View: 2582|Reply: 3
|
Prof Dr Muhammad Sayed Tantawi
[Copy link]
|
|
Cendiakawan berpendirian sederhana
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
KETENANGAN pagi Rabu 10 Mac lalu telah menyaksikan pemergian ulama terkenal Mesir, Sheikh Al-Azhar Prof. Dr. Muhammad Sayed Tantawi buat selama-lamanya. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya kerana serangan jantung pada usia 82 tahun.
Ketika itu beliau sedang menaiki sebuah pesawat dalam perjalanan pulang ke Mesir selepas menghadiri majlis Anugerah Antarabangsa Raja Faisal di Arab Saudi.
Jenazah Tantawi dikebumikan di Jannatul Baqee, Madinah yang menempatkan makam saudara-mara dan sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
Pemergian figura tersohor itu bukan sahaja meninggalkan rasa sedih dan kehilangan bagi seluruh ahli keluarga beliau. Ketiadaan Tantawi kini amat dirindui segenap lapisan masyarakat global yang mengingati ketokohan, kebijaksanaan dan keluasan spektrum pandangan minda Tantawi yang sering mengajak pendengar beliau berfikir.
" Perwatakannya sederhana, lemah-lembut apabila berbicara namun amat tegas apabila membincangkan berhubung isu dan masalah umat Islam di seluruh dunia," demikian ulasan Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut mengenai keperibadian Allahyarham Tantawi.
Berbeza dengan ulama-ulama tradisional yang lain, Tantawi, 82, merupakan seorang cendekiawan berpendirian sederhana dan lebih bertoleransi dalam menyampaikan pendapat dan hujahnya.
Menurut Nooh, secara peribadi beliau mengenali Tantawi sebagai seorang yang mudah didekati tanpa protokol atau temu janji.
Nooh pernah menjalani kursus Pengurusan Fatwa di Darul Al-Iftak, Kementerian Keadilan Mesir kira-kira sedekad lalu di bawah seliaan Tantawi.
Malah hampir semua kos perbelanjaan Nooh ditanggung oleh bekas gurunya itu.
"Kerana sifat tawaduknya itu, beliau disanjungi oleh pelajar-pelajar Al-Azhar dan umat Islam di seluruh dunia selain dikagumi pemimpin-pemimpin bukan Islam," katanya.
Biarpun sibuk dengan tugasan seharian, Tantawi komited semasa mengajar malah menganggap para pelajar Universiti Al-Azhar sebagai anak-anaknya sendiri.
Nooh memberitahu, adakalanya jika berkesempatan gurunya itu akan mengimamkan mereka menunaikan solat di masjid selain tidak lokek membekalkan buku-bukunya sebagai panduan kepada pelajar-pelajar universiti.
Tantawi juga mewakafkan beberapa kawasan di sekitar Al-Azhar untuk dijadikan asrama pelajar di samping memberi bantuan biasiswa bulanan kepada mereka yang memerlukan.
Dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di perkampungan Salim As-Syarqiyyah di daerah Tama, Soohaj kira-kira 290 kilometer ke selatan bandar raya Kaherah, Mesir, Tantawi merupakan anak sulung daripada enam beradik.
Minatnya dalam bidang agama terserlah apabila mula menghafal al-Quran pada usia 13 tahun sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Agama Iskandariah.
Beliau dianugerahkan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Hadis dan Tafsir dari Universiti Al-Azhar sebelum menjadi ahli fakulti Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Islam Libya pada 1972.
Beliau kemudian berpindah ke Arab Saudi pada 1980 untuk menjadi Ketua Jabatan Tafsir, Universiti Madinah, Arab Saudi sebelum kembali ke Mesir lima tahun kemudian.
Pada 1985 beliau menjadi dekan di salah sebuah fakulti di Institut Agama Iskandariah.
Tahun 1986 semasa ulang tahun kelahirannya ke-56, beliau telah dilantik sebagai Imam Besar Mesir dan memegang jawatan itu selama sepuluh tahun.
Kerana ketokohannya, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah memilihnya sebagai Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Sheikh Al-Azhar pada 1996.
Sebagai peneraju di universiti pertama dunia itu, beliau berjaya mengemudi Al-Azhar sama seperti tokoh-tokoh sebelumnya iaitu Mahmud Shaltut dan Prof. Dr. Abdul Halim Mahmoud lakukan iaitu melahirkan ribuan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang.
Tantawi juga menghasilkan beberapa kitab yang kini menjadi sumber rujukan masyarakat Islam di seluruh dunia seperti tafsir al-Quran setebal 7,000 muka surat yang dikenali sebagai al-tafser al-waset yang dihasilkannya dalam tempoh sedekad.
Kontroversi
Sepanjang memegang jawatan Sheikh Al-Azhar, Tantawi dikenali sebagai seorang ulama berpandangan liberal terutama berhubung isu hak asasi wanita.
Tetapi pendapatnya sering dikritik oleh Ahli Parlimen Mesir, akhbar pro pembangkang dan pertubuhan Islam Mesir kerana dilihat terlalu menurut dasar yang ditetapkan kerajaan Mesir.
Antara isu berbangkit ialah apabila beliau menentang amalan berkhatan pada wanita sekali gus mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi kerana tidak menurut cara Islam.
Tujuh tahun lalu, ketika Perancis dikritik oleh dunia Islam kerana mengharamkan tudung di sekolah-sekolah di negara itu, Tantawi menyatakan menutup aurat adalah tanggungjawab semua wanita beragama Islam. Bagaimanapun, negara bukan Islam berhak menentukan undang-undang mereka sendiri.
Tahun lalu, sekali lagi kontroversi tercetus apabila beliau melarang purdah di semua sekolah dan kediaman yang bersekutu dengan Universiti Al-Azhar kecuali di kelas yang mempunyai guru lelaki.
