View: 1995|Reply: 1
|
Alhamdulillah... kita masih diberi peluang bertemu dengan Ramadhan 1430
[Copy link]
|
|
'Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah.' [Hadith riwayat al-Nasaai]
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka. Then, we better check back our iman.
Apakah sebenarnya yang ada pada ibadah puasa di bulan Ramadhan, sehingga ia dijanjikan dengan sebuah kehebatan?
Jika seorang itu tidak makan kerana tiada makanan, keadaan itu tidak akan mendidik dirinya dengan sebarang nilai pendidikan. Jika seseorang itu tidak minum kerana tiada minuman, keadaan itu tidak akan melatihnya dengan sebarang nilai latihan. Tetapi jika seseorang itu ada segalanya untuk dimakan, namun beliau memilih untuk tidak makan kerana mahu mematuhi Allah SWT, maka di situlah datangnya nilai Tarbiyah.
Kita belajar untuk berkata TIDAK, kepada sesetengah keinginan dan kemahuan diri, kerana mahu mentaati Allah.
Itulah sebuah LATIHAN.
Ramadhan melatih kita untuk mempunyai kekuatan mengawal keinginan dan kemahuan, supaya kita tidak terus terbelenggu menjadi hamba kepada hawa nafsu dan diri sendiri.
Seorang manusia menyembah Tuhan palsu tanpa perlu menyembah berhala. Dia mengambil Tuhan palsu dalam hidupnya apabila hawa nafsunya sendiri diutamakan, membelakangi perintah dan suruhan Allah SWT. Apabila manusia menjadi hamba kepada dirinya sendiri, dia menjadi sesat walaupun berilmu. Malah sesatnya menebal hingga menutup mata, telinga dan hatinya daripada peringatan. Semua itu berlaku apabila seorang manusia tidak mampu berkata TIDAK kepada kemahuan-kemahuan diri, sebaliknya sentiasa mengikut perasaan dan kata nafsu dalam kehidupan.
Alangkah besarnya bencana manusia seperti ini.
Justeru Allah datangkan Ramadhan dan ibadah puasa, agar manusia belajar mengawal diri. Belajar untuk mampu berkata TIDAK kepada sebahagian kehendak diri yang diciptakan Allah kita ini ada kecenderungan kepada kebaikan dan ada kecenderungan kepada kejahatan. Selain latihan mengawal diri daripada makan dan minum, Islam juga datangkan beberapa siri latihan lain untuk mengukuhkan proses ini.
Sabda Nabi SAW:
Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Kawal diri dari makan dan minum. Kawal diri dari larut dalam perkara yang sia-sia. Kawal diri dari kelakuan dan percakapan sumbang dan lucah. Jika dicela, dimaki hamun atau diperbodohkan, secara khusus di bulan Ramadhan ini, jangan dibalas provokasi itu, sebaliknya kawallah diri. Nyatakan, “aku berpuasa”. Ia bukan suatu kekalahan apabila tidak membalas. Tetapi ia adalah suatu latihan untuk meningkatkan daya mampu mengawal diri dan berkata TIDAK kepada perkara-perkara yang mengundang mudharat dan kerugian.
Ambillah ini sebagai suatu proses yang dilatih secara tubi.
Semasa membeli di Bazar Ramadhan, semasa membeli barangan untuk sambutan Aidilfitri, pastikan kita peka kepada proses mengawal diri ini. Belajarlah untuk berkata tidak.
Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, kuranglah penceraian yang berpunca dari suami isteri yang hilang kawalan diri, kuranglah rasuah daripada berlaku ketika pekerja kurang daya mengawal diri, kuranglah sambutan terhadap hiburan melampau tatkala masyarakat kurang mampu mengawal hawa nafsu dan kehendak diri. Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, bercambah-cambahlah kebaikan dalam hidup kita semua,
Marilah kita sama2 mendidik diri supaya menjadikan Ramadhan yang mulia ini sebagai Ramadhan yang terbaik berbanding Ramadhan yang lalu. Tak siapa yang tahu bahawa Ramadhan yang lalu adalah Ramadhan yang terakhir buat Ustaz Asri Rabbani termasuklah dirinya sendiri. Alangkah ruginya kita sekiranya ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita dan kita masih tidak mampu melawan hawa nafsu yang jahat dan masih buat endah tak endah dengan tawaran yang ditawarkan oleh Allah? Rugilah manusia yang penuh dengan kedegilan dan kesombongan itu.
Dipetik dari saifulislam.com |
|
|
|
|
|
|
|
alhamdulillah ramadhan tahun ini amat bermakna buat saya kerana berkesempatan mengerjakan umrah di bulan ramadhan..semoga dipanjangkan usia dan diberi kelapangan utk melakukan ibadah umrah lagi di ramadhan akan datang insyallah
Kelebihan ibadat umrah pada Ramadan
UMRAH atau ziarah ke tanah suci Makkah amat dituntut sepanjang Ramadan. Perkara ini kerana ibadat itu dikerjakan di tempat suci iaitu Makkah dan pada bulan mulia, Ramadan.
Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.
Baginda bersabda bermaksud: “Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?”
Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.”
Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana umrah dalamnya setingkat dengan haji.”
Jemaah yang mengerjakan umrah pada bulan ini juga memperoleh banyak ganjaran disebabkan mereka mengerjakan ibadat lain di Masjidil Haram.
Masjidil Haram ialah masjid paling mulia di sisi Allah diikuti Masjid Nabawi, Masjid al-Aqsa dan Masjid Kiblatain.
Diriwayatkan, ganjaran pahala mengerjakan solat di Masjidil Haram menyamai 100,000 ganjaran.
Dalam hal ini, ulama mengkiaskan pahala solat seperti dinyatakan dalam hadis itu, bahawa ia turut meliputi ibadat lain seperti Qiamullail, membaca al-Quran dan iktikaf.
Di samping mengerjakan ibadat umrah seperti tawaf dan saie, jemaah berpeluang mengunjungi Masjid Nabawi.
Dalam hadis lain, Rasulullah menjelaskan, ganjaran mengerjakan solat di masjid itu menyamai 1,000 pahala. |
|
|
|
|
|
|
| |
|