CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2645|Reply: 0

Produk Orang Asli di pasaran Internet

[Copy link]
Post time 3-12-2009 07:43 PM | Show all posts |Read mode
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


Kumpulan wanita Mah Meri Tompoq Tompoh bergiat aktif menghasilkan kraftangan tradisional di Pulau Carey, Selangor.

PERJALANAN ke Pulau Carey, Kuala Langat Selangor yang memakan masa lebih kurang sejam dari Kuala Lumpur menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada penulis.

Tugasan kali ini mengenai kraftangan Orang Asli Mah Meri dan kaedah mereka memasarkannya melalui Internet memang benar-benar mengujakan.

Bagaimana mereka melakukan transaksi dan bagaimana mereka menerima dan menghantar pesanan kepada pembeli.

Sampai di sana, kami ke bengkel kraftangan anyaman Mah Meri di Kampung Bumbun, beberapa orang kaum wanitanya sedang sibuk dengan aktiviti anyaman.

Sebelum ini kaum wanita Mah Meri di Kampung Bumbun hanya tinggal di rumah menguruskan rumah tangga selain melakukan kerja sampingan seperti anyaman untuk kegunaan seharian terutama tikar.

Sehinggalah tradisi menganyam semakin pupus kerana pokok mengkuang dan pandan yang semakin berkurangan akibat penebangan hutan untuk ladang sawit.

Bagaimanapun tradisi anyaman yang semakin dilupakan itu dihidupkan semula oleh nenek Gendoi Samah Seman dan keluarganya agar tidak dipinggirkan oleh generasi baru puak Mah Meri.

Segalanya bermula pada tahun 2003, apabila anak perempuan Gendoi, Maznah anak Unyan, 41, mengumpulkan beberapa orang ahli keluarga dan sahabat bagi memulakan kelas anyaman untuk menghasilkan produk seperti tikar, penanda buku, beg kecil, gelang, topi serta bakul.

Dua tahun selepas itu satu kumpulan wanita ditubuhkan dengan nama Tompoq Tompoh sebagai mengiktiraf hasil kraftangan kaum Mah Meri itu.

Sebagai jurucakap Tompoq Topoh, Maznah menjelaskan perkataan Tompoq Topoh dipilih kerana membawa maksud 'permulaan segala usaha' dalam bahasa Mah Meri serta dilengkapi dengan logo empat helai daun pandan permulaan anyaman.

"Awalnya kami hanya mempunyai 12 orang ahli tetapi kini Tompoq Topoh mempunyai lebih 30 orang ahli yang bukan saja bergiat dalam industri anyaman tetapi juga tarian tradisional mayin jo-oh," katanya semasa ditemui di bengkel kraftangan Kampung Bumbun, Pulau Carey.

Maznah berkata, selama ini hasil kraftangan mereka hanya dijual kepada pelanggan yang datang melawat ke kampung mereka selain semasa pasar-pasar berdekatan serta pameran.

"Biasanya terdapat beberapa organisasi atau agensi yang menaja dan membawa kami untuk menjual di pameran.

"Tapi kini kami dapat menjual kraftangan menggunakan Internet dengan bantuan sebuah syarikat pengendali laman web elevyn.com," katanya.

Bagaimanapun jelas Maznan, jualan secara dalam talian mempunyai banyak cabaran memandangkan mereka tidak tahu menggunakan Internet serta tidak fasih berbahasa Inggeris.

Ekoran masalah berkenaan, elevyn.com serta Tompoq Topoh telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa agen pemasaran di bandar-bandar bagi membantu menguruskan pemasaran produk kraftangan.

Bercerita mengenai kelebihan transaksi jual beli menggunakan Internet, Maznah berkata, beliau kini sudah mempunyai lebih banyak pelanggan bukan saja di dalam negara bahkan ke luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Jepun.

"Jika dulu saya risau jika tidak melihat sendiri pelanggan yang datang tetapi kini saya sudah boleh menghantar barangan kepada pelanggan menggunakan khidmat Pos Malaysia.

"Tetapi masalahnya ada yang memberikan alamat yang silap kerana dua kali barangan yang dihantar dipulangkan semula kepada kami," katanya.

Menyentuh mengenai penambahan pendapatan selepas jualan menggunakan Internet, Maznah berkata, walaupun tidak banyak tetapi dengan hasil jualan kraftangan mereka boleh meningkatkan lagi taraf hidup.

"Jika dulu kami terpaksa berhutang membeli barang dapur tetapi kini kehidupan kami lebih lega kerana kami tidak perlu lagi dengan pendapatan yang semakin meningkat," katanya.

Maznah menambah dengan menggunakan perkhidmatan elevyn.com, mereka bukan saja dapat meningkatkan pendapatan sendiri tetapi juga beramal kerana sebagai pengusaha mereka akan menyumbang kepada Tabung Makanan Orang Tua dan Ibu Tunggal.

"Sehingga kini kami telah berjaya mengumpul sebanyak 4.5 peratus daripada jumlah yang disasarkan dan berharap akan dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan hasil kraftangan.

"Walaupun mungkin jumlah berkenaan tidak banyak tetapi kami berharap ia akan dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Walaupun tidak tahu menggunakan Internet, Maznah menunjukkan minat untuk belajar menggunakan komputer suatu masa nanti bagi memudahkan masyarakat Mah Meri berurusniaga secara dalam talian.

"Jika bukan saya, mungkin generasi akan datang bakal menyambung usaha memasarkan sendiri produk kami menggunakan Internet sehingga menjadikan kraftangan Mah Meri sehingga ke peringkat global dan menyeluruh," katanya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan produk anyaman Mah Meri boleh terus ke Pulau Carey atau melayari www.elevyn.com bagi pembelian atas talian. Di sini mereka boleh membeli sambil menderma kepada golongan kurang bernasib baik.
utusan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-1-2025 06:44 PM GMT+8 , Processed in 0.046220 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list