HARUS diakui, slot Suatu Ketika, kempen program bersama antara Astro Citra (saluran 131, Astro) dan Astro Prima (saluran 105, Astro) yang mula diperkenalkan pada Jun lalu mendapat perhatian yang cukup meluas.
Corak penerbitan dan pendekatan drama yang ditampilkan menerusi slot tersebut dikatakan mencetus revolusi baru dalam industri penyiaran negara.
Kualiti pengarahan dan penerbitan drama ditampilkan dalam setiap drama mini sebanyak lapan episod itu juga berada di tahap yang membanggakan.
Apa yang membuat slot Suatu Ketika ini unik adalah dari segi tema dan plot yang ditampilkan iaitu mengambil inspirasi daripada kisah legenda, mitos, kejadian mahupun momen indah atau yang menggemparkan sekali gus tercatat dalam sejarah negara.
Kerana itulah, Astro Citra mengakui pihaknya tidak menang tangan apabila menerima banyak kertas kerja daripada syarikat produksi yang mahu bekerjasama dengan saluran itu.
Pengurus salurannya, Sharlyza Alis Sharkawi memberitahu, pihaknya amat gembira apabila menerima respons positif daripada semua pihak yang mahu berkerjasama dengan pihaknya.
Namun begitu, kata Sharlyza, drama-drama yang diterbitkan untuk slot itu haruslah memiliki sinergi yang kuat dengan dokumentari yang diterbitkan untuk Astro Prima.
Sinergi yang dimaksudkan Sharlyza adalah persamaan tema dan topik yang ditampilkan menerusi dokumentari yang kemudian kisahnya dilangsungkan menerusi drama mini.
"Memang kami tidak menafikan permintaan yang diterima memang cukup tinggi daripada syarikat produksi yang mahu menerbitkan drama mini untuk slot Suatu Ketika.
"Tetapi, kami tidak boleh meluluskan sembarangan seandainya tiada persamaan yang dapat dilihat dalam tema menerusi dokumentari yang diterbitkan.
"Kami akan dahulukan judul dan tema yang memiliki persamaan kerana kami mahu penonton dapat memahami jalan cerita drama dan dokumentari yang diterbitkan," ujarnya pada sidang media pelancaran Suatu Ketika...Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani; Penerbit Penyelaras Suatu Ketika FM Productions Sdn. Bhd., Paullina Oppei Paulus dan Penerbit Asia Media Content, J.S. Foo.
Turut diundang pada majlis itu ialah bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek dan Foo Kok Keong.
Untuk itu juga, Sharlyza memberitahu slot Suatu Ketika yang ketika ini ditayangkan dua kali seminggu pada setiap hari Rabu itu akan hanya ditayangkan sekali seminggu sahaja bermula Januari 2010.
"Bukan kerana kami ketandusan idea mahupun kekurangan judul tetapi ia adalah permintaan daripada penonton kami sendiri yang merasakan tayangan dua kali seminggu itu terlalu rapat.
"Kami sentiasa prihatin terhadap maklum balas dan respons daripada penonton setia kami yang sentiasa mahukan santapan terbaik," katanya penuh bersungguh.
Dokumentari Suatu Ketika...Piala Thomas 1992 mengisahkan tentang kejayaan skuad badminton negara yang telah menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.
Menerusi kejayaan dan momen terindah yang tercipta itulah inspirasinya diambil dan dilangsungkan ke drama mini dengan menggunakan judul yang sama.
Menariknya tentang dokumentari ini adalah kupasan paparannya di mana sesetengahnya yang mungkin sebelum ini tidak pernah ditampilkan di mana-mana penerbitan.
Dalam pada itu, Nizam menjelaskan pemilihan kisah Piala Thomas itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pelanggan Astro untuk menyelami dan memahami kisah-kisah menarik yang berlaku pada perlawanan itu 17 tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Nizam berpendapat waktu tayangannya boleh dikatakan sesuai memandangkan tahun depan Malaysia merupakan tuan rumah kepada kejohanan Piala Thomas.
"Memang benar kejayaan negara kita memenangi Piala Thomas ketika itu telah memberikan impak yang cukup besar bukan kepada rakyat negara ini tetapi juga kepada pasukan lawan iaitu Indonesia dan China.
"Dalam masa yang sama, kami mahu generasi muda hari ini memanfaatkan kisah ini dengan mengambil semangat dan perjuangan pemain badminton kita yang berjuang habis-habisan untuk mengharumkan nama negara," ujarnya panjang lebar.
Dokumentari itu juga memuatkan sesi temu bual dengan orang kuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu iaitu Tan Sri Elyas Omar selain jaguh badminton negara seperti Datuk Misbun Sidek dan adik-adiknya iaitu Jailani dan Rashid selain Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit serta Soo Ben Kiang.
Tidak cukup dengan itu, ia turut memaparkan temu ramah dengan jurulatih serta pemain Indonesia yang menentang pasukan Malaysia ketika itu.
Menyentuh tentang drama mini Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata pula, J.S. Foo memberitahu pihaknya memang tertarik dengan kisah Piala Thomas tersebut.
Perjalanan ceritanya pula akan mengambil tempoh masa selama 10 tahun dari 1982 hingga 1992 iaitu pada acara kemuncak kejohanan Piala Thomas.
"Menerbitkan drama ini bukanlah satu perkara mudah buat kami kerana kami perlu memastikan semuanya tepat dari aspek penataan seni, set, kostum dan tata rias bagi menepati era itu.
"Namun, apa yang mengagumkan saya adalah semangat dan komitmen pelakonnya yang mengikut rejim serta rutin seperti seorang pemain badminton profesional," katanya yang menggunakan khidmat jurulatih profesional dari Kelab Badminton Nusa Mahsuri.
Drama mini Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata dibintangi oleh Zahiril Adzim, Azma Aizal Yusoof, Natasha Hudson, Zamarul Hisham, Eira Syazira dan Shaharudin Thamby serta kemunculan istimewa pengulas sukan terkenal, Hasbullah Awang.
Episod pertama drama mini ini akan ditayangkan pada 6 Januari ini pukul 9 malam di Astro Citra.
Terlebih dahulu, dokumentari Suatu Ketika...Piala Thomas 1992 pula akan menemui penonton Astro Prima pada 3 Januari pukul 6.30 petang.