Tantawi pernah didesak meletak jawatan kerana bersalaman dengan Presiden Israel, Shimon Peres pada persidangan antarabangsa di New York dua tahun lalu.
Kepada Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid, biarpun sering dikritik, Tantawi sentiasa tenang dan tidak mudah melenting malah bersedia menerima pandangan orang lain.
"Sebagai seorang yang mahir dalam bidang akidah dan falsafah Islam, Tantawi tidak gentar menyatakan kebenaran dan pendapat.
"Beliau melihat konteks Islam dalam skop yang lebih luas dan sesuai dengan perkembangan zaman," ujarnya yang juga pernah berguru bersama Tantawi selama tiga bulan di Mesir tujuh tahun lalu.
Mengambil contoh isu purdah, Mohd. Tamyes berkata, ulama itu tidak sewenang-wenang mengharamkan pemakaiannya tanpa mempunyai alasan yang kukuh serta dirasakan wajar.
Katanya, Islam tidak melihat pemakaian purdah sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia boleh menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya.
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad
menyambut kedatangan Allahyarham Tantawi yang
melawat Malaysia pada Julai 2003.
Beliau menjelaskan, ketika ini kerajaan Arab Saudi turut melarang pemakaian purdah dalam kalangan wanita semasa memasuki Masjidil Haram atas faktor keselamatan.
Apakah pandangan Mohd. Tamyes berhubung isu Tantawi bersalaman dengan Presiden Israel dan pemimpin-pemimpin asing wanita? Mohd. Tamyes menjelaskan, ia hanya sekadar menunjukkan perasaan hormat ulama itu kepada orang bukan Islam selain mengelakkan perasaan aib individu terbabit.
"Kita semua tahu sekali pun berjabat tangan dengan wanita ajnabi (dibolehkan berkahwin) hukumnya makruh sekiranya tiada sebab tertentu, ia dibolehkan dalam keadaan tertentu.
"Sebagai orang Islam kita dikehendaki menghormati dan sentiasa menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan orang lain selagi ia tidak menyakitinya," katanya.
Tantawi juga menolak pendekatan yang ekstrem seperti yang dilakukan oleh kumpulan Taliban dan Al-Qaeda semata-mata mahu menunjukkan permusuhan mereka terhadap bukan Islam.
Beliau menyifatkan tindakan Osama Bin Laden yang memanggil pengebom berani mati semasa serangan 11 September pada 2001 sebagai jihad tidak sah dan tidak terkandung dalam ajaran Islam.
Tantawi menggelar pengebom berani mati sebagai musuh-musuh Islam dan memberitahu mereka yang berlainan agama harus bekerjasama dan seharusnya tidak bermusuh atau terlibat dalam konflik.
Menurut Tantawi, unsur ekstremisme adalah musuh Islam sedangkan jihad dibenarkan untuk membela dan membantu mereka yang tertindas, perbezaan di antara kedua-dua tindakan itu ibarat langit dan bumi.
Dalam satu kenyatannya semasa Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Tantawi menjelaskan terdapat perbezaan antara meletupkan diri di tempat awam dengan di tengah-tengah musuh.
"Mereka yang meletupkan dirinya dalam kalangan musuh yang cuba untuk membunuh dan memusnahkan negara mereka, maka pembunuhan diri seperti itu adalah syahid.
"Tetapi mereka yang meletupkan diri dalam kalangan wanita, kanak-kanak dan di pasar awam, tindakan itu bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.
Sementara itu, Presiden Perancis Nicolas Sarkozy berkata, Tantawi bekerja tanpa kenal penat lelah untuk mempromosikan pemahaman antara bangsa dan agama.
Malaysia negara Islam
Keluasan ilmu agama Tantawi turut diiktiraf apabila beliau sering kali dijemput untuk menyampaikan ceramah pada seminar dan majlis ilmiah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Tantawi kagum dengan pembangunan dan kemakmuran Malaysia yang dilihatnya berpotensi untuk menjadi sebuah negara Islam yang maju satu hari nanti.
Mashitah berkata, semasa pertemuannya dengan ulama itu di Mesir pada penghujung Januari lalu, ulama itu melahirkan rasa bangganya terhadap rakyat Malaysia yang disifatkannya mempunyai akhlak yang baik.
"Tantawi menjelaskan, untuk mewujudkan sebuah negara Islam seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa namun tetap hidup dalam keadaan harmoni bukannya sesuatu yang mudah.
"Beliau menjelaskan kepada saya, sedangkan di beberapa negara Islam yang telah lama wujud sebelum Malaysia, masyarakatnya masih berpecah-belah dan bersengketa disebabkan perbezaan mazhab dan agama, tetapi ia tidak berlaku di Malaysia," katanya terharu kerana mendapat pujian daripada Tantawi sehingga di gelar Ummul Azhar yang bermaksud anak didik Al-Azhar atas kejayaannya dalam kerjaya dan politik.
Sepanjang hayat Allahyarham Tantawi, beliau berhadapan dengan zaman cabaran paling hebat buat umat Islam dan pemahaman global mengenai agama suci itu. Kini, beliau sudah tiada. Beliau sudah melaksanakan bahagian dan tanggungjawabnya. |
|
|
|
|
|
|
|
2# owenkatz
thank's for info..
Al-Fatihah.. |
|
|
|
|
|
|
|
aku menangis bila dapat tau arwah meninggal dunia..sedih sangat..dia seorang ulama yang harus diingati kerana sumbangannya dalam islam..semoga Allah meletakkan arwah di tmpt tertinggi dikalangan orang2 yang beriman.. |
|
|
|
|
|
|
| |
|