi yang bertanggungjawab memberi pendidikan secara informal. Ini sebagai memenuhi persepsi mempengaruhi proses belajar dan mengajar selain memenuhi tujuan dan kehendak estetik dengan pengajian serta perkembangan secara deduktif.
Lokasi
Muzium ini terletak di No 5, Jalan Perdana, 50480, Kuala Lumpur. Muzium ini berhampiran Taman Burung, Planetarium dan Muzium Kesenian Islam.
Masa Lawatan:
Muzium dibuka kepada orang ramai secara percuma pada Selasa hingga Ahad jam 10 pagi hingga jam 6 petang.
Pada hari Jumaat, muzium dibuka pada jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari serta dibuka semula pada jam 2.30 petang hingga 6 petang.
Muzium ditutup pada Isnin bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Bahagian Peragaan Galeri peragaan dibahagi kepada 5 bahagian:
Galeri pengenalan
Pengenalan PDRM
Sejarah Muzium PDRM (Jalan Semarak)
Sejarah Mes Pegawai Kanan Polis (Jalan Venning)
Upacara pecah tanah Muzium PDRM
Kerja pembinaan muzium PDRM
Fungsi pasukan polis
Galeri A
Mempamerkan gambar dan artifak Zaman Kesultanan Melayu Melaka serta sejarah awal penubuhan polis sejak daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka ke pemerintahan Portugis, Belanda dan Inggeris.
Galeri B
Mempamerkan gambar dan artifak penubuhan pasukan polis negeri seluruh semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, model kenderaan yang pernah digunakan pasukan polis, sudut KPN, pingat anugerah kepada pegawai polis, sudut Perkep dan contoh pakaian pegawai polis masa kini.
Galeri C
Mempamerkan gambar dan artifak semasa era darurat serta replika Balai Polis Bukit Kepong.
Pameran Luar Artifak berikut pernah digunakan oleh pasukan polis dipamerkan di sekitar muzium:
Kereta WA 6999 jenis Mercedes Benz 250 (yang dinaiki bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim).
Kereta kalis peluru WA4600 (Tan Sri Khoo Chong Kong).
Kereta WL 8 jenis Mercedes Benz (Tun Haniff Omar).
BB 8128 Ford Lynx Scout Car.
BB 8724 Armoured Personnel Carrier.
Kapal terbang Cessna U 206 G-4.
Kereta perisai jenis Sankey AT-105.
Meriam HMW 38 British 1917.
Meriam Jepun.
Kapal ronda jenis PA4.
Persada Pahlawan Polis.
Meriam. |
|
|
|
|
|
|
|
MENGIMBAU SEJARAH
| TAN Siew Lan, 83, dan Saadiah Tajuddin, 80, dipimpin anggota polis melawat Muzium PDRM di Jalan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.
|
BAGI menyelami sejarah serta pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 60 penduduk yang merupakan ahli Komuniti Kepolisan kawasan SS 20 Damansara, Selangor, mengadakan lawatan ke Muzium PDRM di ibu negara, semalam.
Selain mendengar taklimat, mereka turut ditayangkan klip video mengenai pengorbanan serta sejarah anggota polis secara ringkas.
Lawatan sehari itu turut disertai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed dan Pegawai Pengurusan Muzium PDRM, Asisten Supritendan Abdul Rashid Mohamed. |
|
|
|
|
|
|
|
saya penah melawat muzium ni masa skolah dlu. masuk jek mmg ade rase seram sket sbb keliling muzium ni byk pokok2 merimbun. lg pun antara bahan yg dipamerkan ialah baju berdarah yg dipakai oleh ketua polis negeri mana saya x ingt. beliau terbunuh lps diserang penjenayah rasanya. saya ingt kan rasa semacam tu cuma mainan perasaan saya jek. tp rupa2 nyer org yg keje yg muzium tu sdri (seorg polis) bgtau kalu malam2 mmg ade jek benda yg seakan2 idup dlm muzium tu...wallahualam... |
|
|
|
|
|
|
| |
